Pages

Thursday, July 8, 2010

Cuci not AS$1 dengan mesin basuh



Posted on the July 8th, 2010 under BeritaLuar NegaraUnik by Syedz
15/7

WANG kertas AS$1 disidai selepas dibersihkan di Harare, Zimbabwe kelmarin.

HARARE – Pelbagai cara digunakan oleh rakyat Zimbabwe untuk mencuci wang kertas Amerika Syarikat (AS) yang kotor termasuk membersihkannya dengan menggunakan mesin basuh.
Wang kertas AS$1 (RM3.22) kerap bertukar tangan di negara berkenaan sehingga ia menjadi lusuh dan koyak manakala penduduk tempatan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan setinggan dengan kadar jenayah tinggi suka membawa wang tersebut di dalam kasut dan seluar dalam.
Tabiat kotor itu menyebabkan sesetengah wang kertas menjadi terlalu busuk sehingga memaksa orang ramai memasukkannya di dalam mesin basuh untuk dibersihkan sebelum dikeringkan bersama pakaian mereka.
Kaedah tersebut dapat ‘mengubah’ wang kotor itu menjadi bersih selain ia dilapkan dengan menggunakan sarung tangan getah atau tisu pembunuh kuman.
Menjadi pilihan utama rakyat Zimbabwe, wang kertas dolar AS digunakan jauh lebih lama daripada jangka hayat yang ditetapkan oleh Bank Pusat AS.
Pentadbiran Zimbabwe mengisytiharkan wang dolar sebagai mata wang sah pada tahun lalu bagi menangani inflasi di negara itu namun, bank Pusat AS memusnahkan kira-kira 7,000 tan wang lusuh setiap tahun.
Agensi berkenaan menyatakan, purata pusingan penggunaan wang kertas AS$1 di AS adalah kira-kira 20 bulan, jauh lebih singkat berbanding Zimbabwe di mana jangka hayatnya mencapai hingga bertahun-tahun.
Wang kertas dengan nilai lebih besar pula dikeluarkan dari bank atau melalui aktiviti import dan eksport serta kurang dicemari kotoran.
Ia berbeza dengan wang kertas AS$1, AS$2 (RM6.44), AS$5 (RM16.11) dan AS$10 (RM32.22) yang menjadi pilihan utama di kalangan penduduk miskin Zimbabwe dan ia kerap bertukar tangan.
Wang kertas AS$1 meluas digunakan di pasar-pasar di pedalaman dan stesen-stesen bas sehingga ia akhirnya terkoyak.
Namun, bank-bank dan kebanyakan perniagaan di Zimbabwe tidak menerima wang kertas dolar AS yang koyak, terbakar, amat kotor atau dicantum dengan menggunakan pita pelekat.
Penduduk tempatan menyatakan, kaedah terbaik untuk membersihkan wang kertas dolar AS adalah dengan mencucinya dengan tangan dan menggunakan air suam.
Namun, sebuah kedai dobi di ibu negara Zimbabwe, di sini, menggunakan kaedah lebih mudah iaitu membersihkannya dengan mesin basuh tanpa merosakkannya.
Penduduk tempatan berkata, kaedah cucian kering pula tidak digalakkan kerana ia menyebabkan warna wang kertas itu lusuh.
Seorang pemilik kedai di sini, Jackie Dube bagaimanapun tidak mengendahkan semua petua tersebut kerana dia mempunyai cara yang jauh lebih mudah dan efisien untuk memiliki wang kertas bersih.
“Saya menghilangkan semua wang yang kotor itu dengan memulangkannya kepada pelanggan sebagai wang baki,” katanya. – AP
kredit : kosmo.com.my

No comments: