Pages

Sunday, April 10, 2016

18 askar Filipina maut bertempur dengan Abu Sayyaf




PERTEMPURAN dengan Abu Sayyaf adalah kekalahan terbesar tentera Filipina setakat ini pada 2016. - Foto fail AP
MANILA: Lapan belas anggota tentera Filipina terbunuh dalam pertempuran sengit dengan militan Abu Sayyaf yang turut meragut nyawa lima anggota pertubuhan itu, termasuk pejuang dari Maghribi.
Ia adalah kekalahan terbesar tentera negara itu dalam peperangan selama sehari setakat ini pada 2016.
Jurucakap tentera wilayah, Mejar Filemon Tan, berkata sekurang-kurangnya 53 anggota tentera lagi cedera dalam peperangan seharian semalam dengan Abu Sayyaf dan sekutunya di kawasan pedalaman bersempadan bandar Tipo Tipo dan Al Barka, di Pulau Basilan.
Angka kematian tinggi itu dilaporkan ketika Filipina meraikan Hari Valor semalam sempena mengingati veteran negara itu yang maut dalam Perang Dunia Kedua.
Tentera kerajaan ditugaskan membunuh atau menangkap komander Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang melafazkan ikrar taat setia kepada militan IS secara terbuka dan diburu selama beberapa tahu berikutan dakwaan pembabitannya dalam beberapa serangan pengganas.
Washington menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta (RM19 juta) kepada maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pendakwaan Hapilon.
Militan Abu Sayyaf, kebanyakannya bersenjatakan pelancar bom tangan M203, dapat mengukuhkan kedudukan mereka dengan pantas ketika pertempuran meletus dan mengumpulkan antara 100 dan 150 pemisah, membolehkan mereka membunuh ramai anggota tentera.
Pertempuran berlanjutan lebih sembilan jam. - AP

No comments: