BANGKOK - Satu letupan yang berlaku di sebuah perhentian bas di kawasan pusat beli-belah di Bangkok semalam menyebabkan sembilan orang awam cedera, kata polis Thailand.
"Kejadian itu berlaku di perhentian bas di hadapan pusat beli-belah, Big C Ratchadamri pada pukul 5.45 petang dan berdasarkan daripada laporan awal, sembilan orang terbunuh," kata seorang pegawai polis, Kolonel Saravut Jindatham.
Letupan itu berlaku beberapa jam selepas proses membuang undi satu pilihan raya kecil di Thailand berakhir di Bangkok.
Kejadian tersebut dikaitkan dengan pergolakan politik negara tersebut yang berlaku baru-baru ini di Bangkok.
Lokasi kejadian itu adalah di tempat yang sama tunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah berlangsung pada Mei lalu.
Menurut seorang jurugambar, kawasan perhentian bas itu kini ditutup oleh polis dan satu skuad bom dilihat melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.
Media melaporkan, bom itu disembunyikan di dalam sebuah beg plastik.
Saravut berkata, dia sedang menunggu anggota-anggota forensik untuk memberitahu punca letupan tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment