Pages

Saturday, February 11, 2012

Ikhwan Muslimin gesa tentera serah kuasa


KAHERAH 10 Feb. - Ikhwan Muslimin semalam menggesa pemerintah tentera Mesir menyerahkan kuasa, dalam satu keadaan memperlihatkan konfrontasi yang sekian lama dijangka di antara jeneral pemerintah dan pergerakan Islam yang menguasai Parlimen itu.

Dalam satu kenyataan di laman webnya dan wawancara bersama pemimpin kanannya yang disiarkan di televisyen, pergerakan tersebut mendesak tentera membenarkan Perdana Menteri Kamal al-Ganzouri diganti serta pembentukan Kabinet dengan satu kerajaan campuran oleh Parlimen.

Pembentukan kerajaan campuran itu membolehkan peralihan kuasa dilakukan segera.

Kumpulan Islam yang pernah diharamkan di Mesir itu sebelum ini menyatakan, pihaknya akan menunggu tempoh peralihan kuasa yang dijanjikan tentera pada Jun ini selepas menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu.

Namun, pendirian pergerakan itu berubah selepas kerajaan dikawal tentera berdepan pelbagai kemelut termasuk rusuhan maut semasa satu perlawanan bola sepak minggu lalu diikuti protes ganas oleh penunjuk perasaan selama lima hari.

"Kita mesti mulakan pembentukan kerajaan campuran dengan segera bagi mengendalikan situasi ekonomi dan keadaan negara tanpa undang-undang di Mesir sekarang," kata Timbalan Pemimpin Tertingginya, Khairat el Shater seperti yang dipetik al-Jazeera.

Beliau dalam kenyataan di laman web pergerakan tersebut, turut merujuk kepada keganasan berulang kali yang digunakan pihak tentera terhadap penunjuk perasaan.

"Menggunakan kekerasan dan keganasan ke atas penunjuk perasaan adalah salah sama sekali, ia melambangkan kelemahan dan salah urus oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Sama seperti penunjuk perasaan dan parti liberal Mesir, Ikhwan Muslimin mahu tentera menyerahkan kuasa serta merta.

Bagaimanapun, dalam keadaan demokrasi mula diterima di negara ini, pemimpin parti liberal semalam menyatakan mereka masih enggan membentuk kerajaan campuran dengan parti Islam tersebut sebaliknya hanya mahu bertindak sebagai pembangkang. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Sungai Danube merentasi 10 negara di Eropah membeku



Bot-bot tersadai dalam Sungai Danube di Belgrade yang membeku akibat cuaca buruk yang melanda seluruh Eropah sekarang. – REUTERS


BELGRADE 10 Feb. – Sungai Danube yang sebelum ini menyaksikan kesibukan laluan kapal-kapal kini membeku ketika cuaca sejuk melampau di Eropah berterusan.

Jumlah korban akibat cuaca melampau tersebut meningkat kepada 460 orang.

Sungai Danube sepanjang 2,860 kilometer yang merentasi 10 negara itu menjadi medium utama kepada pengangkutan air, perikanan dan industri pengairan.

Selain itu, pelayaran di beberapa negara seperti Serbia, Croatia, Bulgaria, Romania, Hungary dan Austria terpaksa dibatalkan ekoran sungai yang membeku sekali gus membahayakan kapal-kapal.

Pihak berkuasa Bulgaria yang melarang semua aktiviti pelayaran melaporkan, sebanyak 244 kapal tersadai di pelabuhan manakala pasukan penyelamat Ukraine di Croatia menyelamatkan tiga anak kapal yang terperangkap di dalam salji sejak Jumaat lalu.

Setakat ini, sebanyak 28 kematian dilaporkan di Bulgaria termasuk lapan mati lemas selepas sebuah empangan pecah di perkampungan Biser, tenggara negara itu.

Dalam perkembangan lain, utara Jepun hari ini dilanda salji lebat ketika musim sejuk berterusan di beberapa bahagian negara itu mengakibatkan 83 penduduk terkorban setakat ini.

Jabatan kaji cuaca menjangkakan salji setebal sehingga 60 sentimeter akan melanda beberapa bahagian di utara pulau Hokkaido dan Honshu dalam tempoh 24 jam.

Sejak musim sejuk bermula pada November lalu, seramai 60 penduduk maut ketika mereka membersihkan salji dari jalan dan bumbung rumah.

Sementara itu, 20 lagi maut akibat tertimbus di bawah runtuhan salji. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Hamza hina Rasulullah ditangkap





KUALA LUMPUR - Seorang penulis Arab yang dikehendaki pihak berkuasa Arab Saudi kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW akan dihantar pulang ke negara itu selepas proses dokumentasi terhadapnya selesai.

Mohammad Najeeb A. Kashgari atau lebih dikenali sebagai Hamza Kashgari, 23, ditahan pada pukul 9.40 pagi di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang kelmarin ketika dia mahu meninggalkan Malaysia.

Sebelum ditahan, dia yang merupakan kolumnis akhbar Al-Bilad di Arab Saudi dipercayai telah berada di negara ini sejak dua hingga tiga hari lalu selepas melarikan diri dari negaranya.

"Hamza ditahan polis negara ini atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW pada sambutan Hari Maulidur Rasul baru-baru ini," kata satu sumber di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

'Restoran' untuk burung hering makan bangkai



SEJUMLAH burung hering makan bangkai seekor lembu di restoran haiwan itu.


PITHAULI, Nepal - Di kampung ini, seorang wanita pernah menarik bangkai seekor lembu yang berada di atas sebuah troli dan menjatuhkan haiwan itu di sebuah padang.

Wanita itu kemudian berlari dan bersembunyi di sebuah pondok berdekatan semasa sekawan burung hering turun untuk memakan bangkai lembu tersebut.

Kurang setengah jam, bangkai lembu itu hanya tinggal tulang.

Kawasan padang itu dikenali sebagai restoran untuk burung hering yang dibuka untuk membantu menjadikan alam sekitar bersih.

'Restoran' itu menjadi daya tarikan pelancong dan para pelancong dikenakan bayaran untuk melihat burung tersebut.

Namun, ubat dikenali sebagai diclofenac yang digunakan untuk merawat keradangan lembu, boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian burung hering. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pemandu teksi tunjuk perasaan isu penyanyi Jepun



MAKIYO


TAIPEI - Sekumpulan pemandu teksi Taiwan yang berang mengadakan tunjuk perasaan semalam bagi menuntut permohonan maaf selepas dua warga Jepun termasuk seorang penyanyi wanita dituduh memukul seorang pemandu teksi tempatan dengan teruk.

"Kami menuntut kebenaran, kami menuntut maruah, kami mahu permohonan maaf," laung puluhan penunjuk perasaan yang berhimpun di Kedutaan Jepun di sini semasa mereka menyerahkan surat bantahan kepada seorang perwakilan Jepun.

Ketika ini, terdapat kebimbangan kes tersebut akan membangkitkan sentimen anti-Jepun kerana Taiwan pernah menjadi koloni negara matahari terbit itu.

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi dan aktres Jepun terbabit, Makiyo yang menetap di sini dan teman lelakinya telah disoal siasat kerana didakwa memukul seorang pemandu teksi yang mengarahkan mereka memakai tali pinggang keledar.

Makiyo memberitahu wartawan selepas kejadian pada 2 Februari lalu bahawa dia tidak menyerang pemandu teksi berkenaan manakala temannya itu pula cuba untuk melindunginya selepas pemandu tersebut menyentuh dadanya dalam satu pertengkaran.

Namun, wanita itu dikecam setelah rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dia turut memukul lelaki terbabit dan mengapikan-apikan rakannya supaya memukul si mangsa.

Menurut beberapa doktor yang merawat mangsa, pemandu teksi itu masih dirawat kerana cedera teruk di kepala manakala dua tulang rusuknya turut patah. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Robot seperti dalam filem Avatar dicipta



ROBOT TELESAR V memegang cawan di makmal Profesor Susumu Taichi di Yokohama pada Rabu lalu.


YOKOHAMA - Seorang saintis Jepun hampir menjadikan filem blockbuster Hollywood, Avatar satu realiti apabila dia mencipta sebuah robot yang boleh meniru pergerakan manusia yang mengawalnya.

Pengguna robot TELESAR V memakai peralatan khas yang bukan sahaja membolehkan mengawal aksi robot secara kawalan jauh tetapi mereka juga melihat, mendengar dan merasai sama seperti robot berkenaan.

"Apabila saya memakai alat khas ini dan menggerakkan badan, saya melihat tangan saya seperti menjadi tangan robot dan apabila saya menggerakkan kepala, penglihatan saya turut berbeza daripada sebelumnya," kata penyelidik Sho Kamuro kepada agensi berita AFP.

"Ia satu pengalaman aneh yang membuatkan anda terfikir sama ada anda benar-benar menjadi sebuah robot," katanya kepada agensi berita AFP.

Pakar kejuruteraan dan realiti maya Sekolah Reka Bentuk Media, Universiti Keio, Profesor Susumu Tachi berkata, sistem pengendalian yang dipasang pada topi, baju dan sarung tangan menghantar arahan terperinci kepada robot yang akan meniru setiap gerakan pengguna.

Pada masa yang sama, sejumlah sensor pada robot TELESAR V memancarkan kembali data yang akan ditukar menjadi bentuk yang boleh dirasai dan dilihat oleh pengguna.

Teknologi TELESAR iaitu singkatan untuk TeLexistence Surrogate Anthropomorphic Robot memiliki mata berkamera untuk merakam imej.

Imej yang dirakam, dipaparkan pada skrin halus di hadapan mata pengguna untuk penglihatan tiga dimensi.

Filem Avatar yang ditayangkan pada tahun 2009 dan diarahkan oleh James Cameron, mengisahkan tentang teknologi untuk mengawal tubuh makhluk asing. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Penyanyi batal konsert di Israel



GAMBAR fail menunjukkan Chan Marshall bergambar pada 11 September 2006.


NEW YORK - Penyanyi Chan Marshall yang juga dikenali sebagai Cat Power membatalkan konsertnya di Israel dengan menyertai beberapa artis lain.

Pembatalan itu dilakukan disebabkan konflik Israel dengan Palestin.

Penyanyi itu sebelum ini dijadualkan mengadakan konsert di Tel Aviv esok.

Namun, dia menghantar mesej semalam di Twitter dengan menyatakan tidak dapat membuat persembahan untuk para peminat Israel.

Menurutnya, dia berasa semangatnya terjejas.

Namun, penyanyi terkenal, Madonna akan membuat persembahannya di Israel pada Mei depan.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menyatakan pemerintahan sementara Palestin akan menjejaskan proses damai.

Dia membuat kenyataan itu kelmarin kepada wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, satu perjanjian yang ditandatangani antara pergerakan Hamas dengan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sebelum ini tidak akan menyumbang kepada rundingan damai dengan Israel. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Katil Schwarzenegger bersebelahan Stallone


ARNOLD SCHWARZENEGGER (kiri) dan Sylvester Stallone saling memandang antara satu sama lain semasa mereka dirawat di sebuah hospital di Los Angeles pada Selasa lalu.


LOS ANGELES - Pelakon filem Terminator, Arnold Schwarzenegger baring di atas katil di sebelah pelakon sasa, Sylvester Stallone di sebuah hospital di sini pada Selasa lalu.

Kedua-dua pelakon itu menerima rawatan akibat kecederaan kerana melakonkan aksi lagak ngeri dalam filem lakonan mereka.

Schwarzenegger, 64, menerima rawatan di bahunya sama seperti Stallone yang berusia 65 tahun.

Gambar yang menunjukkan kedua-dua pelakon berbaring disiarkan di laman blog Schwarzenegger.

Menurut Schwarzenegger, mereka mendapatkan rawatan selepas kedua-duanya berlakon dalam filemThe Expendables 2 dan The Last Stand.

Kedua-dua-dua pelakon itu memang terkenal dengan aksi lagak ngeri dalam filem-filem tahun 1980-an. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Friday, February 10, 2012

Pemberontak Syria minta bantuan senjata

WASHINGTON: Pemberontak Syria semalam berkata, mereka memerlukan lebih banyak senjata, bukan tentera asing, bagi melengkapkan puluhan ribu pejuang, termasuk anggota tentera yang berpaling tadah untuk menggulingkan kerajaan Presiden Bashar al-Assad.

Dalam siaran secara langsung dari lokasi yang dirahsiakan di sekitar Damsyik dan disiarkan di Washington, pemerintah yang beroperasi di bawah Tentera Pembebasan Syria (FSA) berkata, Amerika Syarikat sepatutnya melaksanakan dasar yang lebih keras terhadap Bashar dan mencari jalan bagi menghantar senjata, pelancar roket dan senjata berat lain kepada pemberontak.


“Perkara paling penting ialah sokongan bahan logistik. Kami boleh melakukannya sendiri. Kami bukan meminta tentera,” kata seorang pemimpin FSA yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Mohammad kepada kira-kira 50 orang, termasuk wartawan dan pakar Asia Barat di Washington.

“Kami mahukan sokongan tentera. Kami mahukan bekalan. Kami mempunyai jumlah penyokong yang ramai. Kami cuma tidak mempunyai senjata,” katanya.


Selasa lalu, Senator kanan dari Parti Republikan, John McCain berkata, usaha diplomatik hampir berakhir dan sudah tiba masanya untuk menimbang penghuluran bantuan senjata kepada pemberontak.


Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika Syarikat bagaimanapun menolak cadangan itu.

“Kami tidak menimbang langkah itu buat masa ini,” kata jurucakap Presiden Barack Obama, Jay Carney. Mohammad juga berkata, penduduk Homs kini berdepan dengan bencana kemanusiaan yang akan bertambah buruk dalam masa beberapa hari lagi. - AFP

myMetro | Pemberontak Syria minta bantuan senjata:

'via Blog this'

Dakyah liar Israel boleh bawa bencana: Russia

MOSCOW: Dakyah Israel yang semakin menjadi-jadi bahawa Iran semakin hampir untuk menghasilkan senjata nuklear boleh membawa kepada bencana.

“‘Cerita rekaan’ mengenai program nuklear Iran semakin meningkatkan ketegangan dan boleh mendorong kepada tindakan ketenteraan yang akan membawa bencana,” kata Mikhail Ulyanov kepada agensi berita Interfax.


Dakyah liar semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu, sebahagiannya berpunca daripada kenyataan pegawai Israel bahawa rejim Zionis itu akan melancarkan serangan terhadap Iran sedikit masa lagi sebagai usaha untuk melengah atau menghentikan program kontroversi itu.

“Cerita rekaan mengenai hasrat Iran itu mempunyai matlamat politik dan propaganda,” kata Ulyanov, Ketua Jabatan Keselamatan dan Perlucutan Senjata di Kementerian Luar.


Beliau berkata, Russia memilih untuk bersandarkan pada hakikat sebenar, iaitu aktiviti nuklear Iran adalah dibawah pengawasan ketat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). - Agensi

myMetro | Dakyah liar Israel boleh bawa bencana: Russia:

'via Blog this'

Bom dalam pikap: Seorang pesara guru terbunuh, 13 cedera

YALA: Seorang pesara guru terbunuh dan 13 lagi penduduk kampung cedera apabila sebuah trak bom meletup dalam keganasan terbaru di wilayah selatan Thailand, semalam.

Polis menyalahkan pemisah Islam dalam kejadian bom di hadapan pejabat kesihatan awam di Pattani, satu daripada tiga wilayah yang bergolak sejak lapan tahun lalu.

Menurut polis, bom itu disembunyikan dalam trak pikap dan menyebabkan 10 kenderaan lain rosak.

Tiga daripada 13 penduduk yang cedera berada dalam keadaan kritikal.


Dalam satu serangan berasingan di Narathiwat pula, dua anggota tentera cedera apabila sebuah bom di tepi jalan meletup ketika mereka melakukan rondaan rutin.


Keganasan terus berlaku ketika penduduk tempatan beragama Islam berang selepas renjer tentera di Pattani menembak mati empat penduduk kampung yang didakwa anggota pemisah Islam pada 29 Januari lalu. - Reuters myMetro | Bom dalam pikap: Seorang pesara guru terbunuh, 13 cedera:

'via Blog this'

Gadis serigala risau jadi andartu

ANITA (tiga dari kanan) bersama anaknya di rumah mereka di Sangli, Maharashtra.
ANITA (tiga dari kanan) bersama anaknya di rumah mereka di Sangli, Maharashtra.
TIGA gadis malang (dari kiri) Monisha, Savitri dan Savita berharap mereka masih ada harapan untuk hidup bahagia.
TIGA gadis malang (dari kiri) Monisha, Savitri dan Savita berharap mereka masih ada harapan untuk hidup bahagia.

MUMBAI: Tiga wanita adik-beradik bimbang ‘Sindrom Serigala Jadian’ yang dialami bakal menyebabkan mereka sukar mencari suami.

Berdepan masalah penumbuhan bulu tidak terkawal, Savita, 23; Monisha, 18; dan Savitri, 16, mungkin menjadi anak dara tua gara-gara Hypertrichosis Universalis.


Mengikut nisbah, penyakit itu hanya dialami seorang daripada satu bilion penduduk dunia.

Menurut Savita, dalam keadaan begitu, perkahwinan adalah mustahil untuk mereka.


“Siapa yang mahu menjadi suami kepada seseorang yang mukanya dipenuhi bulu?” katanya.


Di kawasan perkampungan kecil di Sangli, wanita bujang tidak mempunyai banyak pilihan.


Hidup dalam serba miskin, keluarga terbabit ternyata tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM21,500 untuk setiap seorang daripada mereka bagi menjalani rawatan laser membuang bulu berkenaan.


Ketika ini, adik-beradik malang itu hanya menggunakan krim membuang bulu untuk mengurangkan sedikit masalah berkenaan.

Bagaimanapun, kata Savita, ia hanya bertahan seketika apabila bulu di muka mereka kembali tumbuh dengan cepat.


“Dulu ketika bersekolah, pelajar di sana selalu mengejek saya dengan pelbagai gelaran dan enggan berkawan dengan kami,” katanya.


Ibu mereka, Anita Sambhaji Raut, 40, berkata dia mempunyai enam anak, tetapi hanya tiga mengalami sindrom berkenaan.


Kata Anita, penyakit itu menurun daripada suaminya yang dikahwini secara paksa ketika dia baru berusia 12 tahun.


“Saya hanya menyedari suami saya itu mempunyai muka dan badan berbulu pada hari kami dikahwinkan.


“Keadaan itu sangat menakutkan saya,” katanya.


Akibat penyakit itu, kata Anita, dia sentiasa berdepan dengan cercaan masyarakat setempat.


“Apabila saya membawa Savita keluar, orang kampung akan memanggil kami binatang atau ahli sihir,” katanya.


Sementara itu, Monisha berkata, dia tetap berharap ada lelaki sudi menjadikannya sebagai isteri.


“Jika ada yang sesuai, saya akan terima, tetapi jika tidak, saya terpaksa terus berusaha menyambung hidup,” katanya. - TS

myMetro | Gadis serigala risau jadi andartu:

'via Blog this'

6 Keburukkan disebabkan tabiat banyak makan

by peribadirasulullah

1- Menghilangkan dari hati rasa takut kepada Allah SWT.

2- Menghilangkan dari hati rasa belas kasihan terhadap sesama makhluk kerana menyangka orang lain juga sentiasa kenyang sepertinya.

3- Memberatkan seseorang untuk menunaikan kewajipan agama yang telah Allah SWT fardhukan.

4- Perut yang sentiasa kenyang hatinya tidak akan menerima sedikit pun kata-kata hikmah.

5- Mereka yang perutnya sentiasa kenyang apabila menyampaikan ilmu, Allah SWT tidak akan membuka hati para pendengarnya.

6- Perut yang sentiasa kenyang adalah lubuk segala penyakit.

Rumusan daripada Kitab Teknik Menewaskan syaitan M/S : 57.

http://montada.rasoulallah.net/index.php?showtopic=29068

Dosa yang lebih besar dari berzina


Pada suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayung. Pakaianya yang serba hitam menandakan bahwa ia berada dalam dukacita yang mencekam.

Kerudungnya menutup hampir seluruh wajahnya tanpa hias muka atau perhiasan menempel di tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan roman mukanya yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang telah meroyak hidupnya.


Ia melangkah terseret-seret mendekati kediaman Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil memberi salam.

Maka terdengarlah ucapan dari dalam,
"Silakan masuk"

Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus merunduk. Air matanya
berderai tatkala ia berkata,
"Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya."

"Apakah dosamu wahai wanita ayu?" tanya Nabi Musa a.s. terkejut.

"Saya takut mengatakannya."jawab wanita cantik..

"Katakanlah jangan ragu-ragu!" desak Nabi Musa.

Maka perempuan itupun terpatah bercerita, "Saya... telah berzina".

Kepala Nabi Musa terangkat,hatinya tersentak.

Perempuan itu meneruskan,
"Dari perzinaan itu saya pun... hamil. Setelah anak itu lahir,langsung saya... cekik lehernya sampai... mati," ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya.

Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik,
"Perempuan bejad, pergi kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!"...teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.

Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu hancur luluh segera bangkit dan melangkah surut. Dia terantuk-antuk keluar dari dalam rumah Nabi Musa..

Ratap tangisnya amat memilukan. Ia tak tahu harus kemana lagi hendak mengadu.. Bahkan ia tak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya.

Ia tidak tahu bahwa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa. Sang Ruhul Amin Jibril lalu bertanya,
"Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?"

Nabi Musa terperanjat.
"Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?"
Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril.
"Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?"

"! Ada!" jawab Jibril dengan tegas.

"Dosa apakah itu?" tanya Nabi Musa.

"Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina".

Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusuk untuk memohonkan ampunan kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahwa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Bererti ia seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan
tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.

Sedang orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahwa Allah itu ada, di jalan ketaatan kepada-Nya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.


Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita pezina dan dua hadis Nabi, mudah-mudahan menjadi pelajaran bagi kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah.

Hakim keluar waran tangkap terhadap bekas Presiden Maldives




2012/02/10

MALE: Hakim mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden Maldives, Mohamed Nasheed yang sebelum ini mendakwa beliau dipaksa meletakkan jawatan dalam satu rampasan kuasa, Selasa lalu.

Polis berkata pihaknya akan melaksanakan perintah waran terhadap Nasheed pada bila-bila masa.

“Kami boleh menahannya apabila kami memikirkan ia perlu. Kami perlu berhati-hati terutama bila dan bagaimana ia dilaksanakan nanti," katanya jurucakap polis, Abdul Mannan Yusuf.
Nasheed yang kini masih bersama anggota keluarganya tinggal di ibu negara Male dikatakan sedang merayu bantuan asing berikutan kehilangan jawatannya itu. - AFP
Berita Harian Online | Hakim keluar waran tangkap terhadap bekas Presiden Maldives:

'via Blog this'

2 terbunuh tunjuk perasaan anti pilihan raya selatan Yaman




2012/02/10

ADEN (YAMAN): Pasukan keselamatan menembak mati dua aktivis dari selatan Yaman ketika tunjuk perasaan diadakan hari ini di bandar Daleh susulan penentangan rancangan pilihan raya presiden negara itu yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

“Negeri selatan bangkit, tidak mahu lagi pilihan raya” kata penunjuk perasaan yang merujuk kepada pungutan suara pilihan raya yang mana Naib Presiden Abdrabuh Mansur Hadi adalah calon tunggal. - AFP
Berita Harian Online | 2 terbunuh tunjuk perasaan anti pilihan raya selatan Yaman:

'via Blog this'

80 maut pertempuran di Syria




2012/02/10

BEIRUT: Lebih 80 terkorban dalam keganasan di Syria hari ini, di mana sebahagian besarnya terbunuh dalam serangan yang dilancarkan pihak berkuasa rejim negara itu di tengah-tengah bandar raya Homs.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, berkata daripada 83 terbunuh di seluruh negara di mana 63 terkorban ketika sedang berlindung dan bakinya di wilayah Homs.

Seramai 53 mangsa terkorban di bandar Homs, yang mana dibom tanpa henti tentera rejim berkenaan sejak enam hari lalu. - AFP
Berita Harian Online | 80 maut pertempuran di Syria:

'via Blog this'

Gempa bumi bermagnitud 6.2 gegar Fiji




2012/02/10

KUALA LUMPUR: Gempa bumi bermagnitud 6.2 pada skala Richter menggegarkan wilayah kepulauan Fiji pada 9.48 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini, gegaran berpusat 22 kilometer (km) dari utara Laucala, Fiji dan 7,028 km dari tenggara Semporna, Sabah.

Kejadian itu tidak mencetuskan ancaman tsunami. - BERNAMA
Berita Harian Online | Gempa bumi bermagnitud 6.2 gegar Fiji:

'via Blog this'

Gunung berapi Lokon Sulawesi meletus




2012/02/10

JAKARTA: Gunung berapi Lokon di Sulawesi Utara, meletus pada jam 8.20 pagi tadi, menurut laporan Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia.

Letusan itu diikuti bunyi gemuruh dengan abu letusan berwarna kelabu tebal serta kepulan asap yang menjulang 2,000 meter dari Kawah Tompaluan kelihatan tertiup angin ke arah Tenggara.

Masyarakat sekitar dinasihatkan tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam kawasan radius 2.5 km dari Kawah Tompaluan.
Mereka juga diminta terus berwaspada dan sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan jika aktiviti Gunung Lokon, terus meningkat.

Gunung Lokon, setinggi 1,580 meter itu terletak dekat bandar Tomohon, kira-kira 20 km ke barat daya bandar Manado, iaitu ibu negeri Sulawesi Utara. - BERNAMA
Berita Harian Online | Gunung berapi Lokon Sulawesi meletus:

'via Blog this'

Gambar protes di Yaman menang anugerah berprestij dunia




2012/02/10

Foto Samuel Aranda yang menjuarai anugerah World Press Photo 2011.
Foto Samuel Aranda yang menjuarai anugerah World Press Photo 2011.
AMSTERDAM: Jurugambar Sepanyol, Samuel Aranda dinobat sebagai pemenang anugerah World Press Photo 2011 untuk New York Times menerusi gambar yang dirakam mengenai seorang wanita berpurdah memaut seorang ahli keluarga yang cedera ketika demonstrasi di Yaman.

Juri anugerah berprestif dunia dunia hari ini memilih gambar berkenaan yang menunjukkan kesan pergolakan akibat 'kebangkitan dunia Arab" yang melanda Asia Barat, tahun lalu.

Gambar itu dirakamkan di sebuah tempat rawatan yang dijadikan hospital di dalam sebuah masjid di Sanaa pada 15 Oktober tahun lalu.
Kejadian tsunami yang melanda Jepun juga antara tema gambar yang bertanding dengan The Associated Press (AP) muncul pemenang untuk tiga anugerah.

Untuk pertandingan itu, semua 57 jurugambar dari 24 negara terpilih ke peringkat akhir daripada penyertaan lebih 100,000 gambar membabitkan lebih 5,000 jurugambar di seluruh dunia.

Aranada akan menerima wang tunai 10,000 Euro atau AS$13,300 dalam satu majlis khas yang akan diadakan selepas ini. - AP Berita Harian Online | Gambar protes di Yaman menang anugerah berprestij dunia:

'via Blog this'

Gempa bumi 5.8 pada skala Richter landa Irian Jaya




2012/02/10

KUALA LUMPUR: Gempa bumi dengan magnitud 5.8 pada skala Richter melanda Wilayah Irian Jaya di Indonesia pada jam 1.34 tengah hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa bumi itu berpusat di 173 kilometer timur laut Sorong di Indonesia dan 1,669 kilometer tenggara Semporna, Sabah.

Gambar protes di Yaman menang anugerah berprestij dunia





2012/02/10

Foto Samuel Aranda yang menjuarai anugerah World Press Photo 2011.
Foto Samuel Aranda yang menjuarai anugerah World Press Photo 2011.
AMSTERDAM: Jurugambar Sepanyol, Samuel Aranda dinobat sebagai pemenang anugerah World Press Photo 2011 untuk New York Times menerusi gambar yang dirakam mengenai seorang wanita berpurdah memaut seorang ahli keluarga yang cedera ketika demonstrasi di Yaman.

Juri anugerah berprestif dunia dunia hari ini memilih gambar berkenaan yang menunjukkan kesan pergolakan akibat 'kebangkitan dunia Arab" yang melanda Asia Barat, tahun lalu.

Gambar itu dirakamkan di sebuah tempat rawatan yang dijadikan hospital di dalam sebuah masjid di Sanaa pada 15 Oktober tahun lalu.
Kejadian tsunami yang melanda Jepun juga antara tema gambar yang bertanding dengan The Associated Press (AP) muncul pemenang untuk tiga anugerah.

Untuk pertandingan itu, semua 57 jurugambar dari 24 negara terpilih ke peringkat akhir daripada penyertaan lebih 100,000 gambar membabitkan lebih 5,000 jurugambar di seluruh dunia.

Aranada akan menerima wang tunai 10,000 Euro atau AS$13,300 dalam satu majlis khas yang akan diadakan selepas ini. - AP Berita Harian Online | Gambar protes di Yaman menang anugerah berprestij dunia:

'via Blog this'