Pages

Thursday, May 5, 2016

Kapal timbul selepas 100 tahun



ABDUL RASHID melihat secara dekat besi bangkai kapal British yang dipercayai karam secara misteri lebih 100 tahun dahulu di Kampung Tanjung, Paloh Hinai, Pekan semalam.


PEKAN – Fenomena El Nino yang mengakibatkan paras air Sungai Pahang menjadi cetek tidak semena-mena membawa kepada kemunculan semula sebuah kapal dipercayai milik British yang karam secara misteri berdekatan Kampung Tanjung, Paloh Hinai di sini kira-kira 100 tahun lalu.
Bangkai kapal sepanjang lebih 30 meter itu mula kelihatan kira-kira sebulan lalu. Sebahagian daripada komponennya seperti tali sauh, kipas serta kebuk pembakaran enjin berkuasa wap masih mengekalkan bentuk asal.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Paloh Hinai, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, akibat air sungai Pahang surut, sebahagian daripada komponen kapal tersebut seperti tiang layar dan serombong kapal dapat dilihat, namun kali ini sebahagian besar bangkai kapal itu kelihatan.
Jelasnya, penduduk setempat memang mengetahui kewujudan bangkai kapal tersebut memandangkan kisahnya agak popular dalam kalangan masyarakat setempat.
Cerita Abdul Rashid, kapal dagang itu karam kononnya selepas ia ‘mengganggu’ makhluk halus yang mendiami Sungai Pahang selain sikap sombong kapten kapal.
“Sebelum ini, tiada penduduk yang berani menghampiri bangkai kapal itu kerana mereka telah sekian lama dimomokkan de­ngan cerita orang-orang dahulu. Bagaima­napun, selepas hampir keseluruhan bangkai kapal timbul seperti sekarang, barulah ada yang berani mengambil inisiatif untuk melihat keadaan dan mengambil gambar.
“Kini terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya sama ada mahu memelihara nilai sejarah dan menaikkan semula kapal ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz47jitKoNA 
Hakcipta terpelihara 

No comments: