Pages

Monday, February 20, 2012

Israel akan buat keputusan serang Iran


BAITULMUQADDIS - Israel akan membuat keputusan sendiri berhubung serangan ke atas Iran, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Pegawai itu, Leftenan Jeneral Benny Gantz memberitahu stesen televisyen Channel One bahawa Israel sepatutnya mempertahankan negaranya sendiri.

Sejak beberapa minggu lalu, terdapat spekulasi bahawa Israel semakin hampir melakukan serangan ke atas program nuklear Iran.

Namun, Israel menafikan akan melakukan serangan itu. - AFP


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Melancong untuk melacur


TINJAUAN wanita dari negara Uzbezkistan yang menawarkan dirinya untuk dijadikan pelacur di sekitar jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Kegiatan pelacuran membabitkan wanita dari negara-negara Asia Tengah yang pernah dibanteras pada 2009 kini dikesan cuba dihidupkan kembali di kawasan Bukit Bintang di sini.
Risikan polis mendapati, pelacur dari negara Asia Tengah termasuk Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan berusia lingkungan 20-an itu dibawa ke sini oleh sindiket tertentu dengan menggunakan pas pelajar atau pas pelancong.
Mereka kembali digilai atas beberapa faktor termasuk cantik, bertubuh tinggi lampai, berkulit gebu dan seksi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, ia terbukti apabila pihaknya menahan 15 wanita dari negara-negara itu baru-baru ini.
Katanya, kemasukan semula wanita itu disebabkan permintaan tinggi dari lelaki warga asing dan tempatan.
“Aktiviti persundalan sejak hujung tahun lalu itu mula dikesan pada awal tahun ini. Pelacur-pelacur itu akan ‘dibela’ oleh seorang bapa ayam yang akan menghantar mereka ke sebuah pub di Bukit Bintang di sini pada pukul 9 malam untuk mencari pelanggan,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, dalam serbuan itu, 13 gadis dari Asia Tengah tersebut gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan polis percaya pasport mereka dipegang oleh pihak sindiket.
Menurut Abdul Jalil, gadis berkenaan mengenakan caj di antara RM500 dan RM1,000 bagi sekali perkhidmatan seks.
“Pelacur China pula dicari kerana caj perkhidmatan seks yang murah iaitu RM150 hingga RM200 manakala wanita Vietnam pula dipilih kerana pandai berbahasa Inggeris,” katanya.
Ujar Abdul Jalil, pihaknya percaya sindiket-sindiket itu tidak akan berputus asa dan sentiasa mencari jalan untuk menghidupkan semula kegiatan tersebut walaupun polis kerap melakukan serbuan.
“Kita akan tetap mengekang kegiatan itu walaupun mereka menggunakan pelbagai taktik termasuk mengubah tempat operasi,” katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Terus muflis angkara bank cuai


WAN ISMAIL menunjukkan laporan polis dan penyata bank ketika ditemui Kosmo! di Ampang Jaya baru-baru ini.


AMPANG JAYA – Seorang peniaga restoran bukan sahaja terpaksa menanggung status muflis sehingga ke hari ini malah wang berjumlah RM17,377.41 di dalam akaun sebuah bank di Pandan Indah di sini 'lesap' begitu saja akibat kecuaian bank tersebut.
Mengimbas sebelum kejadian itu, Wan Ismail Wan Muda, 36, mendakwa, dia diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Selangor pada tahun 2007 selepas menjamin seorang saudara yang membeli sebuah kereta Perodua Kancil berharga RM33,000.
“Mengikut prosedur, selepas diisytihar muflis semua wang dalam akaun saya akan diserahkan ke Jabatan Insolvensi Selangor.
“Tetapi apa yang berlaku pada September 2008, saya yang memeriksa penyata kewangan akaun di bank itu, terkejut mendapati wang RM17,377.41 dalam akaun telah dipindahkan ke Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur.
“Lebih malang, duit yang dipindahkan ke Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur itu atas nama individu lain (yang tidak dikenali),” dakwanya ketika ditemui Kosmo!.
Berikutan masalah itu, Wan Ismail berkata, dia berjumpa dengan pegawai bank berkenaan beberapa kali namun dalam tempoh lima tahun masalah tersebut tidak selesai malah telah banyak menyusahkan hidupnya.
Kata Wan Ismail, antara alasan diberikan pihak bank berhubung masalah tersebut seperti pihak bank perlu menyelesaikan perkara itu dengan berjumpa pihak Insolvensi.
“Tetapi apabila saya pergi ke Jabatan Insolvensi Selangor, pihak sana pula memberitahu bahawa saya perlu merujuk permasalahan tersebut kepada bank kerana wang RM17,377.41 tersebut telah dimasukkan ke akaun lain dan bukan ke jabatan itu.
“Sepanjang tempoh tersebut hingga sekarang, saya terpaksa berulang-alik ke bank dan Jabatan Insolvensi Selangor tetapi masalah ini tetap juga tidak selesai,” katanya yang juga telah membuat laporan polis berhubung masalah yang dihadapinya.
Sejak berhadapan dengan masalah itu, Wan Ismail berkata, dia merasakan dirinya dianiaya kerana pihak bank mengambil masa terlalu lama menyelesaikan kecuaian yang jelas disebabkan pihak bank.
Mengikut maklumat, kerani bank yang melakukan proses memindahkan wang dari dalam akaun miliknya telah bersara.
Bagaimanapun, pada 13 Februari lalu, Wan Ismail berkata, dia menerima sepucuk surat dari pihak bank terbabit yang mengaku berlaku kecuaian pihaknya ketika proses pemindahan wang.
“Dalam surat tersebut, menyatakan pihak bank telah membuat rayuan kepada Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur supaya memindahkan duit dari Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur ke Jabatan Insolvensi Selangor yang menguruskan kes saya,” kata Wan Ismail bapa kepada dua orang anak.
Katanya, dia merasa amat kecewa dengan sikap pihak bank yang hanya menghantar surat memaklumkan perkara itu dan bukannya mengambil inisiatif untuk berjumpa dengannya bagi menjelaskan masalah itu.
“Saya sebagai pelanggan bank dan disebabkan kecuaian bank saya terpaksa membazir masa selama lima tahun, pihak bank layan saya seperti masalah yang berlaku itu remeh,” katanya.
Sementara itu, jurucakap bank terbabit ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada Wan Ismail baru-baru ini dan proses untuk memindahkan wang ke Jabatan Insolvensi Selangor sedang diuruskan.
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Muka melecur disimbah asid


MOHD. FAZIL masih lemah selepas disimbah asid di sebuah rumah di Marang, Terengganu ketika ditemui di HSNZ semalam.


MARANG – Dua sahabat cedera parah apabila masing-masing disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika sedang tidur selepas menonton perlawanan bola sepak di Kampung Padang Merchang dekat sini semalam.
Kejadian pukul 5.15 pagi itu menyebabkan Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, melecur teruk di muka, tangan dan kaki manakala rakannya, Shahrulzaman Salim, 38, melecur di muka dan badan.
Mohd. Fazil sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia manakala Shahrulzaman, seorang nelayan. Mereka kini dirawat di Unit Kebakaran, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dekat sini.
Mengimbau semula kejadian itu, Shahrulzaman berkata, pada mulanya dia tidak menyedari dirinya telah disimbah asid sehinggalah terdengar jeritan Mohd. Fazil.
“Dalam keadaan mamai saya tanya dia apa yang terjadi sebelum saya lihat tangannya melecur. Tidak lama selepas itu, baru saya rasa pedih dan rupanya saya juga telah disimbah asid,” ceritanya sambil memberitahu empat lagi rakannya yang turut tidur di situ tidak cedera.
Menurut Shahrulzaman, ketika tidur, tingkap rumah itu dibuka kerana cuaca panas dan percaya individu berkenaan menyimbah asid melalui ruang tersebut yang setinggi kira-kira dua meter.
Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Mohd. Hamizi Hussin, 29, memberitahu, rumahnya sering dijadikan tempat melepak oleh rakan-rakannya setiap hari sambil menonton perlawanan bola sepak.
Katanya, ketika kejadian terdapat enam rakannya bermalam di situ manakala dia keluar menghantar pekerja kilang di Chendering.
“Saya terus pulang sebaik dihubungi rakan dan membawa mereka yang cedera ke Klinik Kesihatan Merchang. Tilam turut terhakis terkena asid serta terdapat bau masam di dalam rumah,” katanya.
Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa mengesahkan kejadian yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Enam bulan jadi hamba seks


Woon (kiri) menunjukkan gambar bekas kekasihnya yang sering mengugut
 mahu menyebar gambar bogelnya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
 

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga terpaksa menjadi hamba seks kepada bekas teman lelakinya selama enam bulan ekoran bimbang gambar bogelnya didedahkan jika dia enggan memenuhi nafsu lelaki berkenaan sejurus selepas mereka berpisah pada Julai tahun lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Woon, 29, berkata, sejak perpisahan itu, dia terpaksa memenuhi kehendak bekas teman lelakinya itu yang dikenali sebagai Teh sehingga Disember tahun lalu.
“Saya nekad untuk mengelakkan diri kerana tidak tahan lagi dengan ugutan dia kerana saya ingin menjalani kehidupan dengan aman.
“Dia bukan sahaja sering mengugut untuk menyebarkan 80 keping gambar bogel saya di laman web termasuk menghantarnya kepada rakan dan ahli keluarga jika saya tidak menuruti kehendaknya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat olehnya di Balai Polis Jalan Bandar di sini pada 12 Februari lalu yang juga tarikh terakhir dia diugut oleh lelaki berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya, dia pernah menjalinkan hubungan bersama Teh yang bekerja di bidang teknologi maklumat pada tahun 2000 tetapi telah berpisah pada tahun 2003.
“Namun, kami kembali bersama pada tahun 2010 selepas saya bercerai dengan suami saya pada tahun 2009,” tambahnya yang turut memberitahu, dia membenarkan gambar bogelnya diambil sebagai bukti cinta kepada Teh.
Tambah Woon, lelaki tersebut turut mengugutnya dengan menghantar gambar bogel melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) malah mendaftar akaun laman web sosial Facebook dengan menggunakan gambar separuh bogelnya.
“Saya sudah tidak tahan lagi. Tolonglah berhenti ganggu saya,” rayunya yang kini terpaksa mengambil pil tidur kerana masalah amnesia yang dihadapi akibat kes berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menasihati golongan wanita supaya jangan membenarkan teman lelaki mengambil gambar bogel mereka kerana ia boleh disalahgunakan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Umur Presiden Senegal dikatakan 90 tahun

GAMBAR fail menunjukkan Abdoulaye Wade berkempen dalam
kempen politik di Kampung Dagana, Senegal pada 10 Februari lalu.

KEBEHER, Senegal - Umur Presiden Senegal, Abdoulaye Wade menjadi persoalan kerana ada dakwaan beliau berusia 90 tahun.
Secara rasmi, Wade dilahirkan pada 29 Mei 1926 menjadikan beliau berumur 85 tahun semasa kebanyakan daripada penduduk di negara ini meninggal dunia semasa berusia 59 tahun.
Namun, para pengkritiknya menyatakan beliau mungkin berusia 90 tahun.
Masalah yang dihadapinya ialah dokumen kelahirannya dikunci dalam sebuah bilik.
Persoalan itu timbul kerana beliau kini cuba meyakinkan penduduknya supaya memberikan peluang kali ketiga kepadanya untuk memerintah Senegal.
Isu itu timbul bahawa seorang penduduk yang mengenali Wade menerima ancaman bunuh selepas beliau mendakwa presiden tersebut lahir pada tahun 1919.
"Umurnya menjadi satu masalah. Adakah beliau layak mempinpin negara?, soal Datuk bandar Saint Louis, Cheikh Bamba Dieye.
Dokumen kelahiran Wade disimpan dalam sebuah bilik berkunci di bandar Saint Louis. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Terperangkap dalam kereta selama dua bulan


SEORANG lelaki yang ditemui kelmarin terperangkap di dalam kereta
 ini yang dipenuhi dengan salji tebal di sebatang jalan di sebuah hutan tidak
 jauh dari bandar Umea, Sweden.
 

STOCKHOLM, Sweden – Seorang lelaki Sweden hidup dalam sebuah kereta yang ditimbus salji di sebatang jalan di dalam hutan selama dua bulan tanpa makan, kata polis dan media kelmarin.
Lelaki berusia 45 tahun dari selatan Sweden itu ditemui pada Jumaat lalu dan dia kelihatan sangat kurus dan terlalu lemah untuk bercakap beberapa patah perkataan.
Dia ditemui dalam kereta tidak jauh dari bandar Umea di utara Sweden.
Lelaki itu ditemui oleh beberapa orang yang menaiki skuter salji yang pada mulanya mereka menganggap mereka menemui sebuah bangkai kereta.
Namun, mereka menggali salji ke tingkap kereta tersebut dan melihat terdapat pergerakan di dalam kenderaan itu.
Lelaki itu duduk di tempat duduk belakang di dalam beg tidur dan dia menyatakan telah berada di dalam kereta tersebut sejak 19 Disember tahun lalu.
Seorang pegawai polis, Ebbe Nyberg berkata, pihaknya tidak meragui bahawa lelaki tersebut telah terperangkap di dalam kereta bagi tempoh yang lama.
Hospital Universiti Umea iaitu lokasi lelaki tersebut dirawat selepas diselamatkan oleh polis dan pasukan penyelamat berkata dalam satu kenyataan bahawa dia kini beransur baik.
Doktor-doktor di hospital itu berkata, manusia pada kebiasaannya mampu hidup selama kira-kira empat minggu tanpa makanan.
Menurut Dr. Stefan Branth kepada akhbar Vasterbottens-Kuriren, selain makan salji, lelaki itu mungkin hidup disebabkan dia tidak aktif.
“Seperti seekor beruang yang hibernasi. Manusia bolah melakukannya,” katanya.
Hibernasi merujuk kepada haiwan yang menghabiskan musim sejuk dalam keadaan tidur nyenyak.
“Dia (lelaki itu) mungkin mempunyai suhu badan kira-kira 31 darjah Celsius yang disesuaikanmengikut tubuh badannya.
“Disebabkan suhu yang kecil, tiada banyak tenaga yang digunakan,” kata Dr. Branth.
Polis berkata, kenapa lelaki tersebut berada di dalam kereta di hutan tersebut masih belum diketahui.
– Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Sunday, February 19, 2012

Bom kentut cetus huru-hara

MISSISSIPPI: Gara-gara menggunakan perkataan sensitif pada tempat yang salah, seorang remaja berusia 19 tahun ditahan selepas menulis nota mengandungi perkataan ‘bom’ pada tisu tandas. 
Nota ditulis Harold Wayne Hadley, Jr, itu menyebabkan 11 agensi kecemasan bergegas ke kolej di Mississippi tetapi tidak menemui bom yang dimaksudkan.
Hadley dan keluarganya berkata, dia cuma menjelaskan keseronokan melepaskan kentut di dalam perpustakaan.
“Dia berada di tandas sambil memegang tisu tandas. Dia menggelar kentut sebagai melepaskan bom. Dia menulis ‘saya melepaskan bom dalam perpustakaan.

“Dia maksudkan kentut dan ada orang lain masuk ke dalam tandas dan menemui nota. Dia menyerahkan kepada guru yang mengenal pasti itu adalah tulisan tangan Hadley dan menghubungi pihak berkuasa,” kata ibu saudara Hadley, yang enggan memper-kenalkan diri.

Penyiasat tidak menyebut apa yang ditulis Hadley tetapi laporan WDAM menyatakan tiada ayat melampau selain ‘saya melepaskan bom dalam perpustakaan.’

Hadley ditahan dan dikenakan ikat jamin sebanyak AS$20,000 (RM60,000). Jika disabitkan mengancam meletupkan sekolah, dia berdepan hukuman penjara 10 tahun dan denda AS$10,000 (RM30,000). – Agensi

Berita Harian Online | Bom kentut cetus huru-hara:

'via Blog this'

Nada dering telefon boleh lemahkan otak

Penggunaan lagu popular, jejas pembelajaran

LONDON: Sekumpulan penyelidik berkata penyelesaian masalah atau mengingati sesuatu perkara menjadi lebih mudah dilakukan, jika telefon bimbit dalam keadaan senyap kerana nada dering terutama lagu yang menarik boleh mengurangkan keupayaan kuasa otak.
Saintis di Universiti Washington, di St Louis mendapati sekumpulan pelajar mendapat markah lebih 25 peratus kurang dalam ujian apabila didedahkan dengan nada dering telefon bimbit.
Keputusan terburuk itu ditunjukkan selepas mendengar lagu yang diketahui atau disukai mereka.

“Kebanyakan kita beranggapan, deringan telefon bimbit di tempat awam adalah satu gangguan yang tidak disukai , tetapi kajian ini mengesahkan gangguan bunyi itu juga memberi kesan dalam hidup,” kata Jill Shelton.

Kajian termasuk eksperimen dijalankan Shelton menggunakan sekumpulan pelajar di dalam kelas syarahan psikologi yang padat di Universiti Louisiana, dan mereka dibenarkan membiarkan telefon bimbit di dalam beg berdering secara berterusan dengan kuat selama 30 saat.

Hasil ujian mendapati, pelajar yang terdedah kepada deringan telefon bimbit mendapat markah 25 peratus lebih rendah berbanding n sebelum gangguan itu.
Pelajar yang diuji sukar mengingati semula kandungan kursus yang dibentangkan ketika gangguan, walaupun maklumat yang sama disampaikan profesor sebelum deringan telefon termasuk dalam teks melalui slaid sepanjang gangguan.

Pelajar mendapat markah lebih teruk apabila Shelton menambahkan gangguan, kerana panik mencari telefon di dalam beg sebagai cubaan untuk menghentikan deringan berkenaan.

Pada peringkat eksperimen ini, pelajar di sebuah makmal diuji dengan ujian pengenalan perkataan mudah ketika didedahkan dengan gangguan bunyi seperti nada tidak relevan, deringan telefon bimbit standard dan sebahagian lagu yang biasa di kalangan pelajar terbabit.

Lagu dalam versi instrumental sebuah gubahan lagu bagi menyokong pasukan American Football university itu dimainkan sekejap-sekejap.

Lagu itu juga menjadi satu deringan telefon bimbit yang popular.

“Apabila kami memainkan lagu semangat itu dalam ujian makmal, faktor gangguan bertahan lebih lama.

“Ia memperlahankan prestasi membuat pilihan mereka untuk tempoh lebih lama berbanding ketika deringan telefon bimbit biasa.

“Bergantung bagaimana kebiasaan seseorang terhadap lagu itu, ia boleh memberikan kesan lebih buruk terhadap keupayaan kognitif mereka,” kata Shelton.

Kajian itu menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai yang cuba memberi perhatian ketika mereka diganggu dengan bunyi deringan daripada e-mel atau mesej teks. – Agensi

Berita Harian Online | Nada dering telefon boleh lemahkan otak:

'via Blog this'

Saintis siasat piramid di Jawa Barat

PEMANDANGAN di Gunung Sadahurip Jawa Barat yang dikatakan mempunyai bentuk seakan-akan sebuah piramid.
PEMANDANGAN di Gunung Sadahurip Jawa Barat yang
dikatakan mempunyai bentuk seakan-akan sebuah piramid.


Tiga kementerian bincang usaha sokong laksana penyelidikan

JAKARTA: Sepasukan saintis sedang berusaha melakukan penyelidikan mengenai khabar angin kononnya wujud piramid di Gunung Sadahurip dan Gunung Padang Cianjur Jawa Barat.
Pegawai khas presiden dalam pengurusan bencana dan hal ehwal sosial Andi Arief, beliau mengadakan satu mesyuarat pada Jumaat membincangkan mengenai isu itu.
“Saya berharap dapat meyakinkan tiga orang menteri negara ini bagi menyokong usaha kumpulan saintis berkenaan,” katanya.

Mesyuarat dihadiri ahli Pasukan Kajian Katastrofik Purba, diketuai ahli sismologi, Danny Hilman dan wakil dari kementerian pelancongan, teknologi dan penyelidikan serta kebudayaan dan pendidikan.

Andi berkata mesyuarat tidak rasmi juga diadakan antara pasukan itu dan pegawai dari Kementerian Pelancongan.

Kementerian berkenaan akan membawa pakar, peralatan dan dana untuk membantu projek berkenaan.
Penemuan piramid di Indonesia, kata Hilman akan menulis semula sejarah di kepulauan berkenaan dan mungkin juga di dunia.

“Kita boleh buktikan bahawa tamadun purba kita lebih maju berbanding apa yang dipercayai sebelum ini, malah lebih lama daripada Majapahit,” katanya merujuk kepada satu daripada kerajaan purba dan terbesar yang diketahui.

Timbalan menteri teknologi dan penyelidikan, Teguh Rahardji, berkata pejabat beliau akan melihat perkara itu sebelum memutuskan sama ada akan terbabit atau tidak.
“Kami menyokong penyelidikan seperti ini,” katanya.

Pasukan itu, kata Andi pada awalnya mahu melakukan penyelidikan geologi berbanding mencari piramid. Beliau berkata idea untuk mencari piramid datang selepas sebuah syarikat pelancongan Geotrek Indonesia menyifatkan bahawa Gunung Sadahurip di daerah Garut kelihatan terlalu berbentuk piramid berbanding bentuk semulajadi.

Tidak semua percayakan teori piramid terbabit. Sujatmiko, seorang ahli geologi dari Persatuan Pakar Geologi Indonesia berkata beliau menyangkakan Sadahurip terbentuk secara semula jadi.

Gunung itu berada di garisan gunung berapi utama di Jawa Barat dan Sujatmiko berkata ia terbentuk sebagai sebuah timbunan piroklastik gunung berapi daripada magma yang muncul dari permukaan bumi tanpa saluran magma tipikal di bawahnya.

Pemangku Ketua Pengarah Kementerian Pelancongan, Gde Pitana berkata tanggapan sejarah Indonesia mungkin termasuk piramid adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Terlalu banyak gunung di sini yang tidak perlu lagi dibina struktur tinggi untuk tujuan penyembahan. – Agensi

Berita Harian Online | Saintis siasat piramid di Jawa Barat:

'via Blog this'

Diplomat Israel disaran tidur dengan senjata bawah bantal




2012/02/19

TEL AVIV: Serangan di India, Georgia dan tiga letupan di Thailand mendorong diplomat Israel di seluruh dunia lebih berwaspada, dan seorang bekas pegawai keselamatan muncul dengan idea lebih melampau – menasihatkan mereka tidur dengan senjata di bawah bantal, lapor media Israel.

“Berhati-hati adalah perkara utama dalam hal ini, kata Nimrod Firstenberg,” kata pegawai agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet.
Firstenberg, yang menjadi anggota pasukan keselamatan pelbagai kedutaan, memberikan amaran keras: “Tidur dengan senjata dan lampu suluh di bawah bantal.” Diplomat Israel di seluruh dunia berada dalam keadaan berjaga-jaga, malah kanak-kanak diberi amaran sentiasa berhati-hati, lapor ynetnews.com.

Sebuah kereta kedutaan Israel yang membawa isteri seorang diplomat menjadi sasaran serangan di New Delhi awal minggu ini manakala di ibu negara Georgia, Tbilisi, polis berjaya mematikan bom diletakkan pada kenderaan seorang warga negara itu yang bekerja dengan kedutaan Israel.

Sehari kemudian, tiga letupan menggegarkan Bangkok dan seorang lelaki Iran cedera.

Diplomat veteran Israel, Eli Shaked, mencadangkan supaya diplomat Israel tidak menonjolkan diri sebaliknya cuba melakukan sesuatu di luar rutin untuk mengelirukan musuh.
“Ia memberikan kesan semua orang termasuk kanak-kanak mungkin tidak ke sekolah. Anda perlu berbuat sesuatu untuk tidak berada di tempat yang sepatutnya bagi mengelakkan tempat pengganas mungkin merancang serangan.

“Malah kanak-kanak sedar ada sesuatu berlaku dan perlu diarahkan memberi perhatian kepada apa yang berlaku tanpa panik serta menakutkan mereka. Matlamat kita ialah menjalani kehidupan normal sebaik yang boleh dalam persekitaran tidak normal,” dia dipetik sebagai berkata.

Diplomat Israel diberitahu supaya tidak menggunakan kereta buat masa ini, lapor media. – Agensi

Berita Harian Online | Diplomat Israel disaran tidur dengan senjata bawah bantal:

'via Blog this'

China gesa Syria henti konflik

BASHAR al-Assad (kanan) bermesyuarat dengan Zhai di Damsyik, semalam.
BASHAR al-Assad (kanan) bermesyuarat
 dengan Zhai di Damsyik, semalam.
 Semua pihak perlu sekat keganasan untuk pilihan raya secara aman

DAMSYIK: Timbalan Menteri Luar China, Zhai Jun menggesa semua pihak di Syria menghentikan keganasan bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara aman selepas perbincangan Damsyik dengan Presiden Bashar al-Assad semalam, lapor media tempatan.
“Pendirian China adalah menggesa kerajaan, pembangkang dan pemisah untuk menghentikan keganasan dengan segera,” kata Zhai sambil menambah bahawa ia adalah penting supaya ketenangan kembali secepat mungkin kerana ia adalah untuk kepentingan penduduk Syria.
“Kami berharap pungutan suara terhadap satu perlembagaan baru dan juga pilihan raya akan datang berlangsung dengan aman,” katanya yang dipetik televisyen tempatan.

Khamis lalu, kumpulan pembangkang Syria menolak satu perlembagaan baru yang dirangka yang boleh menamatkan pemerintahan parti tunggal hampir lima dekad dan menggesa pengundi memboikot pungutan suara pada 26 Februari.

Jawatankuasa Koordinasi Kebangsaan bagi Perubahan Demokratik memberitahu adalah sukar bagi kita untuk mengambil bahagian dalam referendum ini sebelum pembunuhan dan keganasan dihentikan.

Pertemuan Zhai dan Assad diikuti rundingan bersama rakan sejawatnya, Faisal Meqdad, lewat Jumaat selepas beliau menyatakan masyarakat antarabangsa perlu menghormati kedaulatan Syria.
“Kami bertukar pandangan mengenai cara untuk mengukuhkan kerjasama kita dalam berhadapan dengan tempoh sukar ini di Syria,” kata Zhai di mana kerajaannya bersama Moscow dua kali menyekat kritikan Majlis Keselamatan PBB terhadap tindakan keras regim Damsyik berhadapan dengan kebangkitan selama 11 bulan.

“Kedaulatan, penyatuan, kebebasan dan integriti Syria perlu dihormati semua pihak dan masyarakat antarabangsa,” katanya yang dipetik agensi berita rasmi Syria Arab News. – AFP

Berita Harian Online | China gesa Syria henti konflik:

'via Blog this'

Osama idam kahwini Whitney Houston

pix_gal0
Buku dedah dakwaan pemimpin al-Qaeda pernah rancang bunuh bekas suami penyanyi

RABAT: Bekas pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, ‘mengidam’ mengahwini mendiang Whitney Houston, malah pada satu ketika merancang membunuh suami penyanyi itu, Bobby Brown, menurut satu buku baru.
Dakwaan itu dibuat penulis berketurunan Sudan, Kola Boof, yang dikatakan tinggal bersama Osama sebagai perempuan simpanannya.
Ia berlaku pada 1996 dan beberapa tahun kemudian Osama mendalangi serangan paling dahsyat terhadap Amerika Syarikat.

Namun, ketika di Maghribi, Osama memikirkan perkara lain termasuk seks, menghisap kanabis dan menari lagu kumpulan pop barat seperti B52s dan Van Halen.

Boof, atau nama sebenarnya Naima Harith mendakwa diperlakukan seperti hamba seks oleh Osama, berkata pemimpin al-Qaeda itu berkata, Houston wanita paling cantik pernah dilihatnya dan teruja untuk mengahwini bintang pop itu.

Dalam autobiografi diterbitkan pada 2006, Boof mendakwa Osama merancang membunuh Brown sebelum menggoda Houston dengan memberikannya rumah mewah yang dimilikinya di Khartoum.
Menurut ceritanya, Osama menghisap kanabis sebelum mengumumkan dia rela melanggar peraturan warna dan menjadikan Houston salah seorang isterinya.

Osama didakwa percaya Houston beragama Islam tetapi diresapi budaya Amerika. Boof mendakwa Osama memarahinya kerana bertocang dan mengarahkan dia bergaya seperti Houston.

“Osama bertanya sama ada saya kenal Houston secara peribadi ketika saya menetap di Amerika dan saya berkata tidak. Katanya dia memang mahukan Whitney Houston. Walaupun mendakwa muzik itu jahat, Osama berkata memperuntukkan banyak wang untuk ke Amerika dan cuba mengatur pertemuan dengan penyanyi itu.

“Ia tak mustahil bagi saya. Katanya dia mahu berikan rumah mewah yang dimilikinya di Khartoum kepada Houston. Osama menjelaskan kepada saya dia rela melanggar peraturan warna yang dibuatnya semata-mata untuk memiliki penyanyi itu dan menjadikan dia isterinya. Sampai satu ketika saya bosan mendengar nama Whitney Houston,” Daily Mail memetik tulisan Boof dalam bukunya.

Cerita Boof mula muncul pada tahun 2002 apabila akhbar Guardian menyiarkan artikel mendakwa dia dipaksa mengaku mengadakan hubungan seks dengan Osama bagi menyelamatkan taraf warganegara Amerika yang dimilikinya.

Kemudian, dalam temubual dua bahagian dengan MSNBC dia digelar Bekas Wanita Simpanan Osama bin Laden.

Ketika sebahagian mendakwa Boof sengaja mengada-adakan cerita dan mustahil kerana berdarah Afrika-Amerika, Boof tegas dengan ceritanya dan mendakwa bahawa dua daripada 25 anak Osama berkulit hitam dan neneknya yang berasal dari Syria juga dipercayai wanita kulit hitam. – Agensi


Berita Harian Online | Osama idam kahwini Whitney Houston:

'via Blog this'

Pramugari ditiduri hantu raya


TINGKAP di bilik utama dipercayai menjadi laluan masuk hantu raya ke dalam rumah Keena.


CUACA pada malam itu agak dingin. Semua penghuni rumah teres dua tingkat di Nilai, Negeri Sembilan itu sudah tidur semasa Keena pulang daripada kerja.

Pada masa itu jarum jam menunjukkan pukul 11 malam. Pramugari itu terus ke bilik air untuk membersihkan tubuh setelah 13 jam mengharung penerbangan dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Sedang dia asyik menghayati siraman air suam kuku, tiba-tiba pandangan mata Keena terarah kepada sebuah objek yang melekat pada cermin pemisah bilik airnya.

Dek terlalu letih, Keena tidak banyak berfikir. Dia menyangkakan objek itu mungkin seekor kelawar yang tersesat ke dalam kamar mandinya. Seketika kemudian objek berwarna hitam itu lenyap.

“Bila diamati betul-betul ia seolah-olah tapak tangan lembaga hitam yang diletakkan pada cermin itu,” tutur Keena, 37.

Putus tunang

Sejak setahun lalu, ibu tunggal itu sudah terbiasa dengan kejadian pelik di rumahnya. Rumah tersebut didiami Keena bersama ibu, adik dan seorang anak lelakinya.

Malah, adik perempuan Keena mendakwa pernah melihat makhluk seakan-akan beruk besar berdiri di atas bumbung rumahnya. Jelas Keena, sejak bercerai dengan suaminya enam tahun lalu, rumah itu tidak lagi tenteram seperti dahulu.

Ada sahaja gangguan misteri berlaku. Daripada bunyi bising hinggalah jelmaan makhluk hitam berbulu yang menemani tidurnya.

“Lampu terpadam tiba-tiba, bunyi orang sedang berjalan dan benda mencakar dinding sudah menjadi perkara biasa buat saya. Kadang-kadang ada bunyi guli melantun di atas siling.

“Semasa tidur pula ada makhluk berbulu hitam pekat sering menindih saya. Apabila dibacakan ayat Kursi dan dilaungkan azan ia akan hilang tetapi akan muncul semula.


SEMASA azan dilaungkan terdapat bunyi seakan-akan almari diketuk.


“Bukan itu sahaja, sejak mengalami gangguan itu, emosi saya selalu tidak stabil. Saya menjadi semakin panas baran dan mudah marah,” jelas Keena dalam nada sugul kepada Jurnal.

Dia tidak sahaja diganggu oleh bunyi-bunyi aneh dan jelmaan makhluk yang menyeramkan, bahkan kehidupan peribadi Keena turut merudum.

Setelah bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang pramugara pada tahun 2006, Keena mengalami banyak kegagalan dalam percintaan.

“Dalam tempoh itu saya sudah bertunang sebanyak tiga kali. Apabila hampir untuk diijabkabulkan, hubungan kami terputus tanpa sebab. Saya baru sahaja putus tunang dengan seorang mualaf.

“Dia tiba-tiba tidak jadi berkahwin dengan saya walaupun hanya tinggal seminggu lagi. Saya bingung, mengapa semua ini berlaku?” kata Keena.

Menyedari keanehan itu, Keena berjumpa ramai pakar perubatan Islam untuk mendapatkan rawatan. Malangnya keanehan berlaku lagi sewaktu dia membawa seorang ustaz ke rumahnya untuk berubat. Dalam perjalanan itu, kereta mereka dihalang oleh seekor ular besar berwarna hitam.

Ular itu bagaikan hendak menghalang ustaz itu daripada tiba ke rumah Keena.

“Sewaktu menjemput seorang ustaz daripada jalan utama ke kawasan rumah saya, konvoi kami dihalang oleh ular itu.


KEENA bukan sahaja menderita disihir bahkan rumahnya diganggu hantu raya.


Disetubuhi

“Ular berwarna hitam yang berdiri setinggi kereta itu berada betul-betul di tengah laluan kami sebelum ia tiba-tiba lenyap.

“Anak saya memberitahu bahawa dia seperti sedang menonton rancangan National Geographic secara langsung. Itulah pertama kali saya melihat ular yang begitu besar,” tutur Keena.

Menurut seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafei, Keena sebenarnya menderita akibat disihir dan diganggu hantu raya.

“Makhluk berbulu yang sering dilihat Keena itu kalau di kampung dipanggil hantu raya. Ia dibela sejak zaman-berzaman dan dihantar untuk memecahbelahkan kehidupan orang lain.

“Dalam diri Keena sendiri ada makhluk halus yang bersarang. Kerana itulah emosi dia kerap terganggu kerana terdapat kesan lebam pada tubuhnya,” tutur Shamsuri.

Tambah Shamsuri, lebih teruk apabila makhluk berbulu setinggi manusia biasa itu boleh melakukan persetubuhan dengan mangsa.

“Ada mangsa gangguan hantu raya yang mengaku dia disetubuhi oleh makhluk itu. Biarpun dalam keadaan tidak sedar, tetapi ciri-ciri seperti seseorang yang selesai bersetubuh itu terdapat pada mangsa,” tambah Shamsuri.

Baru-baru ini, Shamsuri melakukan proses menghalau makhluk tersebut dan memagar rumah Keena dengan bacaan ayat-ayat rukyah.

Setiap bilik di rumah Keena dibacakan ayat-ayat suci berserta bacaan doa untuk menghalau makhluk ghaib tersebut. Sebuah bilik di bahagian belakang yang didakwa oleh Shamsuri sebagai tempat hantu raya tersebut duduk dilaungkan dengan alunan azan.


SHAMSURI membaca ayat rukyah ketika proses menghalau makhluk halus itu.


Ketika Shamsuri dan tiga orang pembantunya melaungkan azan secara serentak itu, perhatian Jurnal tertarik oleh bunyi dari sebuah almari.

Bunyi jari telunjuk yang mengetuk pintu almari itu bersahutan sebanyak empat kali sebelum ia berhenti.

Jelas Shamsuri, apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran dan azan, makhluk halus tersebut akan berasa panas dan marah. Seterusnya akan kedengaran bunyi-bunyi seperti mencakar dinding, bunyi cawan dan harimau mengaum.

“Tanda-tanda ini akan berlaku pada waktu malam selepas ia dihalau. Ini bermakna ia tidak akan mengganggu lagi mangsanya,” kata Shamsuri.


Kosmo! Online - Rencana Utama:

'via Blog this'