Pages

Friday, November 11, 2016

Buaya gergasi diselamatkan selepas terperangkap




BUAYA berukuran 5.18 meter itu dipercayai antara yang paling besar ditangkap di Sri Lanka. - DM


Colombo: Kakitangan jabatan hidupan liar Sri Lanka menyelamatkan seekor buaya, dipercayai antara yang terbesar ditemui di negara itu, selepas reptilia berkenaan tersangkut di dalam terusan ketika mencari makanan.

Haiwan ditemui di Matara, selatan Sri Lanka itu dipercayai seberat hampir satu tan dan sepanjang 5.18 meter, lapor media tempatan.

Pencinta alam sekitar, Uppala Jayatissa berkata: “Kami menemui seekor buaya sama saiz kira-kira empat atau lima bulan lalu di Sungai Polathumodrara. Inilah saiz maksimum buaya spesies ini.”

Buaya berkenaan ditemui terperangkap di dalam terusan yang bersambung dengan Sungai Nilawala, Isnin lalu.

Menurut laporan media, buaya itu dipercayai mencari makan dan sesat akibat paras air meningkat disebabkan hujan lebat.

Sementara itu, jurucakap jabatan hidupan liar, Ravindra Kumar berkata, pihaknya menangkap haiwan itu dengan bantuan polis serta penduduk kampung.

“Apa yang penting adalah kami berjaya menghantar buaya itu kembali ke tempat asalnya tanpa mencederakannya.

“Reptilia itu terlalu besar dan tidak mungkin dapat keluar dengan sendiri,” katanya.

Katanya, buaya gergasi itu ditolak ke arah sungai dengan bantuan jengkaut dan treler yang disambungkan pada traktor. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 11:14 AM

No comments: