Pages

Thursday, April 15, 2010

Selepas solat hajat...!



MALAM ini malam Jumaat. Puluhan orang kampung sedang membacakan Yasin dan tahlil di rumah Zainuddin. Sesudah itu mereka bersolat hajat dan berdoa semoga Azalina, anak gadis Zainuddin segera ditemui.

Dua minggu sudah, Azalina pergi bekerja seperti biasa, sebagai tukang sapu di klinik sebuah bandar kecil di selatan tanah air. Namun sejak daripada hari itu, Azalina tidak pulang-pulang ke rumah.

Hendak dikatakan Azalina membawa diri kerana berasa hati atau marah dengan ahli keluarganya, tidak juga. Tiada perselisihan faham antara Azalina dengan ibu, ayah serta adik beradiknya. Lebih merisaukan, gadis itu juga tidak menghubungi keluarganya melalui telefon, untuk memberitahu dimana dia berada.

Gadis itu diculik? Sukar untuk dikatakan begitu kerana tiada panggilan telefon diterima daripada orang yang meminta wang tebusan, atau mengugut akan melakukan sesuatu yang buruk ke atas Azalina.

Pelbagai usaha dijalankan oleh Zainuddin dan para penduduk kampung untuk mengesan Azalina, namun tidak berjaya. Akhirnya urusan itu diserahkan saja kepada pihak polis. Manakala Zainuddin, ahli keluarga dan jiran-jirannya meneruskan bacaan Yasin, tahlil serta solat hajat pada setiap malam.

Mereka berharap, berkat kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran, serta doa yang mereka panjatkan kepada Ilahi, Azalina akan pulang atau dijumpai semula. Zainuddin dan orang-orang kampungnya juga berdoa, sekiranya Azalina dianiaya, orang yang melakukan perbuatan zalim itu akan segera insaf dan memulangkan gadis tersebut ke pangkuan keluarganya. Mereka berdoa dengan sesungguh hati.

Tetapi persoalannya, ke mana hilangnya Azalina? Siapa pula orang yang rapat dengan Azalina, yang mungkin dapat membantu merungkai misteri kehilangan gadis itu?

Menurut rakan-rakannya, Azalina rapat dengan seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah berdekatan. Namanya Rahim, usianya sudah 68 tahun. Kawan-kawannya kerap melihat orang tua tersebut berbual dengan Azalina di pondok pengawal sekolah itu. Kebetulan pula tempat kerja Azalina tidak jauh dari sekolah tersebut.

Pihak polis cuba mendapatkan maklumat daripada pengawal keselamatan terbabit. Namun, dia gagal dikesan. Apabila polis pergi ke rumahnya, orang tua itu juga tidak ada. Pentadbir sekolah pula memberitahu, sudah dua minggu Rahim tidak bekerja.

Pencarian semakin buntu. Manakala Zainuddin, terus berusaha dengan memanggil lebih ramai kenalan, jiran dan saudara-mara untuk mengadakan bacaan Yasin, tahlil serta solat hajat!

DI BALAI POLIS HARI KE 21 KEHILANGAN AZALINA

RAHIM tiba-tiba muncul di balai polis. Wajahnya pucat. "Encik, tolong saya, encik. Saya diganggu, saya diganggu!" Rahim terketar-ketar memberitahu anggota polis yang bertugas di kaunter.

"Siapa yang ganggu pak cik?" tanya anggota polis tersebut.

"Perempuan!" jawab Rahim.

Daripada raut wajah Rahim, kelihatan dia seperti dalam ketakutan. Dia gelisah, rambutnya kusut. Di tangan dan muka Rahim penuh dengan calar serta luka-luka kecil.

Rahim kemudian dibawa ke dalam balai untuk bertemu dengan beberapa orang lagi anggota polis. Kepada anggota-anggota polis tersebut Rahim menceritakan, sudah lima, enam malam dia tidak dapat tidur. Setiap kali memejamkan mata, seorang wanita akan muncul dan mengganggunya. Wajah wanita itu amat menakutkan. Ia mengejar Rahim dan mahu membunuhnya.

Kata Rahim, selagi tidak dapat membunuh, selagi itu wanita tersebut mengejarnya. Dia sudah tidak tahan lagi. Anehnya, Rahim memberitahu anggota polis tadi, dia diganggu setiap kali orang kampung selesai bertahlil, membaca Yasin dan menunaikan solat hajat.

"Awak kenal tak wanita dalam mimpi tu?" tanya seorang anggota polis.

"Kenal."

"Siapa?"

"Tukang sapu tu!"

"Azalina? Budak yang sudah tiga minggu hilang tu?" tanya polis lagi.

"Ya. Azalina datang ganggu saya. Dah lima, enam malam dia datang. Saya dah tak tahan, sebab itu saya datang ke sini," jawab Rahim.

Anggota polis itu mula mengesyaki Rahim terlibat dengan kehilangan Azalina. Namun pegawai polis itu tidak mahu menyoalnya secara terus terang.

"Kenapa badan pak cik ni calar-calar," tanya salah seorang pegawai polis tersebut.

"Saya redah hutan. Saya lari! lari daripada polis. Tiap kali polis datang, saya lari ikut belakang," Rahim berterus terang.

Barulah anggota polis tersebut tahu, rupa-rupanya selama ini Rahim melarikan diri setiap kali polis datang ke rumahnya. Patutlah sukar sekali polis menemuinya.

Pagi itu Rahim ditahan di balai tersebut. Setelah mendapat perintah mahkamah, orang tua itu ditahan reman. Dia disoal siasat pihak polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan Azalina.

Pada mulanya Rahim cuba berbohong mengatakan dia tidak tahu menahu tentang kes tersebut, namun setelah didesak, akhirnya dia mengaku telah membunuh Azalina.

"Saya mengaku, saya yang bunuh Azalina. Mayatnya ada di tangki najis sekolah," beritahu Rahim.

Sebaik mendapat maklumat daripada Rahim, pihak polis bergegas pergi ke sekolah tersebut. Memang benar, terdapat bau yang sangat busuk dari tangki najis dan setelah diperiksa, didapati ada satu mayat terapung di dalamnya.

Usaha dilakukan untuk mengeluarkan mayat yang sudah hancur itu. Setelah dibawa ke hospital dan dijalankan siasatan, mayat itu disahkan sebagai Azalina.

Gadis tersebut telah dibunuh. Inilah perkara yang tidak dapat diterima Zainuddin. Selama 21 hari dia dan orang orang kampung menunaikan solat hajat mencari Azalina, barulah anaknya itu ditemui. Namun bukan Azalina yang asal, tetapi jasadnya yang sudah hancur.

Zainuddin tidak dapat menerima kenyataan itu. Hanya setelah dipujuk ahli keluarganya, barulah dia menerima jenazah berkenaan.

Di senja itu, mayat Azalina dikebumikan untuk bertemu kembali dengan Yang Maha Esa. Suasana pilu menyelubungi semua yang berada di tanah perkuburan tersebut...

RAHIM MENJERUT AZALINA DENGAN TUDUNG

MENGAPA dan bagaiman Azalina dibunuh? Setelah penemuan mayat Azalina, pihak polis mula melengkapkan siasatan dengan membawa Rahim ke tempat kejadian dan meminta orang tua itu melakonkan semula kejadian tersebut.

Rahim menceritakan, bahawa dia sudah lama jatuh cinta pada gadis berusia awal 20-an itu. Dia terpikat pada wajah Azalina yang lembut, kulitnya yang putih kemerahan dan pipinya yang montel. Bagi memikat Azalina, setiap hari Rahim akan membelikan makanan dan membelanja apa sahaja untuk gadis tersebut. Azalina juga melayannya dengan baik.

Tambahan pula Rahim berada dalam kesunyian setelah mempunyai masalah rumah tangga dengan isterinya. Dia kerap mengusik Azalina yang setiap hari melalui sekolah berkenaan semasa pergi dan pulang dari tempat kerjanya diklinik berhampiran.

Lama-kelamaan, suatu perasaan cinta yang luar biasa bergelora di dada orang tua itu. Dia mesti mendapatkan Azalina. Mesti!

Rahim memberitahu, suatu hari, ketika orang sedang menunaikan solat Jumaat, dia membawa Azalina ke pondok pengawal sekolah tersebut. Kemudian, Rahim mengajak Azalina melakukan hubungan s**s. Yang ada di situ hanya mereka berdua.

Namun Azalina menolaknya. Azalina tetap enggan biarpun Rahim puas memujuknya. Ini membuatkan Rahim naik berang.

Rahim memberitahu anggota-anggota polis itu, dia berasa malu dengan keengganan Azalina melayan kehendaknya.Dia juga bimbang kalau Azalina menceritakan perkara itu kepada orang lain. Lantas, orang tua berusia 68 tahun itu tuba melakukan kekerasan terhadap Azalina. Namun, Azalina melawan.

Rahim naik angin dan terus mencekik Azalina. Gadis itu terkapai-kapai, dan Rahim membuka tudung Azalina dan menjerut lehernya dengan kain tudung tersebut.

Akhirnya pada tengah hari Jumaat tersebut, ketika orang sedang khusyuk bersolat, Azalina mati di tangan Rahim. Dia dibunuh oleh seorang lelaki berusia 68 tahun, yang mendakwa dirinya kesepian dan menghadapi masalah dengan isteri.

Rahim memberitahu, mayat Azalina kemudian dimasukkan ke dalam guni dan dibuang ke dalam lubang tandas di belakang sekolah tersebut.

Apabila orang ramai mula kecoh dengan kehilangan Azalina, Rahim menjadi takut. Dia tidak pergi bekerja. Orang tua itu hanya duduk di rumah sahaja dan akan melarikan diri ke dalam semak berhampiran rumahnya apabila melihat polis datang mencarinya.

Begitulah keadaan Rahim, sehinggalah dia tidak tahan lagi diganggu oleh 'Azalina' yang muncul selepas keluarganya mengadakan bacaan Yasin, tahlil dan solat hajat, lalu pergi ke balai polis dan mengaku telah membunuh gadis tersebut!

***************

Nota: Rahim telah dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah membunuh Azalina. Bagaimanapun, hukuman gantung belum lagi dijalankan ke atasnya kerana orang tua itu sedang menderita sejenis penyakit kronik.


Kredit kepada: Mastika Februari 2008 - Nasaie Ismail

No comments: