Pages

Monday, June 17, 2013

Basikal guna enjin jet




London: Seorang tukang paip mendakwa membina basikal paling berbahaya di dunia dikuasai oleh enjin jet buatan sendiri dan mempunyai kelajuan hingga 80 kilometer sejam.

Colin Furze yang memegang tiga gelaran Rekod Dunia Guiness kerana ciptaannya termasuk skuter mudah alih terpantas dunia yang diubah suai daripada basikal Raleigh milik ibu kawannya.


Lelaki berusia 32 tahun terbabit memberi nama samaran Norah kepada basikal itu yang dilengkapi enjin jet di belakang yang dipanjangkan agar kedudukan penunggang jauh daripada enjin.

Bagaimanapun foto di sebelah menunjukkan Fruze dan rakannya tidak memakai pakaian atau peralatan keselamatan ketika mencuba basikal berkenaan. Pencipta Britain itu sangat dikenali di dunia maya kerana lagak ngerinya yang cukup luar biasa. - DM

Sambut baik tapi ragu

Sambut baik tapi raguRakyat Iran berarak merai kemenangan Rohani sebagai presiden baru dengan memakai topeng wajah beliau. Washington: Kuasa dunia secara berhati-hati mengalu-alukan pemilihan Hassan Rohani sebagai Presiden Iran yang baru kerana terus bimbang berhubung program nuklear Tehran.

Pemilihan ulama berhaluan sederhana berusia 64 tahun itu menamatkan cengkaman lapan tahun puak konservatif terhadap kuasa di negara konservatif itu.
Rohani menggunakan kenyataan pertamanya selepas kemenangan itu disahkan untuk mengumumkan bahawa negara Barat ada peluang baru melayan Republik Islam berkenaan dengan perasaan hormat dan mengiktiraf haknya.


Amerika Syarikat berkata, ia bersedia berdialog dengan Iran secara langsung berhubung program nuklear Tehran.

Penyelesaian diplomatik Rumah Putih berkata, dialog itu bertujuan mencapai penyelesaian diplomatik yang menangani sepenuhnya kebimbangan masyarakat antarabangsa berhubung program nuklear Iran.

Ia mengkritik kurangnya ketelusan, tapisan media, internet dan mesej teks ketika undian, selain persekitaran keselamatan yang mengehadkan kebebasan bersuara dan berhimpun.

Barat mengesyaki program berkenaan bertujuan membangunkan senjata nuklear, namun Iran menegaskan ia untuk tujuan keamanan seperti menjana tenaga.
Rohani sebelum ini berazam untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Amerika, yang terputus selepas pelajar Iran merampas kedutaan Amerika di Tehran pada 1979.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa Iran memainkan peranan membina dalam hubungan serantau dan antarabangsa dalam satu mesej tahniah kepada Rohani sambil mengalu-alukan penyertaan tinggi pengundi dalam undian kali ini.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton sedia bekerjasama dengan Rohani untuk mencari penyelesaian diplomatik pantas program nuklear.

Ashton berkhidmat sebagai ketua perunding enam kuasa dunia yang menuntut untuk memeriksa program nuklear Iran.

Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius berkata Paris sedia ‘bekerja’ dengan Rohani, manakala Britain menggesanya membawa republik Islam itu ‘ke laluan berbeza, begitu juga Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle. AFP

Cengkerang 260j tahun ditemui


ANTARA fosil cengkerang spesies Brakiopoda yang ditemui pada singkapan batuan tapak projek jalan raya berdekatan Sungai Yu, Merapoh, Kuala Lipis, semalam.
KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Penemuan itu membuktikan hasil kajian fosil berkenaan lebih tua usianya berbanding fosil ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis berusia 230 juta tahun yang dibuat pada 2011.
Ahli Paleontologi IGM, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman pra-sejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaiktaraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil itu terletak lapisan batu lumpur merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp.,Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, menerusi penyelidikan itu bahawa Merapoh berada di dasar lautan antara 250 hingga 260 juta tahun lampau dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif.
"Haiwan primitif ini berenang bebas di lantai lautan yang relatifnya agak dalam dan beriklim panas. Kemudiannya, apabila mati akan tertimbus oleh enapan keladak kekal yang menjadi batu dalam tempoh beratus juta tahun lamanya," ujarnya.
Katanya, haiwan purba itu hidup pada zaman sebelum berlakunya kepupusan masa di muka bumi iaitu kira-kira 252 juta tahun lampau.
Menurut beliau, menerusi proses geologi dasar laut berkenaan timbul ke permukaan bumi dan menjadi daratan serta membentuk topografi atau bentuk muka bumi seperti yang wujud di Merapoh.
Justeru, katanya, apabila terdapat projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya di sini, bumi yang menyimpan banyak rahsia alam akan terungkai menerusi penemuan fosil cengkerang di lokasi berkenaan.
"Berdasarkan kajian paleontologi, hidupan primitif ini pernah hidup di sekitar 260 juta tahun lampau atau secara saintifiknya berada dalam tempoh zaman Lopingian dan Permian," jelasnya.
Katanya, kawasan Merapoh diumpamakan 'kitab sejarah bumi' yang memaparkan fenomena kehidupan sebelum wujudnya manusia di muka bumi ini kira-kira 200,000 tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130617/dn_17/Cengkerang-260j-tahun-ditemui#ixzz2WQ7IJA5G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cengkerang berusia 260 juta tahun ditemui di Merapoh


AHMAD ROSLI OTHMAN
ANTARA fosil cengkerang spesies Brakiopoda yang ditemui pada singkapan batuan tapak projek jalan raya berdekatan Sungai Yu, Merapoh di sini hari ini. - UTUSAN
KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Hasil kajian ke atas fosil itu mendapati ia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis pada 2011 lalu yang berusia 230 juta tahun.
Ahli Paleontologi itu, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman prasejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaik taraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil yang terletak pada lapisan batu lumpur itu merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup dipersekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penemuan itu menunjukkan sekitar 250 juta hingga 260 juta tahun dahulu Merapoh berada di dasar lautan dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_20/Cengkerang-berusia-260-juta-tahun-ditemui-di-Merapoh#ixzz2WQ70Md9y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Berjalan 40,000 kilometer keliling dunia


Masahito Yoshida berjaya mengelilingi dunia dengan berjalan kaki selama empat tahun. - AGENSI
SHANGHAI 16 Jun - Seorang lelaki Jepun, Masahito Yoshida berjaya mengelilingi dunia dengan berjalan kaki selama empat tahun.
Lelaki berusia 32 tahun itu memulakan misinya untuk mengelilingi dunia pada 2009 dengan bermula dari Shanghai, China.
Sejak itu, dia telah melakukan perjalanan sejauh kira-kira 40,000 kilometer di empat benua.
Yoshida melakukan aksi itu hanya kerana mahu mengelilingi dunia dan melihat keajaiban dunia.
Misi pertamanya ialah berjalan kaki ke Cape Roca, Portugal dengan melalui Asia Tengah dan Eropah sebelum berjaya sampai ke bandar itu pada Ogos 2010 selepas berjalan kaki sejauh 16,000 kilometer.
Dia kemudiannya melanjutkan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) menaiki pesawat dan menghabiskan masa lebih setahun untuk berjalan sejauh 6,000 kilometer dari Atlantic City, New Jersey ke Vancouver, Kanada.
Pada hujung 2011 pula, Yoshida melakukan penerbangan ke Melbourne, Australia dari Kanada dan berjalan ke Darwin sebelum ke Singapura dan kembali ke Shangai, China.
"Sepanjang ekspedisi ini, saya berdepan dengan beberapa insiden berbahaya, tetapi ia memberi kesedaran kepada saya bahawa masih ramai orang yang baik hati di dunia ini," katanya yang dipetik daripada laman web Oddity Central. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130617/lu_06/Berjalan-40000-kilometer-keliling-dunia#ixzz2WQ6DajQF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Serpihan pesawat anak Presiden Roosevelt akan dilelong

GAMBAR menunjukkan pesawat yang digunakan Quentin sebelum dia ditembak jatuh.


SAUMUR, Perancis - Beberapa serpihan kapal terbang yang dipandu oleh anak lelaki bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Theodore Roosevelt akan dilelong di sini pada 29 Jun ini, kata pihak penganjur semalam.
Pesawat itu yang dipanduoleh Quentin Roosevelt ditembak jatuh pada bulan Julai 1918 semasa Perang Dunia Pertama.
Serpihan kabin pesawat itu telah diserahkan kepada keturunan bekas tuan tanah tempat Quentin menyewa semasa bertugas di Issoudun, Perancis.
Firma Laurent Mirouze of Aiolfi Partners yang mengendalikan lelongan tersebut meletakkan harga permulaan serpihan itu daripada 335 euro (RM1,392).
Setakat ini, terdapat beberapa buah muzium di AS berminat untuk membelinya.
Pesawat yang dipandu Quentin Roosevelt telah ditembak jatuh ketika dia berusia lebih 20 tahuh di timur Perancis pada 14 Julai 1918. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2WQ1tjbV9 
Hakcipta terpelihara 

Google lancar belon udara bekal internet


GAMBAR yang dirakam pada 15 Jun lalu menunjuk belon altitud tinggi terbang di langit Tekapo, selatan New Zealand.


CHRISTCHURCH - Gergasi enjin carian internet, Google melepaskan sejumlah belon udara panas dilengkapi pencawang internet ke stratosfera Bumi bagi bagi menyalurkan perkhidmatan dalam talian ke seluruh dunia.
Mengambil masa 18 bulan untuk dibangunkan, pelancaran projek rahsia itu dibuat di New Zealand kelmarin.
Sebagai permulaan, sekitar 50 isi rumah mula menerima perkhidmatan internet yang dipancarkan daripada belon berisi gas helium tersebut.
Belon-belon udara panas itu mampu terbang pada ketinggian 19.2 kilometer dari Bumi.
Google berharap pihaknya dapat melancarkan beribu-ribu belon udara panas itu bagi menyalurkan perkhidmatan internet ke kawasan pedalaman di seluruh dunia.
Usaha tersebut yang dinamakan Projek Loon, kata Google, diharap dapat mengurangkan jurang digital antara 2.2 bilion pengguna internet semasa dan sekitar 4.8 bilion lagi yang tidak memiliki kemudahan itu.
Menurut Google, belon udara panas yang bertindak sebagai pencawang itu juga membolehkan negara rantau Asia Tenggara dan Afrika menyalurkan perkhidmatan internet pada kos lebih murah tanpa perlu membina kabel fiber optik.
"Ini projek besar, matlamat kami juga besar," kata ketua inisiatif tersebut, Mike Cassidy.
Dilengkapi panel solar, Belon-belon udara itu dikawal oleh stesen kawalan yang dibina pada jarak selang 100 kilometer.
Setiap belon tersebut dapat menyalurkan perkhidmatan internet meliputi kawasan seluas 2020 kilometer persegi atau dua kali ganda saiz bandar raya New York di Amerika Syarikat.
Belon udara panas itu mampu memancarkan isyarat internet ke kawasan pergunungan, rimba dan lembah tanpa mengira bentuk permukaan bumi. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2WQ1SKcg5 
Hakcipta terpelihara 

Berkhemah atas bumbung bangunan

STEVENSON sedang mendirikan khemah untuk tetamunya yang akan menyertai perkhemahannya.


NEW YORK - Seorang artis seni mengadakan perkhemahan unik di atas bumbung bangunan di beberapa lokasi rahsia di Brooklyn Borough di sini kelmarin.
Artis seni itu, Thomas Stevenson menamakan projek tersebut Bivouac New York.
Stevenson mendirikan beberapa buah tapak perkhemahan untuk para peserta di atas beberapa bumbung bangunan yang dirahsiakan lokasinya sepanjang musim panas tahun ini.
Peserta perkhemahan itu yang belum pernah bertemu berpeluang mengenali antara satu sama lain dan berbual mengenai pelbagai isu.
Mereka juga akan berkongsi makanan serta minuman yang dibawa sendiri.
Para peserta perkhemahan itu turut diminta mematikan kesemua gajet elektronik yang dibawa termasuk telefon bimbit.
Aktiviti perkhemahan itu diadakan secara percuma tetapi peserta digalakkan untuk membawa makanan dan minuman untuk dikongsi bersama peserta lain. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2WQ1C2Uou 
Hakcipta terpelihara 

AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft

GAMBAR pada 12 Jun lalu menunjukkan pusat simpanan data Facebook dekat bandar Lulea, Sweden.


WASHINGTON - Gergasi internet Facebook dan Microsoft mengaku pihaknya menerima beribu-ribu permintaan data pengguna daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.
Namun, kedua-dua syarikat itu menyatakan yang mereka dilarang daripada mendedahkan bilangan permintaan maklumat berkaitan isu keselamatan negara.
Pendedahan oleh Facebook dan Microsoft itu berlaku selepas kedua-dua firma berkenaan dikritik berhubung isu hak privasi pengguna internet.
Ia susulan pendedahan oleh seorang pakar teknologi maklumat, Edward Snowden, 29, mengenai program pengintipan e-mel dan akaun pengguna internet oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan baru-baru ini.
Menurut Facebook, pihaknya menerima antara 9,000 hingga 10,000 permintaan untuk data pengguna merangkumi 18,000 hingga 19,000 akaun sepanjang enam bulan terakhir pada tahun lalu.
Sementara itu, Microsoft pula menyatakan, ia diminta mendedahkan antara 6,000 hingga 7,000 data melibatkan 31,000 hingga 32,000 akaun untuk tempoh sama.
Permintaan tersebut termasuk waran jenayah, perintah mahkamah dan perintah-perintah lain.
Namun, bilangan itu tidak termasuk permintaan data berhubung soal keselamatan dan siasatan mengenai suspek pengganas.
Bercakap tentang pendedahan tersebut, ketua penasihat undang-undang Facebook, Ted Ullyot berkata, pihaknya bertindak secara 'agresif' bagi melindungi privasi lebih satu bilion ahlinya.
"Kami kerap menolak mentah-mentah permintaan sebegitu atau meminta pihak berkuasa AS mengurangkannya atau kami memberikan data kurang daripada yang diminta," kata Ullyot.
"Kami bertindak hanya untuk memenuhi keperluan undang-undang," tambahnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2WQ0fWiWd 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, June 16, 2013

Usia 11 tahun sudah jadi bapa


Wellington: Kontroversi melanda New Zealand semalam apabila seorang budak lelaki berusia 11 tahun menjadi bapa selepas mendapat anak melalui hubungan dengan seorang wanita berumur 36 tahun.

Perkara ini menimbulkan persoalan mengapa wanita berkenaan yang juga ibu rakan sekolahnya, tidak didakwa atas kesalahan rogol.

Berdasarkan laporan akhbar, bayi terbabit dijaga oleh badan kebajikan kerajaan kira-kira dua bulan lalu.

Pegawai kebajikan kerajaan mengesahkan, mereka menguruskan kes di sekolah budak lelaki terbabit dan ia sedang diteliti mahkamah tetapi enggan mengulas lanjut.

Akhbar berkenaan juga melaporkan bahawa bapa muda terbabit yang kini berusia 12 tahun juga berada di bawah penjagaan kerajaan.

Penderaan seksual

Kaunselor yang menghadapi isu penderaan seksual kanak-kanak berkata, kes terbabit menunjukkan kurangnya perhatian terhadap wanita sebagai pesalah, lapor New Zealand Herald yang menyiarkan berita terbabit.
Di bawah undang-undang New Zealand, jenayah rogol hanya terpakai kepada lelaki dan membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun.

Bagi wanita yang memaksa seorang lelaki melakukan hubungan seksual dengannya berhadapan dengan tuduhan melakukan kesalahan seksual yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Kes terbabit menyebabkan pihak berkuasa meneliti isu berkenaan mengikut undang-undang jenayah yang hanya menetapkan pihak yang bersalah merogol adalah lelaki.

Menteri Kehakiman, Judith Collins berkata beliau akan menyiasat laporan akhbar berkenaan.

“Kes ini membangkitkan satu perkara penting. Saya akan mendapatkan nasihat daripada pegawai mengenai sama ada satu perubahan undang-undang diperlukan,” kata Collins.

Wanita dan budak lelaki terbabit yang nama mereka tidak disiarkan tinggal di daerah North Island, Auckland.

Pengetua sekolah budak lelaki terbabit memberitahu New Zealand Herald bahawa beliau terkejut apabila budak itu memaklumkan kepadanya mengenai apa yang berlaku.

“Anda tidak akan berasa gembira dengan saya,” katanya ketika mengingati apa yang diperkatakan budak lelaki terbabit tahun lalu.

Katanya, budak lelaki terbabit mendedahkan dia menjalin hubungan seks dengan ibu seorang rakannya dan mahu berhenti melakukannya.

Pertubuhan ‘Male Survivors of Sexual Abuse’ berkata, jika kes terbabit dapat dibuktikan, wanita terbabit perlu didakwa. AFP

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 landa Nicaragua


BANDAR MEXICO: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 melanda di luar pesisir pantai Pasifik Nicaragua, demikian menurut Jabatan Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Susulan kejadian itu, katanya, tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima. - AP 

Bengkung bayi untuk bapa?

Bengkung bayi untuk bapa?Seorang bapa tidak dapat menahan air mata selepas merasai pergerakan bayi mereka yang masih berada di alam rahim isteri.
SEMESTINYA setiap bakal bapa ingin merasakan pergerakan bayi mereka yang masih berada di dalam rahim ibunya.

Kini, sepasukan pereka barangan jenama kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) berjaya mencipta sepasang bengkung yang boleh dipakai oleh si suami bagi merasai tendangan sebenar anaknya dalam kandungan.

Jurucakap pereka memberitahu, bengkung yang disiapkan selama empat bulan itu dilengkapi dengan alat pengesan pergerakan bayi dalam kandungan.

"Si ibu juga perlu memakai bengkung khas yang diletakkan peranti di sekeliling pinggannya sebelum disalurkan kepada bengkung si bapa," katanya pada MailOnline.

Satu rakaman video yang disiarkan menunjukkan, lelaki yang memakai bengkuk bayi itu terkejut dan menangis selepas merasai tendangan bayi dalam kandungan isterinya.

"Saya dapat rasakan gerakkannya. Dia menendang," katanya.

Tumor paling tua ditemui

Tumor paling tua ditemuiHasil imbasan menunjukkan sebahagian kecil tulang hilang seperti dimakan tisu tumor.
SEKUMPULAN pakar dari Universiti Kansas, Amerika Syarikat mengesahkan, tumor paling tua di dunia ditemui dalam bahagian tulang belakang manusia Neanderthal yang hidup kira-kira 130,000 tahun lalu.

Pakar David Frayer berkata, penemuan itu susulan hasil X-ray serpihan tulang rusuk manusia yang ditemui di kawasan berbatu Krapina, Croatia.

"Hasil imbasan CT juga membuktikan beberapa bahagian dalaman tulang rusuk itu hilang, berkemungkinan disebabkan tisu tumor atau fibrous dysplasia," katanya pada MailOnline.

Tulang itu kini menjadi bahan rujukan pengajian antropologi Universiti Kansas.

Kawasan penemuan tulang tumor itu berkedudukan di utara Croatia yang turut menempatkan lebih 900 tulang manusia Neanderhtal dipercayai hidup antara 120,000 dan 130,000 tahun yang lalu.

Fibrous Dysplasia?

Sejenis pertumbuhan tulang tidak normal di mana tulang bertukar tisu lembut.

Boleh menyebabkan tulang bengkak.

Sering berlaku pada bahagian tengkorak, paha, rusuk, lengan dan pelvis.

Ia bukan kanser tetapi tiada penawar.

Mampu dikesan seawal usia kanak-kanak atau remaja.

Buaian istimewa untuk anak Putera William, Kate


DARIUZ Bergier sibuk menyiapkan buaian istimewa untuk dihadiahkan kepada pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton di bengkelnya di Lodz, Poland kelmarin.


TUSZYN, Poland - Seorang tukang kayu dan pembuat perabot, Dariusz Bergier kini sibuk menghasilkan sebuah buaian khas untuk bakal anak pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton.
Buaian tersebut diperbuat daripada kayu oak. Ia diinspirasikan daripada reka bentuk gereja Gothic kurun ke-15. Bergier berharap hadiahnya itu dapat dihantar dari Poland ke London pada Rabu depan.
"Saya harap dapat menyiapkan buaian ini tepat pada masanya. Masih ada beberapa pintu, ruang kecil dan ukiran yang perlu disempurnakan. Semoga buaian ini akan diletakkan di dalam bilik bayi pasangan Putera William dan Kate," kata Bergier di bengkelnya di sini.
Sewaktu majlis perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung pada April 2011, bengkel Bergier ditugas menghasilkan beberapa buah perabot untuk sebuah hotel yang didiami oleh keluarga Kate.
Cahaya mata Putera William dan Kate akan menjadi waris ketiga takhta kerajaan Britain selepas Putera Charles serta Putera William. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2WKC81Crq 
Hakcipta terpelihara 

15,000 tetamu berpakaian putih hadiri jamuan

DUA orang wanita menari sambil menikmati suasana senja berlatar belakang Muzium Louvre.


PARIS - Beribu-ribu penggemar makanan menghadiri satu jamuan di sini dengan berpakaian serba putih, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Perhimpunan tersebut dilakukan sempena sambutan ulang tahun ke-25 acara tradisi yang dikenali sebagai Diner en Blanc itu.
Acara tersebut dihadiri seramai 15,000 peserta menerusi undangan khas.
Para tetamu yang dijemput hanya mengetahui lokasi acara diadakan melalui emel sejam sebelum ia dijalankan.
Majlis makan malam diadakan di dataran Trocadero, dekat Menara Eiffel dan Muzium Louvre.
Semua peserta dikehendaki membawa sebuah meja piknik, alas meja berwarna putih dan makanan masing-masing selain menaiki perkhidmatan awam ke lokasi acara.
Berlangsung selama satu jam, semua peserta menikmati wain dan berkongsi makanan yang dibawa bersama. Selepas itu, mereka berkemas dan mengutip sampah masing-masing sebelum bersurai. - Agensi
Acara tradisi itu bermula pada tahun 1988 apabila sekumpulan individu seramai sepuluh orang memutuskan untuk makan di satu kawasan larangan di pusat bandar Perancis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2WKBCYZYz 
Hakcipta terpelihara 

Warga emas cipta rekod dunia angkat berat

PERLIS berusaha melakukan rutin angkat berat bagi memecahkan rekod dunia yang telah bertahan sejak lapan tahun lalu.


PHOENIX - Seorang warga emas berusia 91 tahun telah memecahkan rekod dunia angkat berat dengan bebanan mencecah 85 kilogram iaitu 23.5 kilogram lebih berat berbanding rekod yang dicatatkan sebelum ini.
Lelaki itu, Sy Perlis telah melakukan rekod tersebut pada Kejohanan National Bench Push-Pull Press and Dead Lift semalam.
Akhbar Arizona Republic melaporkan bahawa rekod yang dicatatkan sebelum ini pada tahun 2005 melibatkan peserta berumur 90 tahun yang telah mengangkat bebanan seberat 61 kilogram.
Rekod itu bertahan selama lapan tahun. Perlis mula melakukan angkat berat apabila mencapai usia 60 tahun. Namun dia tidak menyertai kejohanan itu sehingga lima tahun lalu.
"Saya mendapat banyak kepuasan dengan melakukan sukan ini. Ia membuatkan saya berasa bagus dan sangat baik untuk diri saya," kata Perlis.
Perlis melakukan rutin latihan senaman kardiovaskular dan angkat berat sebanyak lima hari seminggu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2WKAjC5Q6 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, June 15, 2013

Gian tangkap ular berbisa

Gian tangkap ular berbisa
Mohd Fauzi Syarwani menunjukkan kemahirannya
bermain dengan ular tedung selar sepanjang empat meter.

Gian tangkap ular berbisa
Tangan Mohd Fauzi Syarwani yang dipatuk 
ular sawa (atas) dan tedung selar (bawah).
TANAH MERAH - Biarpun lebih 10 kali dimasukkan ke hospital akibat patukan ular berbisa, Mohd Fauzi Syarwani Seman tidak pernah serik untuk terus menangkap reptilia itu.

Mohd Fauzi Syarwani berkata, keberaniannya terserlah ketika berusia 10 tahun dan sejak itu mula berjinak-jinak dengan haiwan berbisa tersebut.

“Saya berminat dengan binatang berbisa dan tidak pernah berasa takut.

"Kalau tidak bertemu dengan ular, saya akan mencarinya di merata tempat termasuk dalam sungai dan parit, serta hutan rimba,” katanya yang kini menganggotai pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Tanah Merah.

Menceritakan pengalaman menangkap ular, dia berkata, pernah menangkap ular sawa anggaran panjang 11 meter dan seberat 200 kilo di Rantau Panjang.

"Saya pernah menangkap ular sawa sepanjang tiga meter di Kampung Air Naga. Di Kampung Manal 1, saya menangkap seekor ular sawa seberat 100 kilo. Semua itu pengalaman tidak dapat dilupakan,” katanya.

Katanya, dia juga pernah menangkap ular senduk sepanjang sedepa lebih dan tedung selar sepanjang empat meter, sebesar betis di Kampung Panjang dengan tidak menggunakan penyepit.

“Saya menangkap ular guna tangan, tidak guna penyepit, ini semua kerana minat, jadi tidak merasa susah menangkap haiwan berbisa itu,” katanya.

Selain itu, Mohd Fauzi Syarwani juga pernah mengadakan pertunjukan ular di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Pahang dan Teluk Chempedak.

Menurutnya, dia tiada sebarang petua atau rahsia menangkap ular, cuma percaya pada dirinya.

“Kita kena beradu kecepatan dengan haiwan berbisa itu. Maknanya jangan lalai bila berhadapan dengan reptilia tersebut, barulah kita boleh menangkap haiwan itu,” katanya.

Menurutnya, dia pernah tidur bersama 25 ular berbisa yang dikurung dalam rumahnya selama dua bulan.

Mohd Fauzi Syarwani turut menunjukkan kecederaan yang dialaminya sepanjang berkecimpung dalam minatnya itu.

“Di sebelah kanan kesan patukan ular tedung selar, manakala di sebelah kiri kesan gigitan ular sawa,” katanya.

Bercinta sejak umur 4 tahun

kawin 4Gambar kahwin semasa 4 tahun, ketika dewasa dan ulangtahun perkahwinan ketika berusia 70 tahun - Foto telegraph.co.uk
NORFOLK - Kisah cinta pasangan warga emas ini amat unik kerana mereka dipakaikan baju pengantin dalam satu karnival pada usia empat tahun  dan tidak menyangka pertemuan itu menjadi titik bermulanya cinta mereka yang hingga kini mencecah usia 70 tahun.

Menariknya, pasangan warga emas itu, Ron Everest dan Eilen Campbell dilahirkan dalam dewan bersalin yang sama, dipakaikan baju pengantin pada sebuah karnival dan siapa sangka, mereka bertemu jodoh pada usia 21 tahun dan kekal sebagai pasangan suami isteri sehingga kini.

Pasangan itu yang kedua-duanya berusia 91 tahun berkata telah dilahirkan di unit yang sama iaitu di Hospital Bersalin Tentera Laut di Gillingham, Kent.

Bapa mereka bersahabat baik serta sama-sama berjuang dalam Perang Dunia Pertama dan kekal rapat sehingga memakaikan mereka pakaian pengantin semasa Karnival Gillingham pada tahun 1926.

Pasangan itu kemudian berkahwin pada 7 Jun 1943.

“Cinta kami disemai mungkin sejak dilahirkan lagi kerana lahir di unit bersalin yang sama," kata Everest.

Isterinya menambah, masih ingat lagi ketika dipakaikan baju pengantin semasa usia empat tahun dan perkahwinan di antara mereka membuatkan hubungan kedua-dua keluarga menjadi bertambah erat.

Fosil ikan purba ada otot perut

SEORANG ahli sains memegang bahagian otot perut ikan Gogo yang berusia 380 juta tahun.


SYDNEY - Sekumpulan pakar paleontologi telah membuat satu penemuan evolusi mengejutkan bahawa ikan purba Australia mungkin mempunyai otot perut.
Sebelum ini, penemuan itu hanya dipercayai berlaku dalam kalangan haiwan darat sahaja.
Para penyelidik telah melakukan pemetaan ke atas fosil otot perut haiwan vertebrata yang pernah dilihat di dalam ikan Gogo yang dianggarkan berusia 380 juta tahun.
Para penyelidik turut berusaha untuk mengetahui kedudukan sebenar otot tersebut serta orientasi kedudukan gentian otot berkenaan.
Fosil ikan itu dijumpai di wilayah Kimberley, Barat Australia. Kawasan tersebut dikelilingi oleh bongkah batu kapur dan terkenal dengan keistimewaan pengawetan luar biasanya.
Profesor Bersekutu Universiti Curtin, Kate Trinajstic berkata, pasukan penyelidiknya telah dikejutkan dengan penemuan bahawa fosil ikan purba mempunyai otot perut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2WEM6uMJa 
Hakcipta terpelihara 

Friday, June 14, 2013

Gempa bumi kuat landa selatan Jawa, Indonesia


KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda selatan pulau Jawa, Indonesia pada 12.47 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa bumi itu berpusat di 330 kilometer barat daya Tasikmalaya, Indonesia dan 1,284 kilometer tenggara  Tebedu, Sarawak.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini. - Bernama