Pages

Wednesday, May 9, 2012

Tribunal Perang: Wanita Iraq dakwa diseksa di Penjara Abu Ghraib

Tribunal Perang: Wanita Iraq dakwa diseksa di Penjara Abu Ghraib - Global - Sinar Harian:
JAMEELAH memberi keterangan ketika Perbicaraan Pertuduhan Jenayah Perang Terhadap  Bush dan sekutunya di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.
JAMEELAH memberi keterangan ketika Perbicaraan
 Pertuduhan Jenayah Perang Terhadap Bush dan
 sekutunya di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur semalam mendengar pengalaman menakutkan seorang bekas tahanan wanita di penjara Abu Ghraib yang terpaksa berdepan seksaan tentera Amerika di Iraq pada 2004.
Jameelah Abbas Hameedi, 57, yang pernah mengetuai Kesatuan Kerjasama di Kirkuk, Iraq, berkata beliau ditendang seperti binatang, ditolak keluar dari kenderaan sebelum diheret di atas jalan raya dan dicampak dari dinding ke dinding.
Ibu tiga anak itu, yang kini menetap di Syria, berkata bagaimanapun pengalaman terburuknya adalah ketika kepala beliau dan anak gadisnya ditutup sebelum mereka dibawa ke suatu kawasan terbuka dalam penjara itu.
"Saya terdengar sedas tembakan dan seorang tentera memberitahu anak gadis saya telah dibunuh. Saya amat lega ketika melihat dia berada berhampiran selnya pada keesokan hari," katanya.
Jameelah turut mendakwa pakaian dalam beliau dilucutkan di depan anak saudara lelakinya oleh tentera Amerika yang berkeras mahu mendapatkan pengakuan bahawa beliau telah membantu pihak yang menentang pencerobohan di Iraq.
Beliau merupakan saksi ketiga yang memberi keterangan kepada tribunal berkenaan yang mendengar pertuduhan jenayah perang serta penyeksaan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat George W.Bush dan tujuh sekutunya.
Kepada soalan Profesor Gurdial Singh Nijar, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berhubung bantuan perubatan ketika dalam tahanan, Jameelah berkata beliau diberikan minyak untuk merawat kecederaannya.
Tribunal itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus, Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Professor Salleh Buang dan Datuk Mohd Saari Yusuf.
Jameelah, yang memberi keterangan dengan bantuan seorang penterjemah bahasa Arab, turut memberitahu tribunal itu dia terpaksa menjalani satu pembedahan di kaki tanpa sebarang ubat bius ekoran kecederaan akibat diseksa tentera Amerika.
Katanya, ketika dunia mengetahui tentang apa yang berlaku di penjara Abu Ghraib, beliau telah ditahan di situ hampir enam bulan.
Perbicaraan disambung hari ini. - Bernama

KISAH BENAR YANG MENGINSAFKAN, PENGALAMAN DOKTOR PAKAR BEDAH JANTUNG

KISAH BENAR YANG MENGINSAFKAN, PENGALAMAN DOKTOR PAKAR BEDAH JANTUNG:


by Ubaidillah Alias

PETIKAN BUKU "TRAVELOG IMAN SEORANG DOKTOR"
Sebuah buku kisah benar yang menguatkan iman dan menggerakkan hati untuk berubah.

BAB 1 : LARI DARI KENYATAAN

SEORANG pemuda yang berusia tujuh belas tahun terkena tembakan peluru sesat. Kedua orang tuanya segera membawanya ke hospital tentera di Riyadh. Di dalam perjalanan menuju rumah sakit, pemuda itu memandang wajah ibunya yang sedang menangis sedih seraya berkata, “Wahai ibunda, janganlah ibunda bersedih. Demi Allah, aku dalam keadaan baik. Sesungguhnya aku akan meninggal. Demi Allah, aku mencium semerbak wangi syurga.”

            Setibanya di ruang bilik kecemasan, seorang doktor berusaha untuk menanganinya. Tetapi pemuda itu berkata, “Wahai saudaraku! Sungguh aku akan mati, aku telah mencium semerbak wangi syurga. Kerana itu, janganlah saudara menyusahkan dirimu. Aku hanya menginginkan kehadiran ayah dan ibuku di sisiku.”

            Setelah kedua orang tuanya berada di sisinya, pemuda itu menyampaikan selamat tinggal kepada keduanya untuk selamanya. Lalu dia mengucapkan syahadat, “Asyhadu Alla Ilaha Illallah wa Asyhadu Anna Muhammad Rasulullah (Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang haq selain Allah Ta’aladan sesungguhnya Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah utusan Allah).”

            Dia meninggalkan dunia ini dalam keadaan jari telunjuk tangan kanan menunjuk, sebagaimana orang yang sedang membaca tasyahud dalam solat.

            Setelah solat Maghrib, saya menemui saudara Dhiya’, iaitu seorang pegawai yang bertugas memandikan jenazah di hospital tentera di Riyadh. Dia menceritakan kejadian tersebut dan meyakinkan bahawa dirinyalah yang membuka genggaman tangan pemuda tersebut.

            Dia mendapati jenazah pemuda dalam keadaan segar bugar, suatu keajaiban yang belum pernah dia jumpai sebelumnya.

            Orang tuanya ditanya mengenai kehidupan pemuda tersebut. Mereka menerangkan, “Almarhum semenjak memasuki umur akil baligh adalah orang yang selalu membangunkan kami untuk menunaikan solat Subuh. Dia sangat tekun menunaikan solat malam dan membaca al-Quran, selalu berusaha untuk mengikuti solat wajib berjemaah di masjid. Dia selalu mendapatkan nilai yang memuaskan dalam setiap pelajarannya. Dia termasuk pelajar yang sering mendapat keputusan tertinggi di sekolahnya.”

            Kemudian saya menceritakan kisah ini kepada seorang doktor ahli bedah jantung yang lain. Tiba-tiba doktor itu mengajukan cuti selama satu minggu tanpa ada sebab dan alasan yang mendesak. Dia hanya mengatakan alasan yang sangat sederhana, “Aku ingin introspeksi (muhasabah) apalah ertinya diriku ini jika dibandingkan dengan seorang pemuda yang penuh dengan kebaikan tersebut.”

            Kemudian saya menghubungi doktor ahli bedah jantung yang lain yang bekerja di Jeddah. Dia pun tidak kuasa menahan perasaannya lalu menangis terharu.

            Saya sangat berbahagia menyaksikan perubahan pada kedua doktor tersebut. Kenapa?

            Kerana kedua doktor itu merasa iri kepada pemuda tersebut atas kemuliaannya dengan amal ibadah ukhrawinya, bukan kerana harta benda yang telah dikumpukannya. Ini merupakan fenomena yang menyejukkan.

            Akan tetapi, sayangnya orang-orang pada zaman sekarang banyak yang terlena dan larut dalam perlumbaan mengumpulkan kemewahan dunia. Padahal bagi Allah Ta’ala, dunia ini tidak lebih berharga daripada sayap seekor nyamuk.

            Sebuah pertanyaan yang perlu untuk dijawab, “Masih adakah orang yang mahu berlumba-lumba bersama saudara-saudaranya dalam beramal soleh?”

            Masih adakah orang yang apabila melihat saudaranya duduk sambil memegang mushaf (al-Quran 30 juzuk) setelah menunaikan solat Asar lalu membacanya, dia tertegun seraya bertanya kepada dirinya sendiri, “Kenapa aku tidak ikut serta duduk dan membaca al-Quran sebagaimana yang dia lakukan?”, lantas segera orang itu duduk mengambil al-Quran dan membaca sepuasnya?

            Masih adakah di antara kita ketika melihat tetangganya atau kerabatnya bangun di malam hari untuk menunaikan solat malam, dia merasa iri lalu bertanya kepada diri sendiri, “Kenapa dia bangun untuk menunaikan solat malam sedangkan aku tidak? Betulkah aku mengharapkan syurga sebagaimana dia mengharapkannya? Betulkah aku memimpikan apa yang dia mimpikan?”, kemudian orang itu beranjak untuk menunaikan solat malam walaupun sebentar?

            Lalu timbul pertanyaan yang lain, “Berapa banyakkah umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Salllam yang selalu menjaga solat malamnya pada masa-masa sekarang ini?” Sungguh sangat sedikit, sungguh sayang sekali.

****

Suatu hari, ada seorang wanita yang mengalami gagal jantung dibawa kepada kami. Setibanya di ruang kecemasan, degup jantung wanita itu terhenti, maka kami segera melakukan terapi shock(Pijat). Dua minit kemudian, wanita tersebut membuka kedua matanya.

            Dia memandang ke arah langit seraya mengangkat tangan kanannya sambil melantunkan bacaan, “Asyhadu Alla Ilaha Illallah wa Asyhadu Anna Muhammad Rasulullah.” Lalu degup jantungnya berhenti lagi.

            Maka kami melakukan terapi seperti sebelumnya sampai beberapa kali, namun kami tidak berhasil. Ternyata suratan takdir kematian telah menjemputnya. Dia meninggal untuk selamanya. Semoga Allah merahmati wanita itu dan juga merahmati kami semua.

            Saya keluar dari bilik kecemasan untuk menemui suaminya dan menyampaikan berita duka kepadanya. Setelah mengucapkan takziah dan belasungkawa, saya menceritakan kejadian-kejadian aneh yang terjadi pada isterinya sebelum meninggal dunia. Lalu saya bertanyakan tentang amal perbuatan isterinya di masa hidupnya.

            Lelaki tersebut berkata, “Saudara tidak usah hairan dengan apa yang saudara saksikan.” Saya bertanya, “Kenapa boleh begitu, wahai saudaraku?” Dia menjawab, “Sejak menikahinya tiga puluh lima tahun  yang lalu, dia tidak pernah meninggalkan solat malam kecuali kerana halangan syarie.”

            Semoga dia berbahagia! Dia telah banyak mengingat Allah, maka Allah Ta’ala mengingatkannya untuk membaca syahadat di akhir hayatnya, dan dia pun menutup usianya dengan bersyahadat.

(As-Saffat ayat 83 - 84)
Maksudnya: Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim, ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.


(Asy-Syua’ara’ ayat 88 - 89)
Maksudnya: Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).


TRAVELOG IMAN SEORANG DOKTOR

Sebuah Terbitan
QALBUN SALEEM MEDIA
Lot 254, Seksyen 20, Jalan Kuala Krai, 15150 Kota Bharu, Kelantan.
Telefon No : 09-7478244/09-7444144
Faks No : 09-7478144

DR. Dr. Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair
Doktor Pakar Bedah dan Jantung

Disusun Oleh
A. Ubaidillah bin Alias
Penyunting
Puan Hartini Dewi Mohd Basir

BERMINAT MEMBELI, MENGEDAR DAN MENJUAL BUKU INI?
SILA HUBUNGI QALBUN SALEEM MEDIA / DHALAL SHOPPE
Lot 254, Seksyen 20, Jalan Kuala Krai, 15150 Kota Bharu, Kelantan.
Telefon No : 09-7478244/09-7444144
Faks No : 09-7478144

2 beradik kembali jadi kanak-kanak

myMetro | 2 beradik kembali jadi kanak-kanak:


MICHAEL (kiri) dan Matthew bermain kereta api mainan.
MICHAEL (kiri) dan Matthew bermain kereta api mainan.
LONDON: Sejenis penyakit yang menyebabkan usia penghidapnya berundur ke belakang menyebabkan pasangan adik beradik pertengahan umur kembali kepada zaman kanak-kanak mereka.
Bekas anggota Tentera Udara Diraja Britain (RAF), Michael Clark, 42, kehilangan tempat kediaman dan kini berkelakuan seperti budak 10 tahun.
Sementara adiknya, Matthew, 39, hilang pekerjaan di sebuah kilang dan mula berkelakuan seperti kanak-kanak walaupun mempunyai seorang anak perempuan berusia 19 tahun, Lydia, yang kini mengandung.

Keadaan menyedihkan itu mempunyai persamaan dengan filem lakonan Brad Pitt, The Curious Case of Benjamin Button, yang mengisahkan seorang lelaki tua kembali menjadi muda.

Pasangan adik beradik itu kini menghabiskan masa menonton siri The Smurfs, memakan keropok dan bermain permainan ular dan tangga.

Bapa, Anthony, 63, yang menjaga kedua-dua anaknya itu bersama isteri, Christine, 61, berkata: “Mereka berubah dari orang dewasa dengan berpekerjaan dan berumah tangga kepada keadaan kanak-kanak.

“Mathhew keluar beberapa hari lalu dan membeli set permainan kereta api.
Perkara yang menarik minat kanak-kanak menjadi minat mereka.”

Bekas pengawal penjara itu yang berasal dari Lincoln juga berkata: “Matthew sering berkelakuan teruk. Dia akan menjerit, ‘Saya tidak tahu apa yang saya lakukan.

“Tidak ada apa yang boleh kami lakukan untuk membantu mereka. Kami tidak berupaya.”

Kedua-dua beradik itu mula berkelakuan ganjil selepas ibu bapa mereka bersara dan berpindah ke Sepanyol pada 2007.

Keadaan semakin teruk tahun lalu apabila Michael diusir dari rumahnya dan hidup bergelandangan selama tiga minggu.

Pekerja sukarela yang bersimpati membawanya menemui seorang doktor sebelum pakar mengesahkan dia menghidap leukodistrofi.

Ujian lanjut mengesahkan, Matthew yang pernah bekerja dengan syarikat pembuat biskut, Walkers, juga menghidap penyakit itu.

Penyakit neurologikal atau kecelaruan saraf itu adalah perkara biasa di kalangan bayi yang baru lahir tetapi dihidap oleh kira-kira 100 orang dewasa di Britain.

Ia menyerang otak, sistem saraf dan saraf tunjang.

Kedua-dua beradik itu kini semakin hilang kemampuan untuk bercakap dan kini tidak boleh berjalan.

Mereka mudah buat perangai dan merangkak sekeliling rumah ibu bapa mereka yang terpaksa berhenti daripada persaraan untuk menjaga kedua-dua beradik itu.

Dalam filem The Curious Case of Benjamin Button, Brad Pitt memainkan peranan lelaki yang usianya mengundur ke belakang.

Ia bermula dengan seorang pembuat jam yang meratapi kematian anaknya pada 1918 dan memutarkan jam untuk mengundurkan masa. - Mirror

Kucing gemuk luar biasa mati

Kosmo! Online - Dunia:


GAMBAR fail menunjukkan seorang kakitangan Rumah Perlindungan Haiwan dan Persatuan Kemanusiaan Santa Fe memegang Meow pada 19 April lalu.


SANTA FE, Amerika Syarikat - Seekor kucing yang menjadi tumpuan umum kerana memiliki berat badan mencecah 18 kilogram (kg) mati akibat komplikasi kesihatan kerana terlalu gemuk, kata pihak pengurusan sebuah rumah perlindungan haiwan kelmarin.
Kucing jantan bernama Meow, berusia antara dua hingga lima tahun itu dihantar untuk tinggal di Rumah Perlindungan Haiwan dan Persatuan Kemanusiaan Santa Fe pada bulan lalu selepas pemiliknya yang berusia 87 tahun tidak lagi berupaya menjaga haiwan tersebut.
Meow kemudian menjalani terapi diet dengan perkembangan kucing itu disiarkan di laman Facebook.
Pengarah rumah perlindungan berkenaan, Mary Martin memberitahu kelmarin bahawa berat Meow turun 0.9 kilogram dan kucing tersebut berada dalam keadaan baik tetapi pada Rabu lalu ia mula mengalami masalah pernafasan.
Kucing itu menjalani beberapa ujian termasuk ujian jantung dan X-ray serta diberikan bantuan oksigen untuk bernafas.
Namun, Meow akhirnya mati pada Sabtu lalu.
"Kami semua terkejut dan sedih dengan kematian Meow," kata Martin.
Punca berat badan Meow meningkat masih tidak dapat dipastikan tetapi menurut Martin, kucing itu mungkin diberikan makanan berkalori tinggi dan tidak aktif.
Kucing dewasa biasanya memiliki berat antara 3 hingga 5kg. - AGENSI

Petani China bina kapal selam

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG pekerja mengecat kapal selam mini yang dibina Wuyi.


BEIJING - Seorang petani, Zhang Wuyi membina enam buah kapal selam mini yang boleh memuatkan dua orang untuk membawa hidupan marin seperti gamat.
Wuyi yang memiliki minat mendalam dalam ciptaan saintifik telah menguji sebuah kapal selamnya di kolam buatan manusia dekat sebuah limbungan kapal di Wuhan, dalam wilayah Hubei kelmarin.
Sebuah kapal selam ciptaan petani berusia 37 tahun itu telah dibeli oleh seorang ahli perniagaan di Dalian pada harga AS$15,855 (RM48,500).
Media tempatan melaporkan kapal selam itu boleh menyelam pada kedalaman antara 20 hingga 30 meter dan berada di dalam air selama 10 jam. - Reuters

Pelajar China suntik asid amino

Kosmo! Online - Dunia:



SEBUAH kelas di Sekolah Tinggi Xiaogang di wilayah Hubei dilengkapi dengan sejumlah tiub asid amino.


BEIJING - Pelajar-pelajar di China sanggup menggunakan suntikan asid amino sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan memasuki kolej, lapor sebuah akhbar semalam.
Beberapa gambar yang tersebar di laman web menunjukkan terdapat tiub-tiub asid itu digantung di dalam kelas di Sekolah Tinggi Xiaogang di wilayah Hubei.
Menurut akhbar China Daily, seorang pegawai sekolah, Gao Pingqiang berkata, suntikan asid itu popular dalam kalangan pelajar kerana ia tidak mendatangkan kesan berbahaya terhadap kesihatan.
"Pihak sekolah tidak akan menghentikan suntikan itu. Kami akan terus memberinya jika pelajar mahukannya," kata kata Pingqiang.
Seorang lagi pegawai sekolah memberitahu, asid amino mampu memperbaiki fizikal pelajar dan meningkatkan tenaga mereka. - AFP

Tuesday, May 8, 2012

Kisah wanita tua dengan seekor kucing ditanah suci Makkah




By 
Lea Baiduri

Kisah ini mengenai seorang wanita tua berasal dari Perak yang menunaikan haji.

Wanita ini, kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.

Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.

Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.

Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.

Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.

Maka terkenal lah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.

Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.

Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.

Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.

Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.

Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.

Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solehah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.

Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.

Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Amin

WallahuA'lam


 

Belia di India berpusu-pusu derma sperma

Belia di India berpusu-pusu derma sperma - Global - Sinar Harian:

NEW DELHI - Jumlah belia yang menderma sperma di India meningkat dengan tiba-tiba selepas tayangan filem berjudul 'Vicky Donor', yang mengambil masa hanya 125 minit untuk mencapai sesuatu yang tidak berjaya dilakukan melalui kempen selama bertahun-tahun bagi menggalakkan golongan muda berbuat demikian.

Filem terbitan Bollywood arahan Shoojit Sircar ini berkisar tentang pendermaan sperma dan kemandulan.

Mula ditayang pada 20 April di kira-kira 750 pawagam di India, filem ini diisytihar sebagai filem 'super hit'.

Sebelum filem komedi romantik ini menemui penonton, bank sperma yang membuka gerainya di institut perubatan, kejuruteraan dan pengurusan untuk menggalakkan golongan muda menderma sperma, tidak mendapat sambutan ramai.

Selepas 'Vicky Donor' memasuki pawagam, belia berbaris panjang di pusat in-vitro fertilisation (IVF) dan bank sperma untuk menghulurkan sumbangan mereka, lapor The Times of India.

"Pendermaan sperma kini tidak lagi dibincang secara sembunyi-sembunyi. Sebaliknya, ia dibahas secara terbuka - opsyen yang diterima ramai sebagai suatu usaha murni dan yang boleh menjana pendapatan tambahan," kata pakar kesuburan DrHimanshu Bavishi.

Penderma sperma ditawarkan antara Rs500 (RM27.51) dan Rs3,500 (RM193) bagi setiap sampel, bergantung pada kriteria kelayakan masing-masing dan permintaan pasangan yang inginkan anak.

Garis panduan sedia ada membenarkan seseorang lelaki menderma sperma sebanyak 85 kali sepanjang hayatnya.Bagaimanapun, pakar berpendapat pendermaan sperma lebih teknikal daripada yang didedahkan melalui filem itu.

"Sampel diambil dan disimpan di dalam inkubator selama lebih kurang enam bulan. Kemudian, ujian mengenai jangkitan dilakukan untuk mengesan pelbagai jangkitan, termasuk HIV.

Hanya selepas semua formaliti itu selesai, barulahsampel berkenaan digunakan. Bagaimanapun, ganjaran yang diberi tidaklah selumayan yang disangka oleh golongan muda," kata Bavishi.  – Bernama

Pemimpin kanan Al-Qaeda terbunuh di Yaman

Pemimpin kanan Al-Qaeda terbunuh di Yaman - Global - Sinar Harian:


Pemimpin kanan Al-Qaeda terbunuh di Yaman
Pemimpin kanan Al-Qaeda terbunuh di Yaman
SANAA - Pemimpin kanan Al-Qaeda paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Fahd al-Quso kerana berperanan dalam serangan bom sebuah kapal perang, pada 2000 lalu, akhirnya dibunuh dengan sebuah pesawat pengintip oleh Agensi perisikan Pusat (CIA), kelmarin.

Menurut pegawai ketenteraan Amerika Syarikat (AS), kematian Fahd disebabkan terkena tembakan berpeluru sebaik sahaja dia keluar daripada keretanya bersama seorang lagi pengendali Al-Qaeda di wilayah selatan Shabwa.

Pesawat pengintip yang dibawa anggota CIA itu melakukan serangan terhadap Fahd selepas satu operasi pengawasan oleh tentera CIA dan AS yang dilakukan secara bersembunyi bagi mengelak dihidu oleh pihak media.

Fahd, 37, merupakan individu paling dikehendaki oleh FBI dan nilai penangkapannya mencecah AS$5 juta (RM). AS turut mendakwa Fahd berperanan besar dalam serangan pengeboman USS Cole di pelabuhan Aden, Yaman, pada 2000 lalu yang mana menyebabkan seramai 17 kelasi AS terbunuh dan 39 yang lain cedera.

Dia kemudian di penjarakan tidak kurang lima tahun di penjara Yaman kerana peranannya itu dan telah dibebaskan pada 2007. Secara ringkas, Fahd terlebih dahulu bertindak melarikan diri daripada penjara pada 2003, kemudian dihukum penjara seumur hidup kerana kesalahannya itu.

Tribunal Jenayah Perang bicara Bush bermula

Tribunal Jenayah Perang bicara Bush bermula - Global - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur memulakan perbicaraan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat George W.Bush serta tujuh sekutunya semalam berhubung pertuduhan melakukan jenayah perang dan
penyeksaan.
Sekutu Bush ialah bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Dick Cheney, bekas Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld, Alberto Gonzales (penasihat Bush ketika menjadi Presiden) David Addington (penasihat umum kepada naib presiden), William Haynes (penasihat umum setiausaha pertahanan), Penolong Peguam Negara Jay Bybee dan bekas Timbalan Penolong Peguam Negara John Yoo.
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus mengetuai kuorum tribunal yang turut dianggotai Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Profesor Salleh Buang dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Saari Yusuf.
Pada prosiding hari ini, Tribunal mengarahkan perbicaraan terhadap Bush dan sekutunya diteruskan selepas memutuskan jenayah perang mempunyai bidang kuasa sejagat.
Terdahulu, Jason Kay yang dilantik sebagai 'amicus curiae' atau sahabat mahkamah bagi mewakili Bush dan sekutunya, mengemukakan bantahan awal iaitu tribunal tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan pertuduhan terhadap mereka.
 
Beliau berhujah tribunal itu, yang diwujudkan di bawah Yayasan Tribunal Peperangan Kuala Lumpur (KLFCW), telah diperbadankan mengikut undang-undang Malaysia, justeru, hanya undang-undang bertulis negara ini terpakai.
Sementara itu, Profesor Gurdial Singh Nijar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata selain undang-undang Malaysia, badan tersebut turut menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, dan dalam apa jua keadaan, jenayah perang merupakan jenayah sejagat berdasarkan 'jus cogens' serta adat undang-undang antarabangsa.
Saksi pertama, Abbas Abid, yang merupakan bekas ketua jurutera Kementerian Sains dan Teknologi di Baghdad, mendakwa beliau diseksa ketika ditahan di penjara Al-Jadiria.
Abbas, yang kini menetap di Fallujah, Iraq, berkata beliau, antara lain, diseksa dengan kejutan elektrik, ditempatkan di dinding dengan alat sulitnya digantung benda berat serta dipaksa minum banyak air yang dicampur dengan diuretik manakala kemaluannya diikat dengan gelang getah untuk menghalangnya daripada membuang air kecil.
Ketika memberi keterangan, wajah Abbas ditutup dengan skaf selepas tribunal membenarkan permohonan pendakwaan untuk berbuat demikian atas alasan keselamatan.

Dalam keterangannya, Abbas, 48, berkata pada kira-kira 10 malam, 28 Ogos 2005, lebih 15 askar warga Amerika dan Iraq menyerbu rumah saudara lelaki beliau dengan cara yang disifatkannya sebagai "amat menakut".
Katanya, beliau ke rumah itu selepas dipanggil seorang saudara dan kemudian diminta mengikut askar berkenaan untuk disoal siasat sebelum ditahan di penjara nAl-Jadiria.
Bapa lima anak itu juga mendakwa pada 5 Oktober 2006, beliau dibawa ke mahkamah namun dibebaskan selepas kekurangan bukti.
"Saya terpaksa membayar US$10,000 kepada pihak berkuasa penjara di bawah Kementerian Keadilan sebelum dibebaskan," kata Abbas yang bertutur dalam bahasa Arab.
Menjawab soalan Gurdial Singh, Abbas berkata beliau berhasrat untuk memiliki 15 anak namun tidak kesampaian ekoran pengalaman pahitnya di penjara.
Saksi kedua, bekas tahanan Guantanamo iaitu Moazzam Begg pula memberitahu tribunal beliau ke Afghanistan bersama keluarganya pada 2001 untuk membina sebuah sekolah.
Bagaimanapun, apabila Amerika Syarikat menyerang negara itu, beliau dan keluarganya terpaksa berpindah ke Islamabad di Pakistan.
Membacakan akuan berkanunnya, warga Britian itu berkata selepas ditahan tiga minggu di Pakistan, beliau diserahkan kepada tentera Amerika Syarikat dan diterbangkan ke Afghanistan sebelum disumbat ke pusat tahanan Teluk Guantanamo di Cuba selama 20 bulan.
Moazzam berkata kesihatan mentalnya merosot selepas diletakkan dalam kurungan seorang diri serta ditempatkan dalam sebuah sel kecil tanpa tingkap dan lampu, selain disisihkan daripada sebarang hubungan dengan tahanan lain.
Sehingga hari ini, Moazzam berkata beliau tidak mengetahui kesalahan yang telah dilakukannya.
Prosiding itu, yang diadakan di mahkamah terbuka KLFCW di Jalan Perdana di sini, disambung hari ini. - Bernama

Bangkai burung undan timbul tanda tanya

Bangkai burung undan timbul tanda tanya - Global - Sinar Harian:

Bangkai burung undan timbul tanda tanya
Kebanyakan burung undan tiba di pantai beberapa hari lalu sebelum mati.
LIMA - Sebanyak 1,200 ekor bangkai burung undan memenuhi sepanjang kawasan pantai Peru yang mana seminggu selepas 600 ekor bangkai ikan lumba-lumba turut ditemui terdampar di situ.
Susulan kejadian itu, kerajaan Peru bertindak mengeluarkan amaran kesihatan dengan mengarahkan penduduk agar menjauhkan diri daripada kawasan pantai sementara saintis mengkaji punca kematian haiwan berkenaan.
Kementerian Kesihatan turut menyarankan pegawainya agar menggunakan sarung tangan, topeng mulut dan mengenakan pakaian perlindungan ketika mengutip bangkai burung itu.
Pegawai di jabatan Kementerian Kesihatan, Oscar Dominguez berkata, uji kaji terhadap beberapa bangkai burung menunjukkan haiwan berkenaan kekurangan khasiat makanan, dan tidak berkaitan dengan jangkitan virus selesema burung.
Pada tahun 1997, kematian burung undan dan ikan lumba-lumba berlaku secara mendadak di jajaran pantai utara Peru yang didakwa kerana perubahan iklim iaitu fenomena El Nino.

Penyelam bina masjid pertama di bawah air

Berita Harian Online | Penyelam bina masjid pertama di bawah air:

PENYELAM bersolat jemaah di masjid pertama bawah air yang mereka bina.
PENYELAM bersolat jemaah di masjid
pertama bawah air yang mereka bina.



JEDDAH: Sekumpulan penyelam persendirian Arab Saudi berkata mereka berjaya membina sebuah masjid di bawah air baru-baru ini dan bersolat di dalamnya. 
Masjid pertama dalam sejarah pernah dibina di dalam air. 
Akhbar harian Almadina melaporkan, penyelam berkenaan menggunakan batang paip plastik besar yang diisi pasir untuk membina masjid di kawasan perairan di barat laut Tabuk dan berhampiran sempadan Jordan. Seorang penyelam, Hamadan bin Salim Al Masoudi, berkata seorang rakannya mendapat idea untuk membina masjid berkenaan pada musim panas lalu dan mereka mengambil keputusan untuk melakukannya.

“Masjid ini adalah satu simbolik untuk menjelaskan bahawa walau di mana sekalipun kita berada, kewajipan solat hendaklah ditunaikan,” katanya. 

Al Masoudi berkata, pembinaan masjid itu selesai ketika waktu Zuhur dan beliau bersama rakannya segera menunaikan solat Zuhur berjemaah. – Agensi

Shah Rukh Khan ingkar undang-undang

Berita Harian Online | Shah Rukh Khan ingkar undang-undang:

Pelakon didakwa enggan bekerjasama dalam siasatan pencemaran kumbahan 

MUMBAI: Pelakon Bollywood Shah Rukh Khan berdepan tuduhan melanggar undang-undang apabila enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa Lembaga Kawalan Pencemaran Maharashtra (MPBC) ketika menjalankan satu siasatan di kediamannya di sini kerana dakwaan pelanggaran Zon Peraturan Pantai (CRZ).
Bekas pegawai Perkhidmatan Polis India (IPS) yang juga seorang peguam, YP Singh, mewakili aktivis sosial Amit Maru, mendakwa pelakon itu melanggar seksyen 10 (3) Akta Perlindungan Alam Sekitar 1986, menyatakan bahawa seseorang individu melengahkan atau menghalang seorang pegawai kerajaan daripada menjalankan tugasnya, didapati bersalah mengikut akta terbabit.
Berdasarkan aduan dibuat, Maru mendakwa pelanggaran peraturan dilakukan Khan dalam pembinaan kediaman mewah tujuh tingkatnya, Mannat di Bandra, bahagian barat laut bandar raya ini. 

Pengerusi Pihak Berkuasa Pengurusan Zon Pantai Maharashtra, Valsa Nair Singh, mengarahkan MPCB melakukan inkuiri terperinci. 

Menerusi surat bertarikh 5 Oktober 2011, Singh mengarahkan MPBC mengesahkan jika pelakon itu terbabit dalam mana-mana pelanggaran peraturan CRZ. 

Menggunakan kuasa diperuntukkan kepada mereka mengikut seksyen 10 (1) (b) Akta Perlindungan Alam Sekitar 1986, pegawai MPCB memasuki Mannat dan menjalankan pemeriksaan pada 30 November 2011. 
“Walaupun ada ketetapan mengikut seksyen 10 Akta Perlindungan Alam Sekitar 1986, Shah Rukh Khan dan arkiteknya tidak menyediakan dokumen yang diperlukan. Akibatnya, pemeriksaan inkuiri tertangguh,” kata Singh. 

Laporan pemeriksaan MPCB, salinan yang diperoleh Maru daripada pihak berkuasa berkaitan, menyatakan antara lain: “Kumbahan yang dijana daripada penghuni kediaman ini (keluarga pelakon dan 25 kakitangan yang tinggal di Mannat) secara langsung bersambung dengan sistem saliran MCGM (Perbadanan Perbandaran Mumbai). 

“Oleh kerana bintang filem Shah Rukh Khan dan arkiteknya tidak menyediakan dokumen, agak mustahil untuk mengulas jarak daripada air pasang dan ke bahagian darat Laut Arab. Bagaimanapun, prima facie berkata hartanah itu disertakan dengan CRZ.” 

Dalam kenyataannya, Singh berkata: “Dengan cara tidak menyediakan dokumen diperlukan, Shah Rukh Khan dan arkiteknya bersalah melanggar seksyen 10 (2) Akta Perlindungan Alam Sekitar 1986, Shah Rukh yang mendakwa patuh kepada undang-undang dan menghormatinya, tidak sepatutnya mengingkari pihak berkuasa.” 

Singh juga melahirkan perasaan terkejut bahawa “pihak berkuasa kerajaan juga tidak menggunakan kuasa paksaan dan kekerasan, walaupun mereka mempunyai kuasa di bawah seksyen 10 Akta Perlindungan Alam Sekitar untuk berbuat demikian.” – Agensi