Thursday, March 06th, 2008 | Author: admin
Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya, setiap amalan itu bermula dengan niat.Dan bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang dikehendaki.
(HR Bukhari dan Muslim)
Hadis diatas menerangkan tentang hubungan antara niat dan amalan seseorang. Rasulullah SAW sebenarnya berkata sedemikian untuk memperbetul niat orang Islam yang akan turut serta bersamanya dalam penghijrahan dari Makkah ke Madinah. Pada kala itu, segelintir muslim berniat untuk menyertai Hijrah semata-mata kerana kemewahan hidup dan kesenangan yang telah dijanjikan kepada mereka sebaik sahaja mereka sampai ke Madinah. Mereka diingatkan bahawa Hijrah mereka akan menjadi sia-sia seandainya niat untuk brhijrah itu tidak disandarkan kepada Allah dan rasul-Nya. Seandainya mereka berhijrah dengan niat untuk memperoleh kemewahan, maka dia akan memperoleh kemewahan, bukannya pahala dan keredhaan Allah yang ditagih oleh kita, hamba-Nya.
Untuk menjelaskan lagi kaitan antara niat dan ibadah, kita akan melihat contoh seorang ulama yang sangat taat pada perintah Allah dan sangat tawadhu’. Diceritakan dalam kawasan kampung tempat tinggal ulama ini terdapat sebatang pokok yang sangat besar dan kebanyakan masyarakat di sana menyembah pokok itu sebagai tuhan memandangkan mereka menganggap pokok itu berkuasa dan bertanggungjawab ke atas penciptaan manusia. Ulama itu berasa sangat terkilan melihat perbuatan jahil masyarakat kampungnya itu yang membelakangkan ajaran Allah. Maka, pada suatu hari, dia telah bertekad dan berniat untuk menebang pokok tersebut. Maka, setelah selesai solat subuh pagi itu, dia terus mencapai kapaknya dan bergerak menuju ke arah pokok besar itu. Namun, dia telah didatangi oleh Iblis. Dengan berketar-ketar, Iblis
bertanya, “wahai ulama, ke mana engkau ingin pergi?” Dengan tegasnya, ulama tadi menjawab,”aku ingin menebang pokok yang telah menyesatkan masyarakatku”.Iblis tadi kelihatan lebih gementar. Lalu Iblis itu terus berkata dengan mengharap,”Inginkah engkau menerima 2 keping syiling emas setiap hari daripada aku?”Ulama tadi terus mendengar dengan penuh minat.”Beginilah, engkau lupakan sahaja niatmu untuk menebang pokok tadi dan baliklah engkau ke rumahmu dan berehatlah.Esok, selesai solat subuh, selaklah sejadahmu dan akan engkau dapati 2 keping syiling emas berada dibawahnya.”Tawaran Iblis ini telah mengaburkan pandangan ulama tadi. Entah bagaimana, dia bersetuju untuk menerima tawaran itu, lalu pulanglah ulama tadi membawa semula kapak yang dipikulnya.
Keesokkan harinya, setelah selesai solat subuh, ulama tadi dengan penuh yakin terhadap janji Iblis itu, terus menyelak sejadahnya. Alangkah gembiranya dia setelah mendapati dihujung sejadahnya terdapat apa yang yang telah dijanjikan oleh Iblis kepadanya. Dia mula lalai dengan ‘nikmat’ itu dan mula memikirkan tentang kehidupan yang mewah.Pada agi yang kedua, sekali lagi dia memperoleh 2 keping syiling emas. Egitu juga dengan hari yang ketiga. Namun, pada hari yang keempat, setelah selesai solat, didapatinya tiada syiling emas yang dijanjikan oleh iblis. Dia menyelak sejadahnya 2-3 kali untuk memastikan ketiadaan syiling itu. Hatinya terus berang. Lantas dia terus mengambil kapaknya dan bergerak menuju pokok yang menyesatkan masyarakatnya. Dalam hatinya penuh perasaan marah kerana telah tertipu dengan iblis. Sekali lagi, dalam perjalanannya itu, dia diberhentikan oleh Iblis yang telah menjanjikan emas kepadanya. Maka ulama tadi pun berkata, “Iblis engkau tidak menunaikan janjimu. Maka akan aku tebang pokok itu.” Iblis itu pun ketawa. Dia tidak kelihatan gementar seperti apa yang berlaku tempoh hari. Ulama pun berasa hairan. “Iblis, tidakkah enghkau takut dengan aku? Bukankah tempoh hari engkau menggeletar sewaktu bertemu dengan aku? Mengapa kali ini engkau kelihatan sangat berani?” Iblis itu pun menjawab,”Wahai ulama yang mentah. Tidakkah engkau tahu akan kepentingan niat dalam setiap perbuatanmu? Sesungguhnya tempoh hari niatmu untuk menebang pokok itu adalah semata-mata kerana Allah SWT. Maka sekiranya aku seru segala bala tentera kaum kerabatku untuk menghalangmu maka tidaklah akan kami berjaya. Namun, hari ini engkau datang untuk menebang pokok ini semata-mata kerana ingin membalas dendam kerana tidak memperoleh emas seperti yang telah aku janjikan. Maka sesungguhnya niat untuk perbuatan engkau sudah tidak sealiran dengan agamamu. Maka sekiranya aku menjentikmu pun engkau sudah akan rebah kerana sesungguhnya dalam tindakanmu ini Allah tidak meredhai niatnya.” Maka dengan penuh rasa menyesal dan kecewa, ulama tadi pun pulang ke rumahnya. Lalu dia pun berdoa dan bertaubat kepada-Nya. Dalam hatinya penuh rasa sesalan kerana meletakkan sesuatu lebih daripada Allah.
Berdasarkan cerita di atas dapatlah kita melihat betapa pentingnya niat dalam setiap perbuatan itu. Janganlah disebabkan kita berniat melakukan sesuatu itu semata-mata untuk memperoleh kenikmatan dunia kerana sesungguhnya kita akan hanya memperoleh nikmat dunia itu. Namun sekiranya kita melakukan sesuatu perbuatan itu kerana Allah SWT, kita bukan sahaja memperoleh keredhaan-Nya, malah kita akan memperoleh apa yang kita hajatkan dengan keizinan-Nya. Marilah sma-sama kita betulkan niat kita dan jadikanlah setiap amalan(menuntut ilmu, memberi tazkirah, dsb) itu bermula dengan hati yang menyebut ‘lillahi taala’ (kerana Allah SWT), Insya-Allah…
No comments:
Post a Comment