Pages

Tuesday, August 17, 2010

Empat beradik bertemu selepas 76 tahun berpisah

Oleh Ramli Ibrahim

bhkb@bharian.com.my
2010/08/17

<strong></strong>
Kunjungan keluarga dari China ceriakan Ramadan, ubat rindu


GUA MUSANG: Kunjungan balas tiga adiknya bersama 21 ahli keluarga yang berlainan agama dari China, membuatkan Ramadan tahun ini begitu bermakna buat seorang buruh dari Tanah Merah.Bekas buruh ladang, Che Deraman Jusoh, 86, menyifatkan kunjungan tiga adiknya, Zhu Xian Xiu, 82, Zhu Xian Xu, 76 dan Zhu Xian Ju, 72, bersama anak, cucu dan cicit mereka begitu menceriakan mereka.Che Deraman berkata, dia dan adik-beradiknya terpisah selama 76 tahun sebelum bertemu semula pada 2008, selepas anaknya berusaha menjejaki asal usulnya yang berasal dari Wilayah Hainan, China.

“Pak cik berasal dari Hainan, China dan berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia 10 tahun dengan menaiki tongkang bersama bapa saudara pada 1933.

"Saya memeluk Islam ketika berkahwin pada 1941, sebelum pemerintahan Jepun. Selepas itu, saya terputus hubungan dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumah seorang anaknya di FELDA Ciku Satu dekat sini.

Che Deraman berkata, sebelum berpindah ke Ladang Kerilla, Tanah Merah, beliau pernah tinggal di Singapura dan Labis, Johor. 
Katanya, pada awalnya, beliau berusaha menyembunyikan maklumat mengenai asal usulnya yang berasal dari China daripada pengetahuan keluarganya.

"Namun, anak mendesak mendedahkan asal usul keluarga menyebabkan pak cik terpaksa beralah dan mereka kemudiannya berusaha menjejaki saudara mara kami hingga China.

"Pada 2008, mereka berhasil menemui tiga adik yang masih hidup di China, sebelum pak cik ke sana bertemu mereka buat kali pertama selepas kira-kira 76 tahun berpisah," katanya.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, semua adiknya berjanji akan melawatnya di Malaysia dan janji itu ditunaikan apabila mereka tiba secara rombongan selama lima hari di sini sebelum kembali ke negara asal, beberapa hari lalu.

“Akhirnya hasrat pak cik bersama anak cucu untuk menemui sanak saudara tercapai juga. Pak cik bersyukur kepada Allah kerana dapat bertemu adik-beradik pada Ramadan tahun ini.

“Walaupun berlainan agama, kami meraikan mereka dengan penuh kemesraan dan berharap hubungan berkekalan hingga akhir hayat walaupun terpisah jauh," katanya.

“Tidak ada perasaan terpahat di hati pak cik kecuali menanamkan keazaman menemui mereka lebih kerap selepas ini kerana maklum saja sekian lama berpisah,” katanya. 

No comments: