LOS ANGELES: Aktres Lindsay Lohan dengan sukarela mendaftar masuk ke pusat pemulihan, semalam.
Ini kali kelima Lindsay memasuki pusat pemulihan dalam tempoh tiga tahun, lapor sebuah laman berita selebriti.
Menurut TMZ.com dan agensi berita foto selebriti, X17online.com, Lindsay, 24, mendaftar masuk ke pusat pemulihan di selatan California awal pagi tadi dan dijangka tinggal di situ sehingga perbicaraannya pada 22 Oktober depan.
Peguam Lindsay tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.
Pelakon filem ‘Freaky Friday’ dan ‘Mean Girls’ itu mengambil keputusan untuk masuk ke pusat pemulihan ekoran kehidupannya yang kacau-bilau sejak akhir-akhir ini hingga menjejaskan kariernya dalam bidang lakonan. Lindsay dirawat di pusat pemulihan sebanyak tiga kali pada 2007 selepas mengaku ketagihan alkohol dan dadah.
Dia keluar daripada pusat pemulihan lebih awal sebelum diarahkan untuk mendaftar ke pusat itu buat kali keempat pada Ogos lalu. Lindsay yang diarahkan ke penjara semula kerana gagal dalam ujian dadah diperintahkan untuk memakai alat pengawasan alkohol dan dadah sebaik dibebaskan dengan ikat jamin.
Lindsay mula mengalami masalah apabila dia disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah pada 2007. - Reuters
No comments:
Post a Comment