Pages

Sunday, June 6, 2010

Mulianya Menjadi Guru…



Seperti biasa tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang diraikan oleh golongan pengajar iaitu guru. Pelbagai sambutan yang dilakukan untuk mengingati tarikh ini. Kita sebagai bakal guru juga tidak terlepas dari meraikan hari ini dengan menghantar pelbagai ucapan hari guru dalam bentuk sms kepada sahabat seperjuangan kita, menghadiahkan bingkisan kepada rakan dan meraikan sambutan hari guru di peringkat IPG masing-masing.

Tidakkah kita sebagai bakal seorang guru berasa beruntung dengan profesion yang bakal kita miliki ini? Ada sesetengah daripada pelajar IPG malu untuk memberitahu tempat balajarnya kerana merasakan profesion perguruan hanyalah kerjaya yang dipandang rendah sahaja. Tetapi sedarlah kerjaya perguruan adalah suatu ibadah yang begitu mulia di sisi agama jika kita benar-benar ikhlas untuk menjadi guru.

Dalam soal keikhlasan ini Imam Ghazali pernah menyebut, “Wajib membetulkan niat murid-murid, maka wajib juga membetulkan niat guru, bahkan itu adalah lebih penting kerana ibadat mengajar lebih mulia daripada ibadat belajar.”

Mungkin ada di kalangan kita ini sebelum melangkah ke alam perguruan menanam cita-cita untuk menjadi seorang doctor, peguam, arkitek, jurutera, atau saintis. Tetapi disebabkan desakan daripada keluarga terpaksa meninggalkan kerjaya yang sangat diidamkan tersebut. Hasilnya, kita belajar di IPG dalam keadaan yang sambil lewa sahaja kerana untuk menunjukkan rasa memberontak terhadap keputusan keluarga. Tidakkah pernah terfikir bahawa jika kita melangkah ke profesion perguruan kita bakal melahirkan puluhan atau lebih insan yang bernama doctor, peguam, jurutera malah Perdana Menteri. Bayangkan betapa mulia dan beratnya tanggungjawab yang akan digalas oleh guru untuk membentuk generasi yang dapat dimanfaatkan oleh bangsa, agama dan negara.

Mengapa dikatakan kerjaya sebagai guru ini sangat menguntungkan? Hal ini bertepatan dengan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a, bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat, penghuni langit dan bumi, termasuk semut yang berada di dalam lubang dan ikan ikan pau, sesungguhnya akan memberkati dan memberi rahmat kepada orang yang mahu mengajarkan kebaikan (ilmu) kepada manusia.” 

Nabi SAW juga bersabda lagi yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud,“Ingatlah, sesungguhnya dunia ini terlaknat. Semua seisi dunia itu terlaknat kecuali orang yang ingat kepada AllahSWT atau melakukan sesuatu yang dekat dengan mengingatiNya dan orang yang mangajar serta orang yang belajar.”

Berdasakan daripada hadis yang dinyatakan, terlalu banyak ganjaran yang dikurniakan oleh Allah khususnya kepada golongan guru. Tetapi untuk mendapatkan ganjaran tersebut hendaklah timbul rasa ikhlas dalam hati untuk menjadi guru dan ikhlas untuk mengajar. Mungkin perkataan ikhlas mudah untuk dilafazkan, tetapi apa sebenarnya yang tersirat di dalam hati. Mungkinkah kita tetap merasa ikhlas sekiranya kita tidak diberi sebarang gaji dan elaun untuk mengajar anak bangsa? Sanggupkah kita mengajar kelas tambahan kepada anak murid walaupun tidak dibayar kerana kebanyakkan mereka berasal daripada keluarga yang miskin? Renungkan sahabat sekalian bagaimana pengorbanan yang bakal dihadapi oleh seorang guru kelak.

Belum terlambat rasanya HALAQAH IPG ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua pensyarah, guru dan juga bakal guru di seluruh Malaysia. Selalulah bermuhasah diri untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran kita dan menjadikan kita sebagai guru yang lebih berdedikasi.

"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

No comments: