Pages

Sunday, June 6, 2010

Peranan Pendidik Dalam Jihad Pendidikan



Sa’id Hawwa dalam buku karangannya Jihad fi Sabilillah mengelaskan jihad kepada lima jenis seperti mana yang dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Antara jenis jihad adalah jihad melalui lisan, jihad pengajaran (ta’lim), jihad dengan tangan dan diri, jihad politik, dan jihad harta. Tiada siapa yang layak untuk mempertikaikan kesemua kategori jihad ini kerana ianya terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang sahih.



Ianya dibuktikan dengan hadis nabi dan juga firman Allah.

Berjihadlah ke atas orang musyrikin dengan harta, diri, dan lidah kamu.” Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Nasa’i, Ibn Hiban, dan Hakim daripada Anas. Jihad yang dinyatakan dalam hadis ini adalah jihad harta, diri, dan lisan.

“Sebaik-baik jihad ialah memperkatakan sesuatu yang benar di hadapan penguasa yang zalim.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibn Majah daripada Abi Sa’id al-Khudri. Jihad yang dinyatakan dalam hadis ini adalah jihad politik.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat ke-122 bermaksud, “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menajga dirinya.” Ayat ini menjelaskan mengenai kepentingan jihad dalam pengajaran.

Sebelum kita memahami skop jihad dengan lebih luas marilah kita mengenali dahulu erti jihad dengan lebih mendalam. Erti jihad ialah menegakkan syiar dan syariat Islam melalui pelbagai medium. Jihad yang dilakukan di dalam negara Islam diberi nama ‘amr bil ma’ruf dan nahyu ‘anil munkar. Manakala yang berlaku di luar negara Islam disebut jihad.



Malangnya kini pihak barat khususnya orientalis begitu gigih meracuni pemikiran masyarakat dunia bahawa jihad di dalam Islam adalah hanya berupa keganasan dan seterusnya akan mewujudkan fenomena islamophobia. Segala tindakan umat Islam seperti di Afganistan, Iraq, Palestin, selatan Thai, Chechnya, dan di seluruh Negara Islam yang mempertahankan agama dan Negaranya dikatakan sebagai pengganas.



Tetapi bagaimana pula takrifan kepada AS dan zionis laknatullah yang saban hari membantai dan membanjiri Negara palestin dan umat Islam yang lain dengan darah manusia yang tidak berdosa? Adakah layak untuk menggelarkannya sebagai badan pengaman dunia? Kuasa yang terdapat pada AS juga menjadikan Negara Islam yang lain patuh kepada arahannya sehinggakan subjek atau silibus mengenai jihad tidak dibenarkan diajar di sekolah hatta di universiti.

Negara Islam seperti Malaysia juga tidak terlepas daripada fenomena ini selepas pihak yang berwajib mengharamkan dan menyekat bantuan ke sekolah agama rakyat (SAR) pada 25 Oktober 2002 kerana disyaki sebagai tempat untuk melahirkan pengganas. Banyak lagi negara umat Islam yang terpaksa menuruti perintah orientalis khususnya Mesir yang begitu taat mentaati perintah zionis untuk menindas umat Islam Palestin. Bagaimana syiar dan maruah Islam dapat dimuliakan sekiranya Negara Islam sendiri terpaksa akur kepada arahan negara kafir laknatullah?

Jihad tidak dapat dilakukan kecuali oleh orang yang tidak menghiraukan apa-apa cercaan dalam perjuangan di jalan Allah, kerana penglibatannya dalam gerakan jihad akan menyebabkan sebahagian besar manusia membuat penentangan ke atasnya. Gerakan menakut-nakutkan dan menyekatnya akan berlaku sama ada oleh pihak berwajib ataupun orang-orang yang hampir dengan kita. Sekatan seumpama itu dilakukan oleh bapa, isteri atau suami, saudara-mara, majikan atau pihak kerajaan. Sebagai pendidik, mungkin akan dipindahkan ke kawasan yang lebih pedalam bagi mengurangkan penglibatan guru dalam lapangan jihad.

Berhadapan dengan ini semua, maka seseorang itu tidak mungkin dapat meneruskan jihad kecuali orang-orang yang tidak mengambil hirau celaan-celaan atau mehnah kerana berjuang pada jalan Allah. Ianya bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat ke-54, “Mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela”. 
Dalam ruangan kali ini hanya akan dihuraikan mengenai jihad pengajaran ataupun dikenali sebagai jihad pendidikan yang mempunyai kaitan rapat dengan pendidik seperti kita. Terdapat perbezaan antara jihad lisan dengan jhad pendidikan. Jihad lisan ialah bersungguh-sungguh menentang penyelewengan secara lisan supaya orang-orang yang berkenaan itu kembali semula kepada agama Islam. Manakala jihad pendidikan pula ialah berusaha bersungguh-sungguh mengajar, memberi ilmu dan mendidik orang-orang yang mahu menghayati Islam. Kadang-kadang kedua jihad ini ada persamaan tetapi tetap juga berbeza.

Ukuran kejayaan dalam jihad pendidikan ialah apabila kita berjaya menyampaikan keilmuan Islam yang sempurna kepada setiap Muslim serta dapat memberi tarbiyah Islamiyyah yang sebenar, betul lagi sempurna. Keilmuan Islam yang sempurna dapat dicapai dengan beberapa aspek seperti yang dinyatakan di bawah;

Pertama, seorang Muslim mestilah mempelajari al-Quran dan as-Sunnah. Kalau ini dilakukan dengan baik maka keilmuan Islamnya menjadi tinggi. Ianya selaras dengan firman Allah dalam suran al-Baqarah ayat ke-151 yang bermaksud,“Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al-Kitab dan hikmah”.

Ke-dua, mempelajari ilmu-ilmu seperti ilmu tauhid, fiqh, dan akhlaq yang menerangkan mengenai hukum-hukum yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ulama’-ulama’ telah meletakkan prinsip dan kaedah tertentu bagi setiap ilmu ini untuk dipelajari oleh setiap Muslim. Ilmu usul fiqh merupakan perbincangan mengenai cara mengambil hukum dari al-Quran dan as-Sunnah. Ilmu ini mesti diketahui oleh seseorang Muslim supaya dia dapat mengetahui natijah hukum yang dipelajarinya.

Ke-tiga, mempelajari sejarah Islam terutamanya sejarah hidup Rasulullah, para sahabat, dan khilafah Islam terdahulu agar menjadi sumber teladan kepada kita semua.

Ke-empat, mempelajari keadaan negara Islam kini dan keadaan umat Islam di seluruh dunia sekarang. Ianya selaras dengan hadis nabi yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan orang-orang Islam maka dia bukanlah dari golongan mereka”.

Ke-lima, mengetahui segala pakatan jahat itu dan di mana pula sasarannya demi untuk mengelak umat Islam dari terjebak serta menjadi mangsa pakatan jahat itu.

Ke-enam, mengetahui bahasa Arab dan semua ilmu mengenainya kerana ianya menjadi anak kunci kepada agama Islam.

Ke-tujuh, mempelajari pengajian Islam moden kerana mempunyai kebaikan seperti dapat menyampaikan Islam dengan berkesan kepada mad’u.

Ke-lapan, mempelajari secara mendalam tiga usul utama bagi seseorang Muslim iaitu Allah, Rasul, dan Islam.

Memang tidak mungkin yang semua orang boleh mencapai aspek-aspek ini dalam kadar yang sama sebab adanya perbezaan kecerdikan, keupayaan dan peluang. Dengan demikian apa yang perlu ke atas setiap orang Islam ialah memperolehi kadar minima. Orang-orang yang berkeupayaan lebih untuk menguasai aspek tersebut hendaklah turus mendalaminya secara istiqamah.

Dari perbincangan itu jelaslah kepada kita yang belajar dan mengajar itu adalah wajib. Tanggungjawabpertama sekali dikenakan kepada orang yang berilmu. Ahli-ahli fiqh menyebutkan bahawa seseorang yang mempelajari sesuatu masalah, maka dia menjadi faqih dalam masalah itu. Dengan itu dia wajib mengajarkannya pula kepada orang lain.

Jadi proses pengajaran mesti berlaku dalam bentuk kerjasama yang erat di antara golongan-golongan masyarakat. Kerjasama itu hendaklah sentiasa berterusan sepaya orang-orang Islam dapat mencapai taraf keilmuan yang tinggi lagi baik. Hanya dengan cara ini sahajalah mereka dapat menjauhkan diri daripada fitnah.

Ada tercatat dalam al-Athar:
Berlaku bebrapa fitnah dan tidak ada sesiapa yang terlepas daripadanya kecuali orang-orang yang dihidupkan oleh Allah hatinya dengan ilmu.

(Disunting daripada kitab Jihad fi Sabilillah, karangan Sa’id Hawwa, terbitan Dewan Pustaka Fajar)

No comments: