Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my
SUKARNYA mengungkap interpretasi cinta. Barangkali itu isi hati yang tersirat pada diri Hafidah Awaludin, 38, ketika bercerita alasannya memilih lelaki yang cacat pendengaran dan bisu sebagai pasangan hidup.
Tempoh perkenalan selama empat tahun dan bertunang selama enam tahun itu tidak memisahkan pasangan tersebut. Ternyata, hubung cinta jarak jauh itu berbekas di hati Hafidah kerana hatinya sudah terpikat dengan lelaki tersebut sejak mereka mula berkenalan.
Lelaki tersebut, Aqlam Jafri, 41, tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk menggapai cita-citanya. Aqlam menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat di Universiti Gallaudet, Washington DC pada tahun 1998.
Hafidah merupakan jurubahasa sepenuh masa dengan Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD) manakala Aqlam adalah presiden KLSD dan Penolong Pengarah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
Menurut Hafidah, dia dan Aqlam berkenalan pada tahun 1990 ketika menghadiri Kem Belia Khas di Port Dickson, Negeri Sembilan yang disertai oleh orang-orang yang cacat pendengaran dan bisu. Hafidah ketika itu adalah guru di sebuah sekolah anak-anak istimewa di Brickfields, Kuala Lumpur.
Tanggapan negatif
"Masa mula-mula nampak Aqlam, saya ingatkan dia berbangsa Cina. Selepas berkenalan baru saya tahu dia orang Melayu kami terus menjadi kawan baik dan selalu berhubung melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
"Kami mula menyedari perasaan suka sama suka tanpa perlu mengungkapnya. Sejak berkenalan juga saya mula belajar bahasa isyarat secara serius bagi memudahkan komunikasi dengan Aqlam," katanya.
Menurut Hafidah, pelbagai tanggapan negatif diterima saat memperkenalkan Aqlam kepada ahli keluarganya. Ramai yang tidak setuju dengan hubungan itu kerana bimbang masalah komunikasi dan kekurangan diri Aqlam.
"Sebelum bertunang, keluarga minta saya fikir masak-masak sebelum membuat keputusan berkahwin dengan suami kerana saya dilahirkan normal tetapi suami pula sebaliknya.
|
HAFIDAH akan menggunakan bahasa isyarat dengan suaminya untuk menjelaskan perbualannya dengan mereka yang normal.
|
"Akhirnya, mereka memberi restu selepas melihat kesungguhan saya dan selepas bertegas bahawa saya yang akan berkahwin," katanya yang mengambil masa lima tahun untuk benar-benar mahir bahasa isyarat.
Namun, selepas pertunangan itu, Aqlam menyambung pengajian di Universiti Gallaudet selama lima tahun. Tetapi, hubungan jarak jauh itu tidak memisahkan pasangan ini, sebaliknya mereka lebih mengenali diri masing-masing.
Menurut Aqlam, pada mulanya dia agak gusar untuk berkahwin dengan wanita normal kerana kekurangan dirinya. Dia bimbang ikatan perkahwinan yang bakal dibina berakhir dengan penceraian.
"Pada mulanya saya tidak menaruh harapan. Tambahan, budaya orang cacat pendengaran dan normal berbeza. Tetapi saya anggap memang sudah jodoh saya dengan isteri apatah lagi dia boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
"Saya bertuah memilikinya kerana selain bertanggungjawab, dia faham dan sudah biasa bergaul dengan orang cacat pendengaran dan memberi banyak komitmen kepada komuniti orang cacat pendengaran," akui Aqlam yang bahagia dengan perkahwinan tersebut lebih-lebih lagi selepas dikurniakan cahaya mata tunggal, Arif Mustafa, 9 tahun.
Menceritakan pengalaman memiliki anak, Aqlam memberitahu, dia sangat bimbang tidak dapat menjaga anaknya dengan baik terutama pada waktu malam kerana dia tidak mendengar anaknya menangis.
|
DETIK bersejarah Aqlam (kiri) dan Hafidah ketika disatukan sedekad yang lalu.
|
"Saya tidak ada keyakinan untuk menjaganya bersendirian jika isteri tiada di rumah. Sehubungan itu, saya akan beri emak saya jaga dan selepas dua tahun barulah saya ada keyakinan untuk menjaganya.
"Anak saya juga diajar menggunakan bahasa isyarat sejak usianya dua tahun. Jadi jika dia mahu susu dia akan tunjukkan isyarat menggenggam tangan," katanya.
Tambah Aqlam, dunia tanpa sempadan dan perkembangan teknologi memberi peluang kepada orang-orang yang cacat pendengaran untuk berhubung dengan sesiapa sahaja termasuk dirinya.
"Saya bersyukur dengan adanya teknologi, kerana komunikasi menjadi lebih mudah. Saya dapat berhubung dengan isteri dan anak menggunakan SMS, e-mel dan 3G," katanya.
Hafidah menambah, orang cacat pendengaran lebih sensitif dan mereka yang ingin berkahwin dengan golongan itu mestilah memahami budaya dan sikap golongan tersebut supaya tidak mudah timbul salah faham.
"Walaupun bersembang dengan kawan-kawan normal, saya masih bercakap sambil menggunakan bahasa isyarat jika suami ada di sisi kerana dia juga ingin tahu apa yang dibincangkan dan supaya dia tidak rasa tersisih," katanya.
Saling memahami
Sementara itu, pasangan cacat pendengaran dan bisu, Mohd. Fariz Omar, 27 dan Siti Faraha Abdul Malik, 26, sudah berkawan sejak di bangku sekolah lagi tetapi hanya berpasangan sejak tahun 2008 dan bakal mendirikan rumahtangga tidak lama lagi.
Fariz cacat pendengaran dan bisu sepenuhnya manakala Faraha masih boleh mendengar dan bercakap tetapi kurang jelas dan tidak lancar. Mereka kini sedang mengikuti kursus praperkahwinan.
Menurut Faraha, dia dan Fariz rapat selepas Fariz putus cinta dengan seorang pelajar ketika sama-sama belajar di Sekolah Menengah Teknik Shah Alam.
"Pada mulanya saya simpati dengan Fariz tetapi selepas bersahabat sekian lama dan memahami di antara satu sama lain, kami mula berpasangan. Saya menyenangi Fariz kerana dia peramah, suka melayan saya dan tidak suka marah.
"Kami juga baru berjumpa dengan keluarga masing-masing selepas berbincang untuk berkahwin," katanya yang mengasuh anak abangnya sendiri.
Fariz pula memberitahu, dia mempunyai dua lagi adik yang cacat pendengaran dan berhubung melalui SMS atau nota dengan ibu bapa kerana mereka tidak fasih berbahasa isyarat.
SELAIN bahasa isyarat, Fariz (kiri) dan Faraha juga berkomunikasi menerusi SMS.
"Dengan Faraha, kami berhubung melalui SMS dan 3G. Saya berharap dapat mencari sebuah rumah yang sesuai selepas berkahwin dan mempunyai anak jika ada rezeki," katanya yang bekerja sebagai pelayan restoran.
Tambahnya, untuk berkahwin, golongan cacat pendengaran mesti meminta pandangan mereka yang berpengalaman supaya rumah tangga sentiasa aman. Faraha pula menegaskan dalam perkahwinan golongan cacat pendengaran kesetiaan kepada pasangan paling penting.
Dalam pada itu, Ketua Pendaftar Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Che Husain Isa memberitahu, lazimnya pengantin lelaki normal bersalam dengan jurunikah ketika dinikahkan tetapi tidak bagi pengantin pekak.
"Dalam pernikahan pasangan cacat pendengaran ada orang ketiga iaitu jurubahasa yang akan menterjemah percakapan jurunikah menggunakan bahasa isyarat sebelum dijawab oleh pengantin pekak yang juga menggunakan bahasa isyarat.
"Pernikahan orang pekak juga lebih mementingkan rukun nikah wajib iaitu pengantin lelaki dan perempuan, wali, dua orang saksi serta ijab dan kabul," katanya sambil menjelaskan bersalaman tidak wajib ketika dinikahkan.
Katanya, semua prosedur membabitkan pernikahan cacat pendengaran tidak ada beza dengan pernikahan orang normal kecuali memerlukan seorang jurubahasa dan lafaz terima nikah.
"Bermula dengan kursus nikah sehinggalah khutbah nikah, semua maklumat yang disampaikan sama sahaja. Bagaimanapun kursus nikah orang cacat pendengaran perlu dijalankan secara berasingan dengan orang normal.
"Selain itu ketika dinikahkan, pengantin normal menyebut, 'Aku terima nikahnya...' tetapi jurubahasa yang mewakili pengantin pekak akan menyebut, 'Fulan bin fulan menerima nikahnya...' kepada jurunikah," katanya.