Pages

Thursday, September 22, 2011

FBI kekal ajar Islam salah



WASHINGTON 21 Sept. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendakwa seminar latihan antikeganasannya yang mengaitkan majoriti penduduk Islam Amerika Syarikat (AS) dengan pengganas adalah insiden 'tunggal' yang bermula dan berakhir pada April lalu.
Namun dua bulan kemudian, penganalisis antikeganasan FBI yang memberikan taklimat kontroversi itu, William Gawthrop menyampaikan ceramah serupa kepada berpuluh-puluh pegawai penguat kuasa undang-undang pada satu acara tajaan FBI di New York City.
Semasa ceramah pada Jun lalu itu, Gawthrop memberitahu hadirin, perang menentang al-Qaeda 'sia-sia belaka', kerana ancaman sebenar adalah daripada 'ideologi' Islam itu sendiri.
"Pada peringkat operasi, kita menghadapi kumpulan seperti Hamas, Hizbullah, al-Qaeda, dan seperti gigi dalam seekor jerung, tidak relevan jika kita menumpaskan satu kumpulan," kata Gawthrop semasa ceramah kepada anggota pertubuhan keselamatan swasta-awam, Infragard Metropolitan New York di Pusat Kewangan Dunia di pusat bandar Manhattan.
Sejak akhbar Huffington Post menyiarkan kandungan ceramah Gawthrop itu, anggota kanan Senat dan wakil pertubuhan Arab dan Islam Amerika membidas FBI kerana menyediakan dokumen latihan sedemikian yang antara lain menggambarkan Nabi Muhammad sebagai 'pemimpin kumpulan ajaran sesat'.
Ceramah Gawthrop pada 8 Jun itu mencetuskan kontroversi dengan cara berbeza kerana pada pandangannya, perjuangan menentang al-Qaeda hanya sampingan dalam perang lebih luas.
"Kita banyak melakukan analisis sia-sia dengan bercakap mengenai jenis senjata, waktu serangan dan taktik, kerana semua itu tidak relevan sekiranya tindakan militan didorong oleh Islam sendiri," kata Gawthrop.
Menurutnya, strategi terbaik untuk melemahkan puak militan adalah dengan menyerang Islam itu sendiri, mempertikaikan kesahihan kitab suci Islam dan pandangan pemimpin utama Islam.
Dalam ceramah itu, Gawthrop menghalakan penunjuk lasernya ke slaid PowerPoint untuk menarik perhatian hadirin kepada perkataan 'Kitab Suci' dan 'Ulama'.
"Kita perlu menjadikan kedua-duanya sebagai sasaran," katanya.
Begitulah penilaian profesional seorang penganalisis daripada agensi antikeganasan domestik utama di AS, orang yang dianggap begitu pakar dalam memahami strategi militan sehinggakan FBI menugaskan beliau mengajar ejen-ejennya. - Agensi

Bilal bersama bapa maut






KEMALANGAN menyebabkan dua ahli keluarga maut di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Padang Pulut, semalam.


DUNGUN 21 Sept. - Penduduk di Kampung Minda Pasir Raja tidak akan dapat mendengar lagi laungan azan daripada Yusof Daleng, apabila bilal masjid mereka itu terbunuh bersama bapanya dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi di sini semalam.
Nahas berlaku berhampiran Kampung Padang Pulut pukul 5 petang apabila kereta Proton Saga yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah kereta Perodua MyVi yang dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Allahyarham Yusof, 40, yang juga tukang kebun sekolah, ketika itu bersama lima yang lain dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Parlimen Dungun sempena kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka yang bersama dengan Allahyarham ialah bapanya, Daleng Hassan, 66, adik Allahyarham, Mohamad Zaid, 23; jirannya, Normadiah Mahmud, 43, bersama dua anaknya, Mohd. Ikrima Abd. Latif, 12, dan Mohd. Sabri, 10.
Yusof meninggal dunia di tempat kejadian manakala Daleng menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.40 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
Mohamad Zaid, Normadiah, Mohd.Ikrima dan Mohd. Sabri cedera parah.
Turut parah pemandu MyVi, Mohd. Nor Ehsan, 20, manakala rakannya, Badrul Hisham Ibrahim, 32, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan mengenai nahas itu.
Sementara itu, isteri Allahyarham Yusof, Hasnah Mat Kasim, 41, berkata, pagi semalam, suaminya memberitahu dia ingin menghadiri majlis itu untuk melihat lebih dekat Timbalan Perdana Menteri.
"Arwah kelihatan gembira selepas diberi pelepasan oleh guru besar sekolah tempat kami bekerja untuk menghadiri majlis itu.
"Dia turut mengajak saya namun saya terpaksa menolak kerana dua anak kami berusia 5 dan 10 tahun perlu dijaga," katanya yang turut berkerja sebagai tukang sapu di sekolah yang sama.
Menurut Hasnah, dia mempelawa dan membenarkan Normadiah teman sekerjanya bersama dua anaknya menumpang kereta suami ke majlis itu tetapi tidak menyangka bapa mertua serta adik iparnya turut serta.

Kondom dalam beg sekolah anak

HULU SELANGOR: Luluh hati seorang ibu apabila menemui kondom dalam beg sekolah anak gadisnya yang berusia 15 tahun sebelum gadis itu membuat pengakuan ada melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.
Difahamkan, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini terkedu dan menangis sebaik mendedahkan perkara itu kepada ibu bapanya.

Gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjalin cinta dengan lelaki berusia 20 tahun dan dipujuk melakukan hubungan seks selepas beberapa bulan perkenalan.

Berikutan itu, ibu bapa mangsa membawa remaja terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran selain dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.

Menurut sumber, bertindak atas laporan dan keputusan pemeriksaan, polis menahan teman lelaki remaja itu di rumahnya di Ampang Pecah, di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa keluar bersama teman lelakinya kelmarin sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki terbabit.


“Kira-kira jam 6 pagi, mangsa diajak melakukan hubungan seks ketika keluarga teman lelakinya tiada di rumah.

“Selepas itu, teman lelaki mangsa menghantarnya pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang tanpa diketahui keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga teman lelaki remaja itu ditahan di rumahnya dan direman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dilakukan.

Wanita Arab berkerjaya mahu kebenaran ambil pemandu sendiri

JEDDAH: Beberapa wanita yang bekerja dan sudah berkahwin mahu mendapatkan visa untuk mencari pemandu dan pembantu rumah.
Buat masa ini, hanya wanita yang bercerai dan balu saja yang boleh memohon visa itu.
Wanita yang berkerjaya dan berkahwin mahukan hak yang sama kerana mereka juga memerlukan pembantu rumah.

Nuha Awad berkata, banyak keluarga yang mempunyai anak yang mempunyai tahap pendidikan yang berbeza. Lagipun, lebih ramai wanita yang berkahwin dan berkerjaya sekarang dan mereka memerlukan pemandu kedua di rumah.


Seorang lagi ibu yang bekerja, Muna Mihammad berkata, keluarganya mempunyai seorang pemandu saja dan terpaksa melakukan semua kerja menghantar anak ke sekolah dan dia ke tempat kerja. Pemandu itu turut menjadi pemandu keluarga mentuanya.

“Kami menghadapi masalah kerana pemandu kami banyak kerja. Jadi, kami terpaksa mendapatkan teksi. Kami takut dia akan berhenti kerana beban kerjanya yang banyak,” katanya.

Laila Hasan berkata, kerja pemandunya terlalu banyak hingga berhenti kerja.

“Kalau wanita berkahwin dibenarkan ambil pemandu sendiri, sudah tentu masalah ini akan selesai,” katanya. - SG

Kerajaan baru 10 hari lagi

NEW YORK: Perdana Menteri sementara Libya, Mahmoud Jibril berkata, negaranya akan menamakan kerajaan baru dalam masa 10 hari lagi.
Kenyataan Mahmoud yang dibuat selepas persidangan G8 di New York itu meningkatkan harapan kemajuan politik di Libya selepas penggulingan Muammar Gaddafi.

Pemerintah sementara negara itu mendapat sokongan daripada Washington, Kesatuan Afrika dan Afrika Selatan dan bendera barunya dikibarkan buat kali pertama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, semalam.

Perbincangan di Libya bagi membentuk kerajaan sementara sebelum ini menghadapi jalan buntu.

Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang masih berpusat di Benghazi, bandar di timur negara itu, berdepan dengan persoalan mengenai sama ada ia boleh menyatukan negara yang berpecah berdasarkan suku kaum dan garisan tempatan.

Pemerintah baru Libya kini berusaha menumpaskan penyokong setia Gaddafi di beberapa bandar dan masih belum memulakan usaha merangka perlembagaan dan mengadakan pilihan raya.


Mahmoud berkata, antara pertimbangan yang dibahaskan pemimpin sementara itu ialah jumlah kementerian dalam kerajaan baru dan sama ada kerajaan akan kekal di Tripoli atau dibahagikan kepada timur dan barat Libya.

Menurutnya, pembaharuan secara demokratik akan dilakukan untuk menjadikan negara anggota Opec itu lebih telus.

Dalam pada itu, Kesatuan Afrika yang sering diselar kerana reaksinya terhadap kejadian di rantau itu berkata, ia sudah bersedia untuk menyokong NTC.

Afrika Selatan, kuasa besar ekonomi di benua itu dan negara yang mempunyai pengaruh kuat dalam dasar AU juga berkata, ia akan menyokong NTC, sekali gus menamatkan hubungannya yang sudah sekian lama wujud dengan Gaddafi.

Di PBB, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menggesa penyokong setia Gaddafi menghentikan pertempuran dan mengumumkan duta negara itu akan kembali ke Tripoli. - AFP

Gaddafi masih berada di Libya

NEW YORK: Pemimpin sementara Libya, Mustafa Abdel Jalil semalam memberitahu Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bahawa Muammar Gaddafi masih berada di negara itu.
“Mustafa berkata, dia percaya Gaddafi masih berada di Libya,” kata Derek Chollet, Pengarah Kanan Perancangan Strategik Majlis Keselamatan Kebangsaan AS, selepas kedua-dua pemimpin itu berbincang di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - AFP

Tak cukup senjata nak tawan Sirte

TIMUR SIRTE: Tentera Libya gagal menumpaskan penyokong Muammar Gaddafi di Sirte kerana kegagalan pemerintah baru negara itu membekalkan senjata secukupnya.
Dalam perkembangan terbaru di Sirte, bandar kelahiran Gaddafi dan satu daripada kubu terakhir penyokongnya, lima tentera kerajaan baru Libya terbunuh, semalam.
Tentera yang kembali daripada medan pertempuran berkata, mereka berdepan dengan tentangan sengit di Khamseen, 50 kilometer ke timur Sirte dan gagal bertindak balas kerana kekurangan senjata.

“Pangkalan tentera tidak menyokong kami dengan senjata secukupnya,” kata Alnoufy Al-Ferjany, pemerintah Briged Syuhada Alhawry.


“Kami mengemukakan permohonan tetapi mereka belum memberikan jawapan,” katanya. - AP

270 cacing kerawit dalam perut

SUMATERA: Pakar bedah di daerah Mana di Bengkulu menemui 270 cacing kerawit yang seberat 1.5 kilogram dalam perut seorang kanak-kanak berusia lima tahun ketika membedahnya.
“Kami diberitahu mengenai penemuan cacing kerawit itu selepas doktor dan pasukan perubatan di Hospital Daerah Mana membedah perut anak saya,” kata Sudirman, bapa pesakit berkenaan, Haikal.

Menurutnya, Haikal mengalami sakit perut menyebabkan dia membawa kanak-kanak itu ke hospital Isnin lalu.

Doktor mendapati ada objek aneh dalam perut Haikal dan mengambil keputusan membedahnya.

Sudirman berkata, meskipun bertani, dia dan isterinya tetap memastikan kebersihan makanan dan minuman anak mereka. - AP

Ibu, anak selamat dihempap lori


NGERI...keadaan kereta Peugeot 107 yang remuk selepas dihempap lori  membawa ayam di laluan A64, dekat York, semalam.
NGERI...keadaan kereta Peugeot 107 yang remuk selepas dihempap lori membawa ayam di laluan A64, dekat York, semalam.

LEEDS: Sepasang anak-beranak terselamat daripada maut walaupun kereta mereka terperosok di bawah lori membawa ribuan ayam, semalam.
Dalam kejadian itu, seorang wanita memandu kereta berkenaan bersama ibunya di laluan A64 berhampiran York apabila lori berkenaan terbabas, terbalik dan menghempap mereka.

Jurucakap polis berkata, wanita terbabit berbaring di atas ibunya ketika kereta Peugeot 107 itu dihempap lori.

“Kedua-dua mangsa berbaring serapat mungkin ke lantai kereta bagi mengelak badan lori berkenaan mencederakan mereka.

“Mangsa berbaring begitu sehinggalah penyelamat tiba,” katanya.

Selepas ditarik keluar, mereka dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan hanya mengalami calar dan lebam.


Polis berkata, pemandu lori berkenaan juga tidak mengalami kecederaan. Pegawai polis trafik yang menyiasat kejadian itu, Andy Quigley, berkata dia tidak pernah melihat insiden sebegitu sejak bertugas di jalan raya 16 tahun lalu. - TS

Taufan Roke kini menghala zon tsunami Jepun


Imej Taufan Roke diambil menerusi satelit Aqua NASA dikesan sedang menghala ke zon bencana tsunami di Jepun hari ini, termasuk di kawasan loji nuklear yang pernah bocor akibat gempa bumi dan tsunami, 11 Mac lalu. - Foto REUTERS



2011/09/21

TOKYO: Satu taufan kuat kini dikesan sedang menghala ke zon bencana tsunami di Jepun hari ini, termasuk di kawasan loji nuklear yang pernah bocor akibat gempa bumi dan tsunami, 11 Mac lalu. 

Taufan Roke berkenaan dilaporkan amat kuat dan besar kesannya sehingga pihak berkuasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi pemindahan lebih satu juta penduduk di kawasan terbabit.
Malah, sebelum taufan ini membadai, akhbar Yomiuri melaporkan setakat ini empat orang dilaporkan maut manakala beberapa lagi hilang selepas dihanyutkan arus sungai berikutan hujan lebat.
Ribut petir diramal berlaku di sekitar pesisir pantai barat daya Jepun lewat hari ini sebelum mengkala ke timur laut Tokyo dan ke Wilayah Tohoku di. 

Sementara itu, jurucakap Electric Power Co, Takeo Iwamoto, berkata loji nuklear Fukushima Dai-ichi yang kini kembali beroperasi tidak terdedah kepada ancaman taufan berkenaan. - AP 

Lelaki bertopeng buang 35 mayat




BEBERAPA anggota polis dan pasukan forensik mengelilingi mayat-mayat yang ditemui di sebatang jalan raya di Boca del Rio, Brazil kelmarin.


BOCA DEL RIO, Mexico - Sekumpulan lelaki bertopeng bersenjata menghalang lalu lintas di sebatang jalan raya di bandar ini, pesisir Teluk Mexico semasa mereka membuang 35 mayat mangsa pembunuhan kejam sambil diperhatikan pengguna jalan raya lain, kata pihak berkuasa.
Peguam Negeri Veracruz, Reynaldo Escobar Perez berkata, semua mayat itu termasuk 12 wanita, dihimpun di atas dua buah trak dan bawah jejambat berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini.
Polis mengenal pasti identiti tujuh mangsa pembunuhan itu setakat ini dengan semua mereka memiliki rekod jenayah kerana membunuh, mengedar dadah, menculik dan memeras ugut serta memiliki kaitan dengan kumpulan jenayah terancang, kata Escobar.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama kumpulan penjenayah yang dianggotai mangsa-mangsa terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan beberapa saksi menyatakan, kumpulan lelaki bersenjata memakai seragam seperti tentera.
"Namun, mereka bukan anggota tentera atau polis. Mereka mengacukan senjata api ke arah orang ramai," kata seorang saksi kejadian.
Sejak tahun lalu, dua kumpulan kartel dadah utama Mexico, kartel Gulf dan Zetas saling berbunuhan untuk menguasai pengeluaran dadah di negeri itu. - AP

Ferrari pertama pacuan empat roda




PELUMBA kereta Itali, Giancarlo Fisichela berdiri di tepi kereta Ferrari Four di bilik pameran syarikat tersebut di Bucharest, Romania kelmarin.


BUCHAREST - Model kereta Ferrari pertama yang menggunakan sistem pacuan semua roda diperkenalkan secara rasmi di Romania kelmarin.
Selepas ia dilancarkan kepada umum oleh Duta Itali di Romania, Mario Cospito baru-baru ini, pengedar model Ferrari Four (FF) itu menerima enam tempahan daripada beberapa ahli perniagaan tempatan.
Ferrari FF dijana enjin V12 dengan 660 kuasa kuda (bhp) yang mampu memecut kereta sport itu daripada 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa cuma 3.7 saat.
Dilengkapi sistem brek terkini, ia berhenti dalam jarak cuma 35 meter apabila pemandu menekan brek pada kelajuan 100 km/j.
Harga kereta sport canggih itu bermula daripada 220,000 euro (RM941,531) tanpa sistem injap VAT. - Agensi

Nekad wira Kampung Sepakat



SEORANG penduduk melihat keadaan rumah Noraini yang hangus dalam kebakaran 
di Kampung Sepakat, Masai, Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang juruelektrik wajar dianggap wira apabila tindakan nekadnya merempuh pintu dan meredah api marak dapat menyelamatkan nyawa dua beradik yang terperangkap dalam kebakaran di Kampung Sepakat, Masai semalam.
Abu Bakar Abdul Rahim, 44, bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya sebaik terdengar jeritan jiran mengenai kediaman kanak-kanak tersebut, Nurin Syerlienna Norman, 6, dan Mohd. Daniel Hadi, 4, sedang dijilat api pada pukul 12.10 tengah hari.
Dalam kejadian itu, Nurin Syerlienna dan Mohd. Daniel termasuk Abu Bakar tidak cedera.
Difahamkan, sebelum kejadian Abu Bakar sedang berbual bersama rakannya yang bertandang di rumah dan dia bercadang untuk ke tempat kerja selepas itu.
Mengimbau semula kejadian itu, Abu Bakar berkata, sebaik sampai di depan rumah itu, dia ternampak dua beradik itu dalam keadaan menangis dan duduk ketakutan di ruang tamu kerana terperangkap dalam rumah yang diselubungi bahang api.
ABU BAKAR


Ceritanya, dia kemudian bergegas ke belakang rumah lalu merempuh pintu selepas mendapati pintu pagar depan berkunci.
"Entah dari mana datang semangat, saya terus meredah api yang ketika itu sedang marak di depan rumah. Tanpa berfikir panjang, saya terus mendukung kedua-dua kanak-kanak terbabit untuk diselamatkan melalui pintu belakang," cerita Abu Bakar mengenai detik cemas itu.
Tambahnya, dia langsung tidak memikirkan keselamatan dirinya kerana sebaik ternampak kanak-kanak itu menangis dan seperti mengharap bantuan, hatinya menjadi sayu dan berfikir dua beradik itu mesti diselamatkan.
Menurut Abu Bakar, ini kali pertama dia menyelamatkan orang yang terperangkap dalam kebakaran.
"Mujur saya masih belum pergi ke tempat kerja kerana melayan rakan yang datang ke rumah. Jika tidak, entah apa nasib mereka," kata Abu Bakar lagi.
Sementara itu, ibu dua beradik itu, Noraini Samhari, 31, menjelaskan, ketika kejadian dia berada di pejabat manakala Nurin Syerlienna, Mohd. Daniel serta abang mereka, Mohd. Haikal, 8, dijaga oleh adiknya, Hasanah Samhari, 30.
NURIN SYERLIENNA masih trauma setiap kali mengenangkan dia dan adiknya nyaris rentung dalam kebakaran.


Kerani dan ibu tunggal itu menjelaskan, ketika kejadian adiknya sedang menghantar Mohd. Haikal ke sekolah berhampiran.
"Saya amat bersyukur kerana anak-anak saya selamat walaupun kini kami tinggal sehelai sepinggang. Terima kasih kepada jiran yang menyelamatkan kedua-dua anak saya," katanya yang memberitahu beberapa barang kemas dalam tin yang disimpan di dalam rumah ditemui semula sebaik api dipadamkan.
Kejadian itu turut mengakibatkan sebuah lagi rumah milik Kaserin Mohd. Yunus, 72, yang terletak bersebelahan terbakar. Kaserin dan keluarganya tiada di rumah ketika kejadian.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Pasir Gudang, Mohd. Salleh Mohamed berkata, pihaknya mengerahkan seramai 13 anggota ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 12.23 tengah hari.
Katanya, sebaik sampai, sebuah rumah telah terbakar hampir 70 peratus manakala sebuah lagi hampir 50 peratus terbakar. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Petani China cipta jentera terbang




SU MANSHENG menghidupkan enjin jentera terbangnya di depan rumahnya di Dashu, China semalam.


BEIJING - Seorang petani tempatan, Shu Mansheng mencipta sebuah jentera terbang buatan sendiri di rumahnya di Dashu, pinggir Wuhan, China.
Jentera yang diciptanya itu mempunyai besi di sekelilingnya.
Kos untuk membina jentera itu ialah AS$3,135 (RM9,804) yang merupakan model yang kelima dibuat oleh Mansheng.
Diameter jentera itu ialah 5.5 meter dan dijana dengan lapan enjin motosikal.
Petani itu mencipta jentera tersebut yang boleh bergerak ke udara kira-kira satu meter dari tanah dalam satu ujian penerbangan baru-baru ini. - Reuters

Dua kanak-kanak sepupu ada kuasa magnet



BEBERAPA susu, garpu dan pinggang melekat pada dada dan perut Luka Lukic.


DADA David Petrovic dipenuhi dengan sudu dan garpu di Gornji Milanovac, Belgrade, Serbia.


BELGRADE - Kehebatan dua kanak-kanak telah menarik perhatian orang ramai kerana mereka mempunyai kuasa magnet apabila beberapa sudu dan garpu melekat di badan masing-masing.
David Petrovic, berusia empat tahun dan sepupunya, Luka Lukic, berusia enam tahun menunjukkan keistimewaan mereka dengan melekatkan logam pada badan masing-masing.
Ibu Petrovic, Sanja memberitahu, dia mula mengetahui kelebihan yang dimiliki oleh anaknya itu pada bulan lalu.
"Saya meminta Petrovic mengambil sudu untuk menyuap makanan kepada adiknya. Kemudian dia menjerit sambil memberitahu, ibu ia melekat.
"Saya melihat beberapa sudu dan garpu melekat di badannya," katanya.
Takut dengan keadaan itu, Sanja, 26, yang tinggal di bandar Gornki Milanovac memanggil kakaknya dan mendapati anak saudaranya iaitu Lukic turut mempunyai kelebihan yang sama. - Agensi

Saman kerana kamera dalam tandas



WASHINGTON - Seorang pelancong dari Virginia, William Yockey bertindak menyaman restoran Starbucks sebanyak AS$3 juta (RM9.39 juta) dengan dakwaan syarikat itu meletakkan kamera tersembunyi di dalam tandas.
Kamera tersebut dijumpai oleh anak perempuan Yockey yang berusia lima tahun ketika dia menggunakan tandas di restoran itu.
William menuduh rangkaian kopi global yang beribu pejabat di Seattle itu melakukan pencerobohan privasi, kecuaian, sengaja menimbulkan tekanan emosi dan cuai dalam memberi latihan dan penyeliaan kakitangan.
"Ia amat memalukan, menghina dan berkemungkinan sekarang, video itu terdapat di dalam Internet," katanya kepada stesen televisyen ABC News.
Peguam William, Hank Schlosberg meminta mahkamah Daerah Columbia untuk melakukan perbicaraan yang mengandungi juri, ganti rugi sebanyak AS$1 juta (RM3.13 juta) dan AS$2 juta (RM6.26 juta ) sebagai ganti rugi hukuman kerana melakukan pencerobohan privasi. - AFP

Anak jutawan dituduh mencuri





LONDON - Seorang anak jutawan yang dituduh mencuri barang-barang elektrik berharga £5,000 (RM24,408) dalam rusuhan yang melanda bandar raya ini baru-baru ini tampil di sebuah mahkamah semalam.
Anak jutawan itu, Laura Johnson (gambar) berusia 19 tahun didakwa mencuri barang-barang tersebut yang ditemui dalam sebuah kereta yang dinaikinya.
Dia hadir di mahkamah tersebut untuk mengesahkan nama dan alamatnya kerana kesnya akan berpindah ke Mahkamah Mahkota London.
Wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin.
Kesnya akan dibicarakan semula pada Oktober depan. - Agensi

Jumlah mangsa gempa Himalaya lebih 100 orang



MANGAN, India - Jumlah kematian berikutan gempa bumi sekuat 6.9 magnitud pada Ahad lalu di kawasan Himalaya sudah melebihi 100 orang semalam ketika pasukan kecemasan sukar untuk tiba ke kampung-kampung terpencil.
Gempa bumi itu menyebabkan kemusnahan di Sikkim, Nepal, Tibet dan Bhutan.
Di sebuah lokasi pendaratan helikopter di Mangan, pasukan tentera membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan, selain mengangkut mereka yang cedera dan sejumlah pelancong asing.
Sementara itu, di Nepal, lapan terbunuh dan ratusan kediaman musnah.
Pasukan penyelamat berdepan kesukaran kerana jalan-jalan ditutup akibat tanah runtuh dan hujan lebat.
Sementara itu, seramai 18 mangsa meninggal dunia di Bihar dan Bengal Barat di India. - AFP

Puluhan ribu berhimpun di Tebing Barat




PULUHAN ribu penduduk Palestin berhimpun di Ramallah untuk menyokong kewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.


RAMALLAH - Puluhan ribu penduduk berhimpun di sini, Tebing Barat semalam bagi menyokong usaha Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata seorang jurucakap pasukan keselamatan.
Menurut jurucakap itu, Adnan Damiri, kira-kira 8,000 anggota pasukan keselamatan bertugas untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan dalam suasana aman.
Para penunjuk perasaan itu dilihat memenuhi bahagian Ramallah, Baitulaham, Nablus dan Hebron di bahagian selatan.
Presiden Palestin itu dijadual mengemukakan permohonan kepada PBB untuk menjadi anggota pada Jumaat ini.
Mahmoud juga akan memberikan ucapan pada perhimpunan Agung PBB. - AFP

Taufan landa Jepun



SEBATANG pokok tumbang dan menghempap sebuah teksi di sebatang jalan raya di Tokyo semalam.


TOKYO - Taufan kuat melanda Jepun semalam sekali gus menyebabkan hujan lebat di bandar raya ini selain menyebabkan pengangkutan awam terjejas.
Seramai empat orang mati semasa taufan Roke melanda negara ini.
Taufan itu kini melanda kawasan yang menempatkan loji nuklear Fukushima di timur laut Jepun yang rosak selepas dilanda ombal tsunami pada 11 Mac lalu.
Ia yang merupakan taufan kedua terbesar melanda Jepun pada bulan ini.
Taufan itu bergerak selaju 220 kilometer sejam dan menurunkan hujan lebih 40 sentimeter di bahagian timur dan barat Jepun sejak 24 jam lalu.
Bekalan elektrik untuk lebih 575,500 penduduk yang dibekalkan oleh syarikat Tokyo Electric turut terputus.

SEJUMLAH penumpang duduk di atas lantai selepas perkhidmatan tren dihentikan akibat Taufan Roke di stesen Shibuya, Tokyo semalam.


Taufan itu menyebabkan perkhidmatan kereta api terhenti di sekitar Tokyo mengakibatkan ribuan penumpang terkandas semasa mereka dalam perjalanan pulang ke rumah. Stesen penyiaran NHKmenyatakan kira-kira 450 penerbangan terpaksa dibatalkan.
Perkhidmatan Kereta Api Tengah Jepun menyatakan, beberapa perkhidmatan kereta laju juga digantung.
Syarikat Toyota menyatakan pihaknya merancang untuk menutup sebanyak 11 buah kilang di tengah Jepun dan menghentikan kerja pada waktu malam.
Sebuah lagi syarikat kereta, Nissan menghentikan perkhidmatan di dua buah kilangnya. - Reuters