“Anda masih ingat pada suatu masa bila ibu bapa kita berulang kali mengingatkan kita agar membasuh tangan dahulu sebelum makan? Mereka sering berkata “Makan dengan tangan bersih boleh elak penyakit!” Membasuh tangan juga dianggap satu tabiat baik di meja makan. Penulis masih ingat ketika beliau menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh, selain mengenakan pakaian yang kemas serta bersih sebelum makan malam, penghuni asrama juga dikehendaki beratur dan membasuh tangan mereka sambil diperhatikan penyelia asrama. Kenapa perlu basuh tangan? Pengurus jualan B Braun Medical Supplies Sdn Bhd (Bahagian Pesakit Luar) Wong Liang Min berkata, kuman wujud di mana-mana. Adalah mustahil untuk menghapus semua kuman, tetapi tangan bersih menghalang kuman yang menyebabkan penyakit daripada merebak. Menurut Wong, kuman boleh didapati pada barang permainan, tombol pintu, telefon termasuk telefon bimbit, beg tangan dan dompet, kereta tolak serta alat kawalan jauh dan suis lampu. “Mana-mana lokasi yang ada pergerakan manusia, sudah tentu ada pergerakan kuman. Anggaplah kedua-dua tangan anda sebagai satu Sistem Transit bagi kuman," katanya. Pemindahan kuman Wong memberi beberapa contoh tentang bagaimana pemindahan kuman boleh berlaku. “Cuba lihat dari aspek makanan. Bila anda menyentuh makanan tanpa membasuh tangan atau memakai sarung tangan, kuman akan melompat dari permukaan tangan ke permukaan makanan dan bila makanan itu dimakan, boleh menyebabkan berlakunya penyakit. “Dari badan ke tangan dan permukaan. Bila anda gosok mata, menyisir rambut dengan jari atau sentuh mana-mana anggota badan dan sebelum menyentuh benda atau orang lain, maka berlakulah pemindahan kuman. “Apabila bersentuh dengan orang yang sakit, walaupun tiada tanda dan gejala yang ketara seperti seorang anak yang demam atau mengalami cirit-birit, kuman akan turut mengembara bersama anda sehinggalah anda membasuh tangan," katanya. Wong berkata, bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan, bersentuhan dengan haiwan ini akan menyebabkan kuman melekat pada badan dan mendatangkan penyakit. Wong juga menyenaraikan beberapa faktor yang boleh menyebabkan kuman merebak seperti terkena tangan yang kotor, menukar lampin kotor, terkena air serta makanan tercemar dan juga cecair titisan daripada batuk atau bersin. "Cara lain ialah melalui permukaan tercemar atau sentuhan dengan cecair badan orang yang sakit. “Apabila kanak-kanak tersentuh kuman, dengan cara tidak sengaja mereka akan terkena jangkitan setelah menyentuh mata, hidung dan mulut mereka. Dan apabila anak-anak terkena jangkitan, sudah tentu ahli keluarga lain juga akan terkena jangkitan penyakit yang sama," katanya. Membasuh tangan dengan baik merupakan barisan pertahanan pertama terhadap jangkitan penyakit, sama ada daripada selesema biasa sehinggalah penyakit yang lebih serius seperti meningitis, Bronchiolitis, Influenza, Hepatitis A dan juga cirit-birit. Pentingnya basuh tangan Menurut Wong, bukan sahaja penting bagi membasuh tangan secara kerap tetapi juga teknik membasuh tangan yang betul. Beliau berkata, membasahkan tangan sepintas lalu dengan air paip yang dingin hanya ‘membasahkan’ kuman. Untuk menghindari kuman, anda perlu mengikut cara membasuh tangan yang betul. “Basahkan tangan dengan air suam (sesuam mana yang boleh) dan gosok dengan sabun buku atau sabun cair dan gosok tapak tangan anda serta juga celah jari hingga berbuih. “Gosok secara kuat sekurang-kurangnya 20 saat dan pastikan semua permukaan tangan bersih termasuklah pergelangan tangan, belakang tapak tangan, celah jari-jari serta juga bawah kuku. “Bilas dengan air sebersihnya dan keringkan menggunakan tuala kering bersih atau tuala kertas,” katanya. Menurutnya, kepentingan membasuh tangan ialah ia menghalang jangkitan pelbagai penyakit. “Mempunyai tangan yang bersih, membuatkan anda rasa dilindungi sepanjang hari. Tangan yang bersih penting untuk kesihatan anda,” katanya. - Bernama |
Tuesday, April 27, 2010
“Alamak, saya lupa basuh tangan!”
Labels:
basuh tangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment