Pages

Sunday, January 22, 2012

Penoreh temui spesies ikan unik



NORADILA MAHAMAD
January 22, 2012
ikan tilan
KUALA BERANG – Penduduk Kampung Machang di sini gempar apa bila bubu ditahan seorang penoreh getah di Sungai Machang minggu lalu, dimasuki seekor ikan daripada spesies yang tidak dikenali.

Sejak itu, rumah Wahab Awang Ahmad, 53, tidak putus-putus dikunjungi mereka yang mahu melihat ikan itu yang kini dipelihara di dalam akuarium di rumahnya.

Menurut Wahab, badan ikan berkenaan seperti tiga jenis ikan berlainan.

“Jika diamati, kepala ikan ini menyerupai ikan haruan, separuh badannya pula seperti belut berwarna kekuningan di bahagian perutnya, manakala separuh badan lagi hingga ke hujung ekornya seperti ikan keli,” katanya.

Sekali imbas, ikan itu hampir menyerupai spesies ikan tilan namun kata Wahab, yang membezakannya ialah kepala atau mulut ikan itu tidak pula berbentuk tirus atau runcing seperti ikan tilan ataupun belut.

“Manakala di bahagian badannya juga tidak terdapat duri atau sengat,” katanya.

Wahab berkata, sejak ditemui sehingga sekarang, badan ikan itu kelihatan makin berisi.

“Itulah yang peliknya. Saya sudah beri macam-macam jenis makanan ikan untuk ia makan tetapi langsung tidak berkurangan. Udang dan anak ikan yang saya beri langsung tidak dimakan,” katanya.

Wahab berkata, dia sendiri masih tidak tahu apa yang dimakan ikan spesies luar biasa itu yang menyebabkannya kelihatan semakin gemuk.

Namun katanya, bagi dirinya sendiri dan keluarga, tiada pula berlaku apa-apa kejadian yang ganjil melibatkan mereka sejak dia bawa ikan yang panjangnya 90 sentimeter itu pulang ke rumah.

Menceritakan penemuan ikan pelik tersebut, kata Wahab, dia bersama anaknya, Zawawi, 26 turun ke Sungai Machang untuk mengambil bubu yang diletakkan sehari sebelumnya, kira-kira jam 8.30 pagi seminggu lalu.

Ketika mengangkat bubu berkenaan, dia mendapati salah seekor ikan yang ada di dalamnya itu kelihatan pelik.

“Pada mulanya kami ingatkan belut, tetapi apabila diperhatikan secara dekat bersama anak saya ini, rupa-rupanya bukan belut tetapi tidak dapat dikenal pasti.
“Kami kemudian memutuskan untuk membawanya pulang bersama ikan keli, puyu, sepat yang turut berada dalam bubu,” katanya.

Kata Wahab, sepanjang hayatnya, dia tidak pernah melihat ikan seperti itu dan begitu juga dengan penduduk sekitar.

"Bisikan panggil adik keluar"



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
berubat
KASAR – Seorang kakak sanggup mengorbankan masa dan kudratnya, untuk menjaga adiknya yang sakit di Kampung Lorong Rogayah Lama, sejak lima bulan lalu.

Kakak, Hasmah Nuh, 54, berkata, adiknya, Rohani Nuh, 53, sering keluar rumah kerana dikatakan dipanggil oleh suara yang berbisik.

Menurutnya, apabila ditanya, Rohani tidak dapat menggambarkan bisikan yang menyuruhnya membuat semua perkara tersebut.

“Ia berlaku terutama sejurus selepas waktu mandi dan dia akan berlari keluar rumah, tanpa seurat benang.

“Kami mencuba pelbagai cara bagi mengubatinya dan berharap kunjungan kami di Pusat Rawatan Darussyifa’ di Madrasah Taman Mekasar, akan membuahkan hasil,” katanya, semalam.

Sementara itu, pengerusi Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya berkata, berdasarkan kes yang berlaku kepada Rohani, bisikan yang didengar merupakan salah satu penyakit yang banyak berlaku kepada pesakitnya di sini.

“Antara penyakit yang sering dilaporkan adalah, sikap membenci antara suami isteri, tertahan nafsu seks, berkudis seluruh badan, tidak ditemukan jodoh dan banyak lagi.

“Bukan hanya penyakit gangguan halus, malah kita turut menawarkan rawatan penyakit fizikal seperti barah, kencing manis, darah tinggi dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, Darussyifa’ yang terletak berdekatan Masjid Mekasar, baru sahaja dirasmikan hari ini (semalam) dan ia mencakupi pusat rawatan ke enam di seluruh Kelantan.

Selain daripada itu katanya, pusat pentadbiran Darussyifa’ juga boleh didapati di Masjid Lundang, Pusat Islam Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Bachok, Besut dan Kuala Krai.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuka satu lagi pusat rawatan Darussyifa’ baru, bertempat di Machang, tidak lama lagi.

Menurutnya, berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh bomoh dan pawang, rawatan Darussyifa’ menggunakan ayat-ayat al-Quran, solat hajat, bacaan Yasin dan zikir.

Justeru itu, konsep menghalau jin dan syaitan sepertimana yang dilakukan pihak lain, tidak digunakan di Pusat Rawatan Darussyifa’.

“Doa merupakan satu pendekatan paling mujarab, maka semua yang mempunyai masalah, jangan sekali-kali lupa untuk solat dan memohon petunjuk daripada yang maha esa,” katanya.

Cuaca sejuk berlebihan buka lubang ozon



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
BERLIN - Lubang ozon pertama yang terbuka di atas udara Kutub Utara menjadi semakin teruk berikutan musim sejuk luar biasa sejak akhir-akhir ini.
Menurut saintis, suhu terlampau sejuk pada lapisan ozon menyebabkan bahan pemusnah ozon seperti klorofluorokarbon (CFC) berkembang dengan mudah.
 
Saintis dari Institut Meteorologi dan Iklim KIT memberitahu, kemungkinan besar akan wujud satu lagi lubang ozon di udara Artik dan tahun lalu, satu degradasi ozon berjaya dikesan di udara Artik buat kali pertama yang lebih kurang sama dengan lubang ozon di Kutub Selatan.
 
Pada satu tahap kira-kira 21 kilometer (km) di atas tanah, 80 peratus ozon telah pun hilang, dan berpotensi mendedahkan penduduk bumi menerima sinaran ultralembayung-B berbahaya daripada matahari yang menyebabkan selaran matahari dan barah kulit.
 
Menurut kajian, kajdian lubang ozon Artik terutamanya disebabkan suhu luar biasa sejuk dalam lapisan ozon yang terletak kira-kira 18km ketinggian dalam stratosfera, iaitu pelapis kedua atmosfera bumi, adanya sebatian klorin berasal dari klorofluorokarbon dan bahan pencemar lain ditukar secara kimia pada suhu di bawah 78 darjah Selcius.
 
Bahan-bahan kimia ini mampu menyerang lapisan ozon dan memusnahkannya dan jika corak suhu lebih sejuk dalam stratosfera berulang dalam sedekad, kemungkinan adanya pertambahan lubang ozon di Artik.

Perintah berkurung untuk bandar Kano



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
Abuja
ABUJA - Bandar Kano, Nigeria kini di bawah arahan perintah berkurung selepas berlaku beberapa serangan melibatkan letupan bom dan tembak-menembak di beberapa kawasan sasaran termasuk pejabat imigresen dan balai polis.
Menurut saksi, selepas kejadian Jumaat lalu, sekurang-kurannya tujuh mayat bergelimpangan termasuk lima mayat pegawai imigresen.
 
Kumpulan radikal Boko Haram turut mendakwa bertanggungjawab dalam serangan itu, menurut agensi berita Associated Press.
 
Seorang penduduk berhampiran pejabat imigresen memberitahu, berlaku aksi tembak-menembak antara kakitangan imigresen dan polis dengan penyerang-penyerang yang juga melibatkan berlakunya beberapa letupan bom.
 
Dipercayai, lokasi sasaran adalah pejabat pasport di perkhidmatan imigresen dalam kawasan Marhaba.
 
31 Disember lalu, Presiden Goodluck Jonathan mengumumkan darurat terhadap empat kawasan di negara itu, selepas berlakunya serangan demi serangan yang mempersalahkan kumpulan Boko Haram.

Parti diketuai Ikhwan Muslimin menang besar PRU Mesir



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
Kerusi Mesir
KAHERAH - Ikhwan Muslimin Mesir, pertubuhan politik paling tersusun di negara itu, memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum bebas pertama, sekali gus memberikannya peranan besar dan kedudukan kukuh untuk merangk perlembagaan baru.

Parti Salafist Nour berada di tempat kedua.

Ikhwan Muslimin yang diharamkan ketika kepimpinan bekas Presiden Hosni Mubarak muncul pemenang dalam pilihan raya umum Parlimen. Ia memperoleh dua pertiga kerusi sebagaimana diramalkan sebelum ini.

Parti Kebebasan dan Keadilan diterajui Ikhwan Muslimin memberi jaminan kepada kesemua rakyat Mesir bahawa setiap orang akan ada suara di Parlimen.

Di bawah sistem pilihan raya yang kompleks, dua pertiga atau 332 kerusi di dewan rendah ditentukan menerusi perwakilan berkadar, berdasarkan parti-parti bertanding. Baki satu pertiga ditandingi orang perseorangan.

Berdasarkan keputusan akhir diumumkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya semalam.

Rakyat Mesir telah membuang undi dalam tiga peringkat sepanjang enam minggu lalu untuk memilih 498 wakil rakyat.

Seramai 10 lagi akan dilantik oleh pihak tentera yang memerintah.

Kembar terpisah 67 tahun


KAMARUL HALIM M KAMAL
January 22, 2012
Kembar

BATU PAHAT – Siapa sangka, dalam keadaan berputus asa setelah usaha mencari kembarnya di negara asing selama berpuluh tahun, bukan setakat gagal malah langsung tiada petunjuk, ketika itulah doa Walitah Sawiyan, 70, dimakbulkan.

”Saya sudah bertekad, jika tak jumpa juga dengan kembar saya, Walitih, inilah kali terakhir saya mencarinya. Saya akan pulang ke Indonesia dan terus tinggal di sana. Kiranya saya sudah putus asa,” kata Walitah.
Namun takdir menentukan pada 4 Januari lalu ketika menunggu feri di Jeti Kukup, Pontian untuk pulang ke Tembilahan, Sumatera dalam perjalanan yang disangkanya adalah yang terakhir untuk mencari kembarnya itu, dia tiba-tiba ditegur oleh seorang wanita yang tidak dikenali.
”Orang itu tegur saya kerana menyangka saya jirannya di Batu Pahat,” katanya.
Lalu Walitah mengajak wanita yang menegurnya itu untuk membawa dia bertemu dengan jirannya yang dikatakan wajah saling tak tumpah itu.
”Hati saya melonjak-lonjak mahu dibawa bertemu dengan jirannya. Tiba di sana, memang benarlah. Dialah Walitih yang saya cari-cari selama ini, malah saya pun sudah hampir berputus asa untuk mencarinya lagi,” kata Walitah sambil mengesat air mata.
Terharu sungguh dia dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkanya itu.
Walitih yang turut serta dalam pertemuan dengan Sinar Harian, bagaimanapun memilih untuk tidak berkata apa-apa.
Dia lebih selesa melayan perasaan dengan caranya yang tersendiri setelah dipertemukan dengan kembar yang dirinduinya selama 67 tahun itu.
Apa pun, setelah bertemu Walitih, pencarian Walitah sebenarnya masih juga belum berakhir. Mereka kini sedang mencari seorang lagi adik, Tiwan yang berusia 10 tahun ketika hilang sebaik Perang Dunia Kedua meletus.
Menceritakan detik perpisahan mereka, Walitah berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat yang kemudian membawanya ke Sumatera untuk menyelamatkan diri daripada serangan tentera Jepun ke atas Malaya.
”Walitih pula diserahkan kepada keluarga angkat yang lain. Dia terus tinggal di kampung halaman kami, Kampung Parit Jorak Senawi, Batu Pahat,” katanya.
Meskipun berjauhan, kata Walitah, sejak itu dia tidak pernah melupakan adik beradiknya, yang kesemuanya lima orang.
”Dua daripada saudara saya, lelaki. Kedua-duanya hilang pada zaman perang. Seorang lagi perempuan, sudah meninggal,” katanya.
Bermula awal 2010, Walitah berkali-kali datang mencari kembarnya di sekitar Bukit Naning dan Batu Pahat.
”Saya bukan saja gagal temui dia, malah langsung tidak ada petunjuk,”katanya.
Rupa-rupanya, usaha Walitah itu disukarkan oleh satu sebab, Walitih kini bukan lagi dikenali sebagai Walitih.
”Dia sudah punya nama baru, Patimah Ijap. Sebab itu saya tak jumpa dia,” kata Walitah dengan sedikit senyuman terukir di bibirnya.
Kerana itulah juga, kata Walitah, jika Walitih tidak juga ditemui, dia akan hentikan terus pencarian itu.
Kini, setelah bertemu dengan kembar yang dicari-carinya, Walitah sebaliknya sudah tidak mahu kembali ke Indonesia lagi.
”Di sini kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya. Saya mahu tinggal terus di sini bersama kembar saya sampai akhir hayat,” katanya.
Sehubungan itu, kata Walitah, dia berharap ada pihak dapat membantu memakbulkan satu lagi hajatnya iaitu menjadi warga Malaysia.
”Kami tidak sanggup untuk berpisah lagi. Biarlah sisa usia yang ada kami isi bersama setelah 67 tahun kami terpisah,” katanya dengan nada dan wajah yang sangat terharu.
Bersuara bagi pihak ibunya, anak Walitih, Saniyah Sahidan, 43, berkata, dia dapat merasai kegembiraan dan kelegaan hati ibunya setelah dipertemukan semula dengan kembar yang dirinduinya sejak sekian lama.
”Saya tak sanggup melihat dia sedih semula. Kerana itu, saya harap ada pihak sudi membantu ibu saudara saya ini kembali semula menetap di tanah air yang telah ditinggalkannya sekian lama. Ini negaranya, dia lahir di sini dan ibu bapa mereka juga orang sini. Cuma kepayahan hidup pada zaman perang yang membawa dia ke sana sedangkan itu bukan negaranya,” katanya.
Kembar terpisah 67 tahun - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ada pihak guna Facebook untuk menipu



LONDON 21 Jan. - Seorang wanita dari timur laut England, mendedahkan kegiatan penipuan oleh pihak tertentu yang menggunakan Facebook untuk meminta derma daripada orang ramai dengan mendedahkan tentang penderitaan anaknya.
Menurut Julie Chambers, 37, pihak tersebut telah menyiarkan beberapa gambarnya serta anak perempuannya, Zoe yang telah meninggal dunia ketika berusia dua tahun dan menipu orang ramai dengan memuatkan maklumat yang tidak benar di laman Facebook.
Daily Mail melaporkan, laman tersebut dipercayai mengutip derma kononnya untuk membantu Zoe yang dilahirkan dengan injap jantung yang kecil menjalani pemindahan jantung, sedangkan Zoe telah meninggal dunia pada 2008 selepas menjalani satu pembedahan jantung.
"Memang sukar bagi saya menghadapi hakikat itu jika anak saya masih hidup, tetapi dia tidak lagi bersama kami.
"Zoe sudah meninggal dunia dan seseorang telah menggunakan gambarnya untuk menipu orang ramai dengan meminta derma," kata ibu muda itu. - AGENSI

Lelaki tinggi kurang risiko jantung



NEW YORK 21 Jan. - Lelaki tinggi sebelum ini lebih mudah mencari jodoh dan lebih berjaya, namun satu kajian yang disiarkan di America Journal of Cardiology mendedahkan, lelaki tinggi juga kurang berisiko menghidapi masalah jantung.
Menurut satu kajian oleh penyelidik Universiti Harvard, lelaki yang mempunyai ketinggian lebih 1.8 meter adalah 24 peratus kurang berisiko menghidapi masalah jantung berbanding lelaki pendek.
Kajian itu dilakukan terhadap 22,000 doktor lelaki dalam lingkungan usia pertengahan 50-an dan kesihatan responden dipantau dalam tempoh 22 tahun.
Responden terlibat diminta mengisi borang soal selidik mengenai ketinggian, berat badan dan kesihatan am serta perlu mengemaskini maklumat itu setiap tahun.
Kajian tersebut mendapati, seramai 1,444 atau tujuh peratus daripada responden menghidapi masalah jantung.
Bagaimanapun, lelaki yang mempunyai ketinggian 1.8 meter atau lebih, didapati 24 peratus kurang cederung menghidapi masalah jantung berbanding lelaki yang mempunyai ketinggian 1.72 meter atau kurang daripadanya.
Keputusan itu diperoleh selepas mengambil kira beberapa kriteria lain seperti umur, berat badan dan tekanan darah tinggi.
Kumpulan penyelidik itu berpendapat, antara punca risiko sakit jantung di kalangan lelaki pendek disebabkan oleh penyakit zaman kanak-kanak yang membantutkan pertumbuhan mereka.
Oleh itu, ia boleh membawa kepada pengumpulan plak di arteri dan menyebabkan tekanan darah tinggi ketika dewasa.
Penyelidik itu turut berpendapat bahawa biologi lelaki yang lebih tinggi juga menyebabkan mereka kurang menghidapi masalah jantung. - AGENSI

AS bertegas tidak akan jual senjata kepada Vietnam



22/01/2012 2:20am

BANGKOK 22 Jan. - Amerika Syarikat (AS) bertegas untuk tidak menjual senjata kepada Vietnam selagi negara itu tidak mengubah dasar hak asasi manusia yang dianggap ‘mengundur ke belakang’, kata beberapa senator AS termasuk John McCain semalam.
Susulan lawatan ke beberapa negara komunis Asia Tenggara, Mc Cain berkata, Hanoi mempunyai senarai panjang untuk membeli senjata dari negara itu.
“Sehingga kini tidak kelihatan sebarang peningkatan berhubung isu hak asasi manusia di sana, malah kelihatan mereka seperti mengambil langkah undur ke belakang,” katanya yang merupakan bekas tahanan perang Vietnam. - AFP

Kamal Ashnawi terkaya di dunia, miliki RM20 trilion?



Kamal Ashnawi


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Walaupun tidak tersenarai sebagai orang terkaya di dunia, anak kelahiran Perak, Kamal Ashnawi (KA) mendakwa beliau kini mempunyai wang simpanan melebihi 5 trilion Euro (RM20 trilion).
Dakwaan kekayaannya itu ditunjukkan dengan mengemukakan kepada pemberita salinan penyata bank HSBC di London yang seharusnya membolehkan beliau menjadi individu pertama di dunia bergelar ‘trillionaire’.
Kamal adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sierra Petroleum (M) Sdn. Bhd. yang pernah mencadangkan projek kilang penapis minyak mentah di Kedah pada 2005.
Menurut majalah Forbes, Carlos Slim dari Mexico merupakan manusia terkaya di dunia tahun lepas dengan anggaran kekayaannya mencecah RM224.7 bilion dan Pengasas Microsoft, Bill Gates menduduki tempat kedua dengan kekayaan berjumlah RM170 bilion.
“Saya terpanggil untuk tampil bagi menolak segala tuduhan buruk yang dilemparkan sebelum ini ekoran cadangan projek pada 2005 yang tidak berjaya dilaksanakan kerana dihalang oleh pihak-pihak tertentu.
“Ini adalah tawaran terakhir saya bagi membantu orang Melayu dan syarikat-syarikat dengan melaburkan dana dalam tiga projek cadangan di Perlis, Johor dan Kelantan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini semalam.
Katanya, tiga projek yang bernilai trilion ringgit tersebut ialah projek pelancongan komersial di Kuala Perlis, taman tema berkonsepkan Pirates of The Carribean di Danga Bay, Johor Baharu, dan projek penempatan komersial di Kelantan.
Kamal berkata, segala urusan berkaitan tiga projek tersebut akan diserahkan kepada SAS Group iaitu sekumpulan pelajar alumni Sekolah Alam Shah yang merupakan bekas sekolah beliau sendiri.
Sejak projek penapisan kilang minyak di Kedah itu tergendala, katanya, dia lebih banyak menghabiskan masa di luar negara bagi menguruskan perniagaan.
Menurutnya, beliau akan bermastautin di Hong Kong mulai Mac ini bersama keluarganya sebelum ke Indonesia beberapa tahun kemudian.
Kamal memberitahu, kekayaan yang diperoleh berasal daripada warisan diraja menerusi akaun bagi Combined International Collateral of the Global Debt Facility yang dibuat keluarga diraja dunia pada 1875.
Dakwanya, beliau juga adalah keturunan diraja dari Jawa, Indonesia dengan namanya Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asmoro Wijoyo dan dijangka ditabal menjadi Maharaja Indonesia dalam beberapa tahun lagi.

Lebuh raya mula sesak




SESAK Beginilah keadaan trafik di lebuh raya PLUS berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh (Arah Utara) semalam.


KUALA LUMPUR - Trafik menghala keluar ibu negara bergerak perlahan sejak lewat petang kelmarin dan semalam berikutan warga kota mula meninggalkan kediaman masing- masing untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut mulai esok.
Jurucakap PLUSLine ketika dihubungi berkata, berlaku peningkatan trafik di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke arah utara dan selatan.
Beliau berkata, antara laluan yang dilapor bergerak perlahan adalah dari Nilai ke Seremban, Kota Damansara ke Bukit Lanjan, Sungai Buloh ke Bukit Tagar dan Hentian Rehat dan Rawat Tanjung Malim ke arah utara.
PLUSLine menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan bijak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan pada musim perayaan ini.
Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 1800-88-0000 atau melayari Twitter PLUS di www.twitter.com/plustrafik.

Lelaki tidak sedar paku dalam kepala



PAKAR bedah, Leslie Schaffer (kiri) 
tersenyum semasa pesakitnya, Dante 
Autullo bercerita tentang kecederaan 
yang dialaminya dalam satu sidang 
media di sebuah hospital
di Illinois kelmarin.


GAMBAR pemeriksaan sinar-X 
menunjukkan sebatang paku tertusuk 
di dalam otak Dante Autullo.


ORLAND PARK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki pada mulanya menyangka sebatang paku yang keluar daripada penembak paku yang dia guna- kan untuk bertukang, sipi melepasi kepalanya.
Namun, paku tersebut sebenarnya tertusuk ke dalam kepala lelaki berkenaan, Dante Autullo yang menetap di sini, negeri Illinois.
Beberapa anggota keluarganya memberitahu, paku sepanjang 8.8 sentimeter itu terbenam di otak Autullo lebih sehari sebelum ia dikeluarkan Khamis lalu.
Lelaki berusia 32 tahun itu sedang bertukang di kediamannya Selasa lepas apabila dia tertembak paku tersebut.
Dia melihat terdapat kesan luka kecil di kepalanya tetapi tidak menyangka bahawa dia tertusuk paku.
Dia hanya pergi ke hospital lewat keesokan harinya selepas mengalami mual dan sakit kepala.
Autullo terkejut selepas pemeriksaan imbasan sinar-X mendapati terdapat sebatang paku yang menembusi otaknya.
Dia kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan selama empat jam bagi mengeluarkan paku tersebut.
- AP

Bayi sebesar tapak tangan keluar hospital dibenarkan pulang



HAYDEE IBARRA (kiri) bersama anak
perempuannya, Melinda Star Guido sebelum mereka meninggalkan Pusat Rawatan Daerah Los Angeles-USC di Los Angeles kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bayi antara terkecil di dunia dibenarkan keluar dari sebuah hospital yang menjadi tempat tinggalnya selama hampir lima bulan.
Memakai topi merah jambu dan dibaluti selimut yang juga berwarna merah jambu, Melinda Star Guido menjadi tumpuan lensa kamera televisyen dan jurugambar akhbar di luar Pusat Rawatan USC di sini kelmarin.
"Saya gembira kerana anak saya sihat," kata ibunya yang berusia 22 tahun, Haydee Ibarra.
"Saya juga gembira kerana akhirnya saya dapat membawanya pulang," tambah Ibarra.
Melinda dilahirkan pada 30 Ogos tahun lalu dengan berat cuma 269 gram atau lebih ringan daripada setin air minuman berkarbonat.

GAMBAR tanpa tarikh menunjukkan Melinda yang baru dilahirkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) Pusat Rawatan Daerah Los Angeles-USC di Hospital Los Angeles.


Bayi itu amat kecil sehinggakan dia muat dalam tapak tangan doktor yang merawatnya.
Melinda dipercayai bayi terselamat ketiga terkecil di dunia dan kedua terkecil di AS.
Kini seberat 2.04 kilogram dan masih bernafas melalui tiub oksigen sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa doktor memberitahu bahawa Melinda cukup sihat untuk pulang selepas hampir lima bulan berada dalam inkubator hospital berkenaan.
Ibunya melahirkan Melinda melalui pembedahan caesarean pada minggu ke-24 selepas dia didapati mengalami penyakit darah tinggi semasa hamil. - Agensi