Pages

Monday, May 24, 2010

Mata 2 beradik disahkan normal

MEMILIKI anak yang mempunyai sepasang mata berwarna biru sememangnya mengundang kelainan apatah lagi anugerah berkenaan hanya mampu dimiliki individu tertentu saja.
MENARIK...Muhamad Zareef Aiman (tengah) dan adiknya, Muhamad Zafry Akmal, sering mengundang tumpuan dengan warna mata berbeza.
MENARIK...Muhamad Zareef Aiman (tengah) dan adiknya, Muhamad Zafry Akmal, sering mengundang tumpuan dengan warna mata berbeza.
UNIK...Zaharah (kiri) dan suami, Mohd Fuad, mempunyai dua anak bermata biru.
UNIK...Zaharah (kiri) dan suami, Mohd Fuad, mempunyai dua anak bermata biru.
Kelainan berkenaan bukan sahaja membuatkan si anak sentiasa menjadi tumpuan sebaliknya tempias berkenaan turut terkena kepada ibu dan bapa.
Ini juga yang berlaku kepada pasangan Mohd Fuad Mohd Daut, 58, dan isterinya, Zaharah Muhamad, 43, yang dikurniakan dua anak dengan seorang memiliki sepasang mata berwarna biru manakala seorang lagi bermata biru dan coklat.

Dua anak pasangan berkenaan iaitu Muhamad Zareef Aiman, 9, dan Muhamad Zafry Akmal, 7, bermata biru sementara dua abang dan adiknya normal.

Zaharah yang tinggal di Kampung Mengkasa, Pekan, Pahang, berkata dia tidak pernah menyangka dan membayangkan untuk memiliki anak yang mempunyai warna mata seperti masyarakat kulit putih itu.

"Saya hanya mengetahui memiliki anak bermata biru selepas dua hari melahirkan Muhamad Zareef Aiman di hospital Pekan. Doktor mengucapkan tahniah kepada saya kerana mendapat anak yang dianggap istimewa.

"Selepas dua tahun, saya melahirkan Muhamad Zafry Akmal yang memiliki sepasang mata berwarna biru," katanya yang bersyukur memiliki dua anak dianggap unik.

Pada peringkat awal dia rasa bimbang kemungkinan anaknya mengalami masalah penglihatan namun selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan mata Muhamad Zareef Aiman dan adiknya normal.

Katanya, setiap kali berkunjung ke pekan sehari dan pasar raya, anaknya akan menjadi tumpuan orang ramai yang merasa pelik dan hairan melihat mata anaknya yang berwarna biru.

"Ada yang menghampiri anak saya untuk melihat lebih dekat kelainan yang terdapat pada mata Muhamad Zareef Aiman dan adiknya. Selain itu ada juga yang mengambil gambar.

"Pernah juga ada pihak yang cuba meminta anak saya untuk dijadikan anak angkat namun saya tidak membenarkan," katanya yang bersyukur dengan kurniaan Ilahi ini.

Zaharah berkata, ada juga rakan dan keluarganya yang bertanya bagaimana dia boleh memiliki anak yang bermata biru sedangkan dia dan suami memiliki mata yang normal.

Ramai yang berasa pelik dengan apa yang berlaku dan tidak kurang juga dia terlalu teringatkan individu tertentu yang memiliki mata berwarna biru dan coklat.

"Selain terlalu inginkan anak bermata biru, keturunan suami juga menjadi antara faktor dua anak saya bermata biru.

"Sebagai ibu, saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan ini. Apa yang lebih penting ialah anak saya berada dalam keadaan sihat seterusnya berjaya dalam bidang pendidikan," katanya.

Suaminya, Mohd Fuad berkata, abang dan anak saudaranya turut memiliki mata berwarna biru dan coklat seperti yang berlaku kepada dua anaknya.

"Saya gembira memiliki anak yang dianggap istimewa ini, walaupun saya dan isteri normal, kami tetap berpeluang mempunyai anak unik dan comel ini," katanya yang bersyukur anaknya tidak mengalami sebarang masalah penglihatan.

Dia pernah bertemu dengan doktor yang menyambut kelahiran anaknya untuk bertanya mengenai mata anaknya itu. Doktor berkenaan menyatakan keturunan menjadi antara faktor utama.

Katanya, apa yang berlaku bukan satu kecacatan, perbezaan berlaku hanya pada warna sedangkan tahap penglihatan masih tetap normal.

No comments: