BAITULMUQADDIS - Ribuan rumah di Baitulmuqaddis dikosongkan semalam selepas satu kebakaran besar memusnahkan hutan dekat sebuah hospital, kata polis Israel.
Sekurang-kurangnya 20 jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian yang berlaku di kawasan hutan dekat Hospital Hadassa dekat Kampung Ein Kerem.
"Kebakaran itu besar," kata seorang jurucakap polis, Mickey Rosenfeld.
"Ia meliputi sejumlah kawasan yang luas. Kami telah memindahkan semua penduduk Moshav Ora dan Aminadav termasuk Even Sapir," katanya yang merujuk kepada tiga buah kampung di bukit barat daya Baitulmuqaddis yang menempatkan 2,000 orang.
Anggota-anggota polis kini melakukan gerakan mencari dari rumah ke rumah bagi memastikan tidak ada penduduk yang masih berada di dalam kediaman semasa kebakaran.
Dua buah pesawat dan sebuah helikopter bomba terbang di kawasan kebakaran sebagai usaha untuk memadamkan kebakaran dengan air.
Beberapa buah kenderaan di tempat letak kenderaan turut terbakar.
Menurut beberapa saksi, asap hitam menjulang tinggi ke udara.
Mereka berkata, banyak jalan yang menuju ke kawasan yang terbakar ditutup bagi membolehkan kenderaan kecemasan menuju ke tempat kejadian dalam tempoh yang singkat. - AFP
No comments:
Post a Comment