Pages

Wednesday, August 4, 2010

Wanita ‘sakit’ jadi doktor

LONDON: Seorang wanita yang terselamat daripada pemindahan jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati, akhirnya melayakkan diri menjadi doktor.


ALLISON.
ALLISON.


Allison John, 32, mengambil masa 13 tahun untuk menamatkan pengajiannya kerana menjalani pembedahan menyelamatkan nyawanya.
Dia diberi khabar mengejutkan bahawa dia hanya mempunyai tiga hari untuk hidup ketika berusia belasan tahun.

Bagaimanapun, Allison berjaya diselamatkan selepas pembedahan hati ketika nyawanya berdepan dengan keadaan kritikal pada sekurang-kurangnya tiga kejadian lain.

Allison yang baru bekerja di Hospital Nevill Hall di Abergavenny, Wales Selatan berkata: “Saya tidak terbayang hari ini akan muncul. Saya mengambil masa terlalu lama untuk mencapai impian ini.” Doktor itu yang berasal dari Cardiff, menghidap cystic firbosis (penyakit kelenjar) ketika berusia enam minggu.

Hatinya mula gagal berfungsi ketika berusia 14 tahun dan dia berada di ambang maut apabila menerima organ daripada penderma 15 bulan kemudian.

Pada Mac 1997, paru-paru Allison pula mula tidak berfungsi. Dia memerlukan bantuan oksigen dan bergerak menggunakan kerusi roda apabila berat badannya menurun. Lima bulan berikutnya, doktor menggantikan paru-parunya dan jantung.

Selepas beberapa ketika menjalani kehidupan sihat, ubat antitolakan yang diambilnya menyebabkan kerosakan pada buah pinggangnya pula. Bapanya, David, mendermakan satu daripada organnya itu kepada Allison pada Disember 2006.

Allison yang merancang berkahwin dengan Nathan Angell tahun depan berkata: “Ramai yang berkata saya bernasib baik. Saya pula menganggap diri saya antara yang bernasib baik.

“Saya rasa saya boleh menggunakan pengalaman mendapat layanan daripada doktor yang baik dan yang buruk untuk membantu orang lain.” - Agensi

No comments: