STOCKHOLM 5 Ogos - Aktivis pro-Palestin yang menganjurkan konvoi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza yang diserang oleh komando Israel pada Mei lalu merancang untuk menghantar flotila bantuan yang lebih besar sebelum akhir tahun ini.
Rangkaian organisasi yang terlibat dalam usaha bantuan itu semakin meluas dan kini meliputi kumpulan penyokong di serata dunia termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Venezuela, Chile dan Malaysia, kata jurucakap pertubuhan Sweden, Ship to Gaza, Dror Feiler kepada pemberita di sini selepas membincangkan perkara tersebut di sini, semalam.
Katanya, aktivis-aktivis Eropah yang mewakili badan penaung, Freedom Flotilla Coalition mengadakan mesyuarat di bandar raya ini semalam merancang untuk menghantar flotila baru yang lebih besar melibatkan 12 buah kapal.
Mesyuarat di Stockholm itu disertai aktivis dari Greece, Perancis dan Sweden serta pertubuhan bantuan Islam dari Turki, IHH yang diharamkan oleh Israel kerana dituduh menjalinkan hubungan dengan pergerakan Hamas.
Mereka berharap flotila itu akan disertai oleh ahli Parlimen dan aktivis selebriti termasuk pemuzik, artis dan bintang sukan dari seluruh dunia, kata Feiler yang enggan menyebut nama aktivis-aktivis terbabit.
Menurutnya, penganjur flotila kini dalam proses untuk membeli dan melesenkan kapal-kapal untuk operasi baru itu dan mendaftarkannya di beberapa negara Eropah.
Komando Israel pada 31 Mei lalu menyerang flotila enam kapal bantuan di perairan antarabangsa yang sedang dalam perjalanan ke Genting Gaza, menyebabkan lapan aktivis warga Turki dan seorang rakyat AS keturunan Turki terkorban.
Israel mendakwa askarnya bertindak menyerang untuk mempertahankan diri tetapi pertumpahan darah itu mencetuskan bantahan keras masyarakat antarabangsa sehingga memaksa rejim Zionis melonggarkan sekatan yang dikenakannya ke atas Gaza sejak 2007.
Bagaimanapun, Freedom Flotilla Coalition menyifatkan langkah Israel itu sebagai tidak memadai. - AP
No comments:
Post a Comment