JERANTUT 28 Julai - Meredah hutan belukar untuk mencari rezeki bukanlah suatu kerja yang mudah dan boleh dilakukan sambil lewa oleh penduduk di pedalaman Pahang.
Ini kerana lokasi dan geografi hutan berkenaan memerlukan kemahiran ketika mula meredah hutan kerana didiami binatang berbisa serta buas yang boleh mengancam nyawa.
Namun, pelbagai khazanah hutan boleh digunakan untuk tujuan komersial asalkan seseorang itu sanggup memperolehnya menerusi kemahiran tertentu dan tahu memanfaatkan bahan berkenaan.
Selain dibenarkan memburu haiwan secara berlesen, pelbagai jenis tumbuhan yang mempunyai nilai komersial dapat diterokai untuk dijadikan sumber makanan harian.
Antara sumber hutan di Taman Negara Kuala Tahan dan Hutan Simpanan Pengau kawasan Hulu Tembeling di sini ialah pokok bayas atau nama saintifiknya, Oncosperma Horrida.
Bagi masyarakat Melayu Hulu Tembeling, bahagian pokok bayas yang menjadi pilihan ialah umbutnya untuk dijadikan bahan dalam masakan tradisional
Umbut (bahagian dalam batang bayas atau mayang pokok) begitu lembut dan sedap dimasak jika menggunakan resipi cara kampung.
Rupa dan saiz pokok bayas seakan-akan pokok nibung dan pokok pinang mempunyai batang yang tinggi dan keras, berduri dan memang sukar ditebang menggunakan mata pisau atau parang biasa.
Kebiasaannya, penduduk masuk ke hutan mencari bayas secara berkumpulan kerana proses menebang dan mengambil umbut memerlukan kemahiran serta kerjasama.
Proses mengambil bayas bermula dengan menebang pokok itu dengan menggunakan kapak dan gergaji enjin.
Kemudian, barulah bahagian hujung (mayang) dipotong dan dibuang kulit untuk mengeluarkan umbutnya.
Seorang penduduk Kampung Pengau, Shahradin A. Karim, 45, berkata, proses mengeluarkan umbut, membuang kulit dan berduri memakan masa.
''Bahagian mayang pokok tersebut dikerat dengan gergaji atau kapak, kemudian menggunakan kayu tajam untuk mencungkil umbut bayas," katanya.
Shahradin menjelaskan, bermula dari menebang pokok sehinggalah mengeluarkan umbut daripada mayang pokok sepanjang satu meter mengambil masa selama satu jam.
Rakannya, Ahmad Omar, 42, berkata, dia bersama rakan mengambil masa sehari meredah hutan mencari pokok itu kerana ia tidak tumbuh di pinggir kampung.
''Kerja menebang pokok itu agak sukar kerana banyak peralatan digunakan seperti kapak, beliung dan gergaji enjin kerana lapisan luarnya keras," katanya.
Tambahnya, umbut akan diambil dan batang pokok itu terpaksa ditinggalkan kerana terlalu berat untuk dibawa pulang.
Dia yang menjual umbut bayas sejak 10 tahun lalu berkata, umbut itu dijual dengan harga RM8 satu meter.
''Kami memperoleh antara RM80 hingga RM100 setiap kali menjual atau ditolak kepada pemborong di bandar Jerantut dan penduduk setempat yang membuat majlis tertentu," katanya.
Seorang penduduk, Muji Mohamad, 70, memberitahu, umbut bayas memang sinonim dengan masakan majlis kenduri perkahwinan, menyambut pelawat asing dan orang kenamaan yang singgah di kampung persisiran Sungai Tembeling.
''Umbut memang popular sejak zaman dahulu lagi di kalangan orang Melayu di Hulu Tembeling kerana ia dimasak lemak cili api dan dihidang bersama gulai asam tempoyak," katanya.
Muji berkata, untuk menikmati keenakan masakan ini, umbut bayas yang siap ditebang perlu segera disiang (dipotong) dan dimasak, tanpa membiarkannya terlalu lama.
Katanya, generasi hari ini sudah tidak mengenali lagi pokok bayas dan menikmati keenakan masakan lemak umbutnya, malah tidak mahir memasak berasaskan campuran tumbuhan itu.
No comments:
Post a Comment