Pages

Monday, March 1, 2010

Tipu Daya Iblis 2

Allah swt telah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 34 yang bermaksud 'dan (ingatlah)
ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu
mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan
menjadilah ia dari golongan yang kafir.'
Iblis seperti yang telah kita semua ketahui adalah musuh yang nyata bagi setiap anak Adam.
Kehebatannya merayu untuk menyesatkan datang dari setiap penjuru sehingga mengalir di
dalam darah ,bersembunyi di dalam hati dan tinggal di akal manusia. Nabi Muhammad saw
telah bersabda maksudnya 'Sesungguhnya syaitan berjalan pada manusia di setiap pembuluh
darah.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila syaitan menetap dalam hati,manusia akan menjadi was-was dan benci kepada
kebaikan serta gemar kepada keburukan. Jika bersarang di akal,manusia asyik memikirkan
keuntungan diri tanpa memperdulikan kebajikan orang lain. Semua manusia termasuk para
Rasul dan para Nabi didatangi dan dipujuk rayu oleh iblis. Tujuannya adalah supaya manusia
mengikuti jejaknya yakni dengan tidak mentaati dan melanggar perintah Allah dan
bersama-sama menemaninya ke dalam neraka; “Dan sesungguhnya neraka jahannam
itu,tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutmu.”(Surah al-Hijr:43)
Kelicikannya dapat mengaburi manusia jika iman manusia itu pudar,luntur dan tidak dibajai
setiap masa dengan mengingati Allah SWT.Mereka yang terperdaya dengan iblis semestinya
akan menyesal di kemudian hari walaupun dibuai keseronokan di permulaannya.
Kesimpulannya,semua manusia tidak akan terlepas daripada pujuk rayu dan pengaruh
iblis,kecuali bagi mereka yang sentiasa memperbaharui iman mereka supaya tetap teguh dan
kuat untuk melepasi godaan itu.
Bagi yang telah sedar akan kesilapan diri, dipengaruhi serta digoda tipu daya iblis,segeralah
bertaubat bagi kesalahan yang telah dilakukan sebagaimana nabi Adam yang segera bertaubat
setelah termakan tipu daya iblis bersama Hawa sehingga dikeluarkan dari syurga. Kisah ini
telah disebutkan dalam surah Al-baqarah ayat 36 yang bermaksud; 'Setelah itu maka Syaitan
menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari
nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu!
sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua
disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa
(mati)".
Dunia ini bagaikan lautan yang dalam yang mana sudah ramai ditenggelaminya. Oleh
itu,jadikanlah taqwa sebagai perahu,iman sebagai isinya dan tawakal sebagai layarnya.Ikan
yang hidup di dalam laut yang masin tidak masin apabila dinaikkan ke darat. Tetapi apabila
telah mati,secubit garam sudah cukup untuk memberi rasa masin kepadanya. Begitulah juga
dengan hati,hati yang 'hidup' amat sukar ditembusi,tapi bila hati telah 'mati',amat mudah untuk dipengaruhi.


Mutiara kata & wasiat
Sesiapa yang merasa marah tetapi dia tidak dapat meluahkannya maka dia seumpama keldai
dan sesiapa yang merasa redha terhadap sesuatu tetapi dia tidak dapat menerimanya maka dia
seperti syaitan yang mana redha dengan ketentuan Allah tetapi tidak mahu tunduk kepada
perintah-Nya. “Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat
daripada lidah manusia sudah boleh dianggap mencapai jalan kepada mendapat keredhaan
mereka. Oleh itu hendaklah engkau melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan
sentiasalah berbuat demikian”. 

(Wasiat Imam Syafi’e)

No comments: