Pages

Thursday, July 15, 2010

3 usahawan luar biasa

NILAI perolehan berjumlah lebih RM8 bilion, keuntungan sebelum cukai RM670 juta dan nilai pasaran modal (iaitu nilai saham tersenarai andainya dijual di pasaran saham – satu indikator nilai sesuatu bisnes mengikut persepsi pasaran) lebih RM10 bilion. Itulah angka dalam laporan kewangan Kumpulan Johor Corporation (JCorp) bagi tahun kewangan 2009 sebagaimana dibentangkan baru-baru ini.
Alhamdulillah, dari tahun ke tahun, JCorp mencatatkan prestasi memberangsangkan yang menjadi penanda aras dan petunjuk kepada kemampuannya. Tambahan apabila JCorp adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang juga sebuah institusi amanah rakyat.
Kejayaan dan kegagalan sesebuah GLC sentiasa menarik perhatian masyarakat. Angka-angka sebagaimana yang dibentangkan akan mengundang pelbagai reaksi. Andainya terdapat perubahan ketara termasuk kemerosotan hasilnya, masyarakat akan menuding jari ke arah CEO khasnya sebagaimana yang berlaku kepada beberapa GLC sehingga memaksa kerajaan campur tangan. Ketika saya mula menjawat CEO JCorp pada 1982, nilai perolehan JCorp ketika itu hanya RM150 juta dan keuntungan sebelum cukai RM35 juta. Selepas 30 tahun, nilainya berlipat kali ganda dan JCorp menjadi konglomerat terbesar di negara ini dengan mempunyai lebih 280 anak syarikat (7 daripadanya syarikat senaraian awam, PLC di Bursa Malaysia dan satu di London) dan mempunyai hampir 65,000 pekerja. Malah, rangkaian bisnesnya meliputi Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, Kemboja, Hong Kong dan India.

Ramai beranggapan GLC seperti JCorp pasti mengaut untung besar hasil daripada aset (seperti tanah) serta sokongan istimewa kerajaan. Di peringkat awal penubuhannya, keistimewaan seperti ini penting dan JCorp berterima kasih kepada kerajaan Johor. Hari ini, JCorp dan kumpulannya adalah sebuah organisasi korporat pelbagai bisnes yang sangat kompleks dengan sebahagian besar keuntungannya dijana prestasi cemerlang syarikat seperti Kulim Malaysia Bhd (Kulim), KFC Holdings Malaysia Bhd (KFCH) dan KPJ Healthcare Bhd (KPJ). Kulim terlibat dalam bisnes minyak sawit dan merupakan pemilik ladang sawit terbesar di Papua New Guinea tersenarai di Pasaran Saham Port Morseby dan London stock Exchange. KFCH memiliki lebih 800 restoran dan beroperasi bukan saja di Malaysia, malah Singapura, Brunei, Kemboja dan Mumbai, India. KPJ pula sebuah syarikat yang dipupuk dan dibesarkan JCorp sendiri daripada kecil-kecilan. Bermula daripada sebuah hospital di Johor Bahru melibatkan enam doktor pakar pada 1981, kini KPJ menjadi pemilik rangkaian hospital pakar terbesar di Malaysia dengan lebih 700 doktor pakar di Malaysia dan Indonesia. Ketiga-tiga syarikat ini masing-masing mencatatkan prestasi cukup cemerlang dengan perolehan tahunan lebih RM1 bilion.

Di JCorp, kami bukan hanya memandang kepada pencapaian dalam bentuk kewangan. Benar ia satu kriteria dan ukuran pencapaian. Namun, terdapat perkara lain yang lebih menjadi keutamaan iaitu nilai tambah serta sumbangannya kepada penjanaan kekayaan agama, bangsa dan negara yang perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Saya juga sering menegaskan semua kejayaan JCorp bukan digerakkan seorang dua, tetapi ramai. Ini termasuk sumbangan dan sokongan pelbagai pihak. Tidak kurang penting sumbangan mereka terdahulu yang bersara atau kembali ke rahmatullah, seperti pengasas JCorp, Tan Sri Othman Mohd Saat (bekas Menteri Besar Johor ketika JCorp ditubuhkan) dan Tan Sri Basir Ismail, Ketua Eksekutif pertamanya. Merekalah yang selama ini berjuang dengan ikhlas, gagah dan gigih demi menjayakan organisasi ini. Beberapa peneraju dan CEO syarikat strategik JCorp juga berperanan sangat besar. Antara mereka ialah Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir, Pengarah Urusan KPJ, Ahamad Mohamad, Pengarah Urusan Kulim dan Jamaludin Md Ali, Pengarah Urusan KFCH. Ketiga-tiga ‘intrapreneur’ JCorp ini merupakan pemimpin pasaran dalam bisnes masing-masing sehingga membawa ‘bendera’ JCorp ke peringkat antarabangsa. Pada saya, mereka adalah antara usahawan terbilang bangsa dan entrepreneur luar biasa (dalam JCorp dipanggil ‘intrapreneur’ atau ‘entrepreneur amanah’). Justeru, penulisan ini difokuskan kepada mereka dan bagaimana mereka membawa nilai tambah kepada kumpulan JCorp sebagaimana dilihat hari ini.

Pertamanya, Siti Sa’diah yang berkhidmat di JCorp selama 36 tahun bermula pada April 1974. Penglibatan beliau dalam Bahagian Prisihatin (kesihatan pakar) JCorp bermula pada 1978 lagi sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan KPJ pada 1993. Beliau orang yang bertanggungjawab membina bisnes ini daripada kecil-kecilan dan memangkinkan KPJ disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia 1994.

Kegigihan beliau membina dan membangunkan segmen bisnes kesihatan pakar JCorp sehingga hari ini menjadi pemimpin pasaran kesihatan pakar yang memiliki 19 hospital di Malaysia dan dua di Indonesia. KPJ kini disenaraikan di tangga ke-83 bagi 100 syarikat teratas di Bursa Malaysia dengan nilai pasaran modal pada akhir Jun 2010 berjumlah RM1.7 bilion berbanding hanya RM234.2 juta pada 1994 (peningkatan lebih 626 peratus) dan jualan tahunan melebihi RM1.4 bilion. Pada Mac 2010, Siti Sa’adiah dinobatkan sebagai ‘Malaysia’s CEO of the Year 2009’.

Kedua, Ahamad telah berkhidmat dengan Johor Corporation selama 34 tahun. Berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1976, Ahamad dilantik Pengarah Urusan Kulim pada 1 Januari 1995. Selain itu, beliau juga menjadi pengarah New Britain Palm Oil Ltd (NBPOL) yang tersenarai di Papua New Guinea dan Bursa Saham London.

Ahamad mengemudi Kulim sehingga begitu berjaya dan menjadi sebuah syarikat perladangan terkemuka di Malaysia. Kulim kini memiliki ladang seluas lebih 120,000 hektar di Malaysia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon berbanding hanya 29,685 hektar pada 1995 ketika Ahamad mula menjadi CEO. Ahamad juga membawa Kulim ke dalam sektor oleokimia melalui pengambilalihan Natural Oleochemical Sdn Bhd (NatOleo) di Pasir Gudang pada 1994 dan mengembangkan bisnes tersebut sehingga mencatat nilai jualan lebih RM1 bilion menjadikannya antara pengeluar oleokimia terbesar di dunia.

JCorp juga menerusi Kulim berjaya mengambilalih QSR/ KFCH sekali gus membawa bisnes restoran dan makanan segera ke dalam senarai bisnes utama kumpulan JCorp. Kejayaan ini sumbangan besar kepada usaha mengembangkan hak milik Melayu dan Muslim dalam bisnes yang sangat strategik demi menjamin umat Islam dihidangkan makanan halal dan ‘toyyiban’. Kulim kini di tangga ke-66 Bursa Malaysia dengan nilai pasaran modal (apabila diambil kira nilai NBPOL pada akhir Jun 2010) berjumlah RM5.8 bilion, berbanding RM543 juta pada Disember 1995, iaitu peningkatan 968 peratus! Jelas sekali kepemimpinan dan daya usahawan tinggi Ahamad serta kegigihan dan kegagahan beliau berbisnes menjadi faktor utama pencapaian hebat dan luar biasa ini.
Ketiganya, Jamaludin berusia 52 tahun dan berkhidmat di JCorp selama 19 tahun bermula pada 1991. Beliau antara yang berada di barisan depan dalam ‘perang’ JCorp dan Kulim mengambil alih QSR/KFCH pada 2006. Selepas pengambilalihan ini, Jamaludin yang sebelumnya merupakan Ketua Pegawai Operasi JCorp dilantik Pengarah Urusan QSR/ KFCH. Beliau memacu pertumbuhan bisnes QSR/ KFCH sehingga KFCH diiktiraf YUM! International, USA, sebagai rangkaian KFC terbaik di Asia seterusnya memenangi ‘Asian Tiger Award’ selama dua tahun berturut-turut (2007 dan 2008), mengalahkan beberapa negara besar Asia.

KFCH kini disenaraikan di tangga ke-78 Bursa Malaysia dengan peningkatan jualan tahunan daripada RM1.5 bilion pada 2006 kepada RM2.3 bilion pada 2009 (peningkatan lebih 53.3 peratus) dengan nilai pasaran modal KFCH juga melonjak daripada RM1.07 bilion (ketika mula pengambilalihan) kepada RM1.67 bilion (akhir Mei 2010). QSR/KFCH kini mengurus 586 restoran KFC (Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Mumbai, India), 265 restoran Pizza Hut (di Malaysia dan Singapura), 44 kedai Ayamas di Malaysia serta 42 Restoran RasaMas (di Malaysia dan Brunei).

Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia. www.businessjihad.com

No comments: