Pages

Wednesday, August 11, 2010

Afghanistan jadi Vietnam kedua AS





AMERIKA Syarikat (AS) baru sahaja mencatatkan kempen perang terpanjang dalam sejarah negara itu di bumi Afghanistan, melangkaui perang ke atas Vietnam pada 1964. Bulan ini, perang ke atas Taliban di Afghanistan memasuki bulan ke-105, berbanding hanya 103 bulan tempoh pertempuran di Vietnam.
Mengikut perancangan Washington, perang di Afghanistan masih berbaki kira-kira setahun lagi sebelum keseluruhan pasukan AS dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ditarik keluar pada Julai tahun depan.
Namun, ramai yang tidak yakin AS dan NATO akan berundur sepenuhnya kerana perang ke atas Taliban masih terlalu jauh untuk menghampiri kejayaan seperti yang diharapkan.
AS bukan sahaja gagal mencari pemimpin Taliban, Osama bin Laden yang dikatakan menjadi dalang utama serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001. Malah, kumpulan Taliban juga semakin mengukuhkan penguasaan mereka di wilayah yang lebih luas di Afghanistan.
Kegagalan AS dalam perang di Afghanistan bukan tidak pernah dibayangkan. Malah, AS sebenarnya mempunyai sejarah yang boleh dijadikan panduan sebelum meneruskan hasrat memburu puak Taliban.
Rusia misalnya, pernah menjajah Afghanistan selama 10 tahun antara 1979 hingga 1989. Namun negara itu akhirnya terpaksa akur dan meninggalkan Afghanistan untuk ditadbir oleh Taliban kerana persengketaan antara kumpulan agama yang sukar untuk ditangani.
Tetapi kerana keangkuhan kuasa, AS melihat perang ke atas Afghanistan sebagai peluang untuk membuktikan bahawa mereka mampu menyaingi kekuatan ketenteraan Rusia. Kerana itu berundur dari Afghanistan adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh AS kerana ia membabitkan soal maruah dan harga diri negara tersebut.
Namun impak negatif peperangan itu tidak ditanggung oleh rakyat Afghanistan yang dijajah semata-mata. Rakyat AS juga sebenarnya turut diheret sama merasai penderitaan akibat peperangan itu.
Mereka kini terpaksa melupakan harapan dan kebergantungan kepada kerajaan Presiden, Barack Obama dalam banyak perkara kerana keutamaan peruntukan disalurkan untuk menampung peperangan itu.
Diperkirakan, sebanyak AS$340 bilion telah dibelanjakan oleh AS sepanjang 10 tahun terlibat dengan peperangan di Afghanistan. Jumlah itu termasuk AS$33 bilion pembiayaan tambahan bagi tahun ini yang diluluskan oleh Kongres bagi penghantaran 30,000 tentera baru bermula Jun lalu.
Jumlah pelaburan perang di Afghanistan itu dijangka menyamai atau mungkin lebih tinggi dengan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi perang di Iraq iaitu mencecah kira-kira AS$700 bilion. Ironinya, perbelanjaan yang besar itu dikeluarkan ketika AS sedang berdepan ketidakmampuan kewangan yang cukup untuk menggerakkan ekonomi negara, jauh sekali menyertai sesebuah peperangan.
AS ketika ini dikatakan menanggung hutang sebesar AS$12 trilion selain masih bergelut untuk keluar daripada kesulitan ekonomi. Kerana itu desakan untuk negara itu berundur sepenuhnya daripada perang di Afghanistan semakin kuat kedengaran di kalangan rakyat ketika ini.
Ia juga dikatakan bakal menjadi faktor penilaian kepada kemampuan pentadbiran Obama berbanding mana-mana dasar baru yang diperkenalkan beliau. Antara sebab lain mengapa perang di Afghanistan semakin mendapat tentangan besar di kalangan rakyat AS sendiri adalah kerana meningkatnya korban tentera AS sejak perang itu dilancarkan.
Sehingga kini, angka korban di kalangan tentera AS dilaporkan sudah melebihi 1,000 tidak termasuk kematian anggota tentera NATO lainnya. Bulan Jun lalu misalnya, adalah bulan paling berdarah di Afghanistan apabila kira-kira 100 orang tentera AS dan NATO terbunuh dalam serangan.
Pada bulan Julai pula, 45 kematian dicatatkan dengan 33 orang daripadanya merupakan tentera AS. Jumlah korban di kalangan orang awam iaitu rakyat Afghanistan juga ikut bertambah. Ini sekali gus menambah tekanan kepada AS apabila masyarakat dunia terutamanya pertubuhan kemanusiaan semakin lantang mengkritik dasar peperangan itu yang sewenang-wenangnya membunuh orang awam.
Namun, kegagalan utama AS dalam perang di Afghanistan ialah ideologi dan tanggapan rakyat Afghanistan terhadap Taliban. Mungkin bagi AS, Taliban adalah pengganas antarabangsa yang perlu diperangi.
Tetapi bagi kebanyakan rakyat Afghanistan , Taliban sudah menjadi sebahagian daripada corak hidup dan budaya mereka. Kumpulan Taliban juga tidak pernah dianggap sebagai pengganas sebaliknya sebahagian daripada mereka.
Ini adalah satu hakikat yang tidak mungkin dapat ditewaskan oleh sebarang strategi dan kebijaksanaan ketenteraan AS dan NATO. Antara sebab mengapa rakyat Afghanistan masih mengharapkan kumpulan Taliban adalah kerana bantuan kemanusiaan yang tidak sampai kepada orang awam.
Sebaliknya, rakyat Afghanistan terutama di wilayah terpencil dan sukar didekati masih bergantung kepada kumpulan Taliban bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan perubatan.
Baik AS, NATO, pasukan keamanan antarabangsa mahupun kerajaan pimpinan Presiden, Hamid Karzai, bantuan itu gagal diuruskan dengan baik. Antaranya kerana faktor geografi di Afghanistan sendiri yang bergurun dan berbukit sekali gus sukar untuk didekati.
Dengan semua faktor itu, AS hampir pasti menjadikan perang di Afghanistan sama seperti perang di Vietnam. Dalam kedua-dua perang ini, AS bukan sahaja memulakan kempen perang tanpa matlamat dan tujuan yang jelas. Tetapi apa yang lebih memalukan ialah menamatkan perang itu dengan episod kekalahan.

No comments: