Pages

Tuesday, June 15, 2010

Lebih 100 Tahun Usahakan Perniagaan Kurma




100 Tahun Berniaga Kurma. Foto: NorHayati Umor
Oleh Norhayati Umor

PULAU PINANG, 14 Jun (Bernama) -- Pokok kurma adalah sejenis tumbuhan palma atau 'Phonex dactylifera' berasal dari Asia Barat. Pokok ini mengeluarkan buah yang boleh dimakan ketika masih segar atau setelah dipetik.

Buah kurma bukan sahaja terkenal di kalangan masyarakat Arab malah digemari juga penduduk Asia termasuk Malaysia.

Buah yang menjadi juadah sangat popular ketika bulan puasa kini telah dipelbagaikan dan disesuaikan dalam hidangan masyarakat Melayu.

Satu ketika dulu perniagaan buah kurma dilihat sebagai perniagaan bermusim kerana hanya pada bulan puasa sahaja ia mudah diperoleh.

Tetapi di Pulau Pinang terdapat sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan buah kurma semenjak lebih 100 tahun dan sehingga hari ini merupakan perintis kepada industri import kurma sejak penubuhannya pada tahun 1900.

Syarikat tersebut ialah Mohamed Meera Sahib (M) Sdn Bhd juga popular dengan nama 'Kurma Meera' terletak di Little India iaitu di Penang Street, Georgetown. Perniagan ini dipelopori oleh kelompok peniaga berketurunan India Muslim.

SEJARAH KURMA MEERA

Syarikat Kurma Meera yang ditubuhkan oleh Mohamed Meera Sahib yang berasal dari India merupakan pengimport, pengeksport dan peruncit rempah ratus, herba dan buah kurma bermutu tinggi yang terkenal di sekitar Pulau Pinang.

Kini perusahaan tersebut diwarisi oleh generasi ketiga beliau.

Pada asalnya Mohamed Meera Sahib hanya bertugas sebagai kerani dalam perusahaan itu tetapi pada tahun 1954 beliau telah mengambil alih perniagaan dari rakan kongsinya yang kemudian diwarisi oleh anaknya iaitu Mohamed Noordeen.

Perusahaan ini banyak mengimport kurma bermutu tinggi dari Mesir, Tunisia, Iran, Jordan, Oman, Arab Saudi, Dubai (Emiriyah Arab Bersatu), China dan Pakistan. Kini perusahaan itu diuruskan sepenuhnya oleh cucu beliau iaitu Mohamed Meera Sahib Mohamed Noordeen yang merupakan Pengarah Kurma Meera.

Kurma Meera pernah mengimport kurma dari negara Iraq iaitu 'kurma Zahidi' yang hanya boleh didapati ketika bulan puasa.

"Dulu tidak banyak sangat kurma. Yang ada pun hanya jual kurma Zahidi dari Iraq dan itu pun masa Ramadan. Pasaran meningkat selepas Perang Teluk pada 2 Ogos 1990 hingga 28 Feb 1991 sebab kurma tidak masuk pasaran tahun sebelum awal 90'an," kata Pengarah Kurma Meera itu kepada Bernama.

Beliau berkata selepas Iraq terlibat dengan Perang Teluk bekalan kurma dari negara itu tidak lagi menembusi pasaran Malaysia.

JENIS-JENIS KURMA MEERA

Terdapat pelbagai jenis kurma yang diedarkan oleh Kurma Meera antaranya Degletnour dari Turnisia, Mozafati (kurma madu) yang dilabelkan semula dengan nama Rotab dan Bam, Meerayummy, Medjoul dan Barhi iaitu kurma segar dari Jordan, Ajwa dan Safawi.

"Semua kurma yang dijual adalah kurma segar tetapi ada juga yang disalut dengan gula tetapi ia dibuat atas permintaan pelanggan," katanya.

Mohamed Meera Sahib berkata kebanyakan kurma syarikat itu dijual sepanjang tahun.

"Kurma Meera mempunyai satu atau dua pengedar tetap di setiap negeri seluruh Malaysia. Selain itu kami juga mempunyai rangkaian pengedar Kurma Meera di negara lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei," katanya.

Produk Kurma Meera begitu terkenal dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dengan harga borong dari RM3 hingga RM85 sekilogram mengikut jenis manakala harga pasaran bermula dari RM5 hingga RM100 mengikut jenis.

Mengikut takwim Hijrah, bulan Puasa bermula pada awal Ogos ini dan sehingga kini Kurma Meera telah menerima lebih 40 peratus tempahan buah kurma dari pelbagai pelanggan.

"Tempahan ini sebenarnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lepas untuk tempoh yang sama, biasanya kami menerima tempahan dua bulan awal dan sebulan sebelum puasa kami edarkan kepada pengedar," katanya.

-- BERNAMA

2 comments:

akmalnag said...

kalau boleh bagi harga borong & harga jual, ada gambar lagi bagus... email: cariwanggg@time.net.my

Abu Hatim said...

saya pun copy & paste dari suratkhabar.kalau ada sesiapa yang tahu boleh tolong beritahu ye.