Pages

Tuesday, September 28, 2010

Imam pertahan projek masjid



NEW YORK 27 Sept. - Imam yang memainkan peranan utama dalam rancangan untuk membina sebuah pusat kebudayaan Islam dekat tapak serangan 11 September, 2001 di bandar raya ini berkata, projek itu bertujuan untuk mencegah serangan sedemikian daripada berulang.
Imam Feisal Abdul Rauf dalam rancangan 60 Minutes semalam berkata, beliau merasakan dirinya berkewajipan untuk membantu melindungi rakyat Amerika Syarikat (AS) yang bukan Islam daripada menjadi mangsa keganasan seumpama itu.
Rauf menyifatkan pembinaan pusat yang meliputi sebuah masjid itu, dua blok dari tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) atau Ground Zero, sebagai 'langkah yang wajar diambil'.
"Amerika memerlukannya dan dunia Islam juga memerlukannya. Kita perlu mengusahakan keamanan," ujar beliau.
Pengkritik mendakwa pembinaan pusat Islam begitu hampir dengan Ground Zero adalah perbuatan tidak sensitif manakala penyokong projek menuduh ahli politik membangkitkan perbahasan penuh emosi itu menjelang pilihan raya Kongres AS pada 2 November ini.
Beliau menganggap 'kempen untuk memenangi hati dan minda sebagai sebahagian penting' daripada sebarang kempen ketenteraan untuk menentang anasir radikal di kalangan orang Islam.
Atas kerana itu Rauf berkata, beliau 'bersedia, rela dan berupaya untuk berkhidmat kepada negara ini dan mempertahankan tradisi rakyat negara ini yang berpegang kepada agama'.
''Jika serangan 11 September berlaku lagi, saya mahu menjadi orang pertama yang terkorban.
"Menjadi kewajipan saya sebagai seorang rakyat Amerika beragama Islam mempertahankan anda sebagai rakyat Amerika bukan Islam daripada puak radikal yang mahu menyerang anda," kata Rauf yang dilahirkan di Kuwait dan mendapat kerakyatan AS. - Reuters

No comments: