Pages

Saturday, June 12, 2010

Warisan peninggalan lama terbiar





Rumah warisan yang ditinggalkan tanpa dipulihara di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 11 Jun – Sekiranya berada di Kampung Losong di sini, anda tentunya akan menemui sebuah rumah lama yang ditinggalkan tanpa penghuni.
Sekali pandang walaupun kelihatan usang namun rumah tersebut bagaikan sebuah istana lama kerana mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk reka bentuk yang agak unik serta bercirikan tradisional.
Rumah warisan yang dibina pada 1850 di Kampung Losong Hj Su adalah kepunyaan Allahyarham Su Mohammed Salleh Mohammed bercirikan reka bentuk rumah Limas Belanda dan rumah bujang berpeleh kembar tiga.
Mengikut sejarah awal, rumah berkenaan didiami semua anak Su Mohammed Salleh dan apabila anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu sahaja.
Tinjauan mendapati rumah lama tersebut hanya menunggu masa untuk roboh kerana tiada pengawasan rapi oleh waris keluarga itu.
Seorang pekerja swasta Abdul Hadi Yusof, 40, berpendapat, rumah berkenaan boleh dijadikan tempat bersejarah negeri ini kerana banyak catatan sejarah berlaku terhadap Su Mohammed Salleh.
Katanya, sebelum ini, ramai pelancong luar singgah mengambil gambar di dalam kawasan rumah berkenaan namun apabila pagar utama dikunci, mereka hanya dapat melihat dari luar sahaja.
Sehubungan itu, dia menggesa kerajaan negeri mengambil langkah segera mewartakan rumah berkenaan sebagai tempat bersejarah kerana ia mampu memberi nilai sejarah yang tinggi.
Sementara itu, Ramlah Adam, 36, ketika ditemui berkata, rumah tradisi tersebut seharusnya dikekalkan kerana ia salah satu rumah lama bercirikan reka bentuk tradisional menarik dan unik.
Kata Ramlah, keunikannya tiada tandingan dan mampu menjadi aset penting untuk pelancongan negeri.
‘‘Apabila dikekalkan ia mampu menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara, selain menambahkan lagi destinasi tempat bersejarah,’’ katanya.
Seorang pelancong, Abdullah Mamat, 55, pula menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah yang perlu bagi memastikan rumah tersebut dapat dikekalkan.
Katanya, ini penting kerana sebahagian struktur rumah yang kian reput dan jika dibiarkan lama kelamaan akan runtuh.
“Justeru, saya harap waris rumah berkenaan dan pihak kerajaan negeri mengambil langkahterbaik memelihara kegemilangan rumah warisan Su Mohammed Salleh agar boleh dijadikan tatapan generasi baru,” jelasnya.

No comments: