Pages

Monday, July 26, 2010

AS, Korea Selatan lancar latihan perang


Kapal USS George Washington (bawah) dan kapal tentera laut Korea Selatan, Dokdo berlepas untuk menyertai latihan perang di pelabuhan tentera laut Korea Selatan di Busan, kira-kira 420 km ke tenggara Seoul, semalam. – REUTERS


SEOUL 25 Julai – Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan hari ini melancarkan latihan perang secara besar-besaran untuk memperlihatkan keupayaan mereka mencegah sebarang serangan dari Korea Utara, selepas menuduh negara komunis itu menenggelamkan sebuah kapal perang Seoul.
Sementara itu, Pyongyang pula memberi amaran latihan itu membawa semenanjung Korea ke ambang peperangan.
Kapal-kapal tentera laut AS termasuk kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear, USS George Washington memulakan latihan dengan berlepas dari pelabuhan di Korea Selatan.
Armada AS itu tiba di negara ini pada minggu lepas untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan, serentak dengan mesyuarat peringkat tertinggi antara kedua-dua negara sekutu itu.
Korea Utara menjadi punca memuncaknya ketegangan di rantau itu selepas sepasukan penyiasat diketuai tentera Korea Selatan menuduh tentera rejim komunis itu melancarkan torpedo sehingga mengakibatkan kapal perang Cheonan tenggelam pada Mac lalu, menyebabkan 46 kelasinya maut.
Ekoran perkembangan itu, AS pada minggu lepas mengumumkan sekatan baru ke atas Korea Utara, membekukan aset para pemimpin Pyongyang yang didakwa diperolehi menerusi kegiatan haram dan memutuskan saluran wang tunai kepada mereka.
China turut menyuarakan bantahan terhadap latihan ketenteraan itu.
Beijing mengkritik kemasukan kelengkapan ketenteraan besar-besaran ke Laut Kuning dekat pantai barat semenanjung Korea, menyebabkan sebahagian besar latihan tersebut dipindahkan ke kawasan berhampiran pantai timur.
Semalam, Suruhanjaya Pertahanan Korea Utara berikrar untuk melancarkan ‘perang suci’ ke atas AS dan Korea Selatan ‘pada bila-bila masa yang perlu’ sebagai reaksi terhadap latihan ketenteraan itu. – Reuters

No comments: