Pages

Saturday, March 20, 2010

Dividen KWSP 5.65%




KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.65 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, peningkatan 115 mata asas berbanding 4.5 peratus yang dibayar bagi tahun kewangan 2008.
Tan Sri Samsudin Osman
Tan Sri Samsudin Osman
Kadar dividen itu diumumkan selepas KWSP memperoleh pendapatan bersih tertinggi pernah dicapai iaitu RM19.63 bilion, peningkatan 34.82 peratus berbanding RM14.56 bilion yang diraih pada 2008.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman, berkata tahun lalu adalah tahun yang penting bagi KWSP kerana berjaya keluar daripada krisis kewangan global.

“Walaupun KWSP terus berdepan dengan persekitaran ekonomi kurang memberangsangkan, pelaburan KWSP berupaya memberi prestasi yang kukuh pada tahun berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pada tahun dikaji itu, 72.53 peratus pelaburan dilaburkan dalam Instrumen Berpendapatan Tetap selaras dengan pendekatan pelaburan berhemah diamalkan kumpulan itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebahagian besar iaitu 41.2 peratus atau RM152.96 bilion dilaburkan dalam pinjaman dan bon manakala 25.08 peratus atau RM93.11 bilion lagi dalam sekuriti kerajaan Malaysia.

Katanya, 27.05 peratus atau RM100.43 bilion dalam pelaburan ekuiti, 6.25 peratus atau RM23.21 bilion dalam instrumen pasaran wang dan 0.42 peratus atau RM1.55 bilion dalam sektor hartanah.

Setakat 31 Disember 2009, portfolio pelaburan KWSP meningkat 8.55 peratus atau RM29.25 bilion kepada RM371.26 bilion berbanding RM342.01 bilion pada 2008.

Beliau berkata, pada 2009, pihaknya memerlukan RM3.43 bilion untuk membayar satu peratus dividen kepada ahlinya berikutan pertambahan jumlah ahli yang menyertai kumpulan itu.

Jumlah itu meningkat 7.86 peratus berbanding RM3.18 bilion yang diperlukan bagi membayar satu peratus dividen pada 2008.

Ahli boleh menyemak dividen 2009 yang akan dikreditkan dalam akaun mereka mulai Isnin ini.

“Prospek 2010 bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan global. Buat masa ini, pasaran kewangan global masih tidak stabil dan boleh memberi kesan kepada nilai pelaburan dan pendapatan masa depan KWSP,” ktanya.

No comments: