Gabriel Horchler berkayak untuk ke tempat kerja sejak 15 tahun lalu. AGENSI
WASHINGTON 11 Feb. – Seorang lelaki dari Bladensburg, Maryland memilih cara unik dengan berkayak ke tempat kerjanya sejak 15 tahun lalu demi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Portal Oddity Central melaporkan, setiap hari, Gabriel Horchler, 71, yang bekerja sebagai pustakawan mendayung kayak di sepanjang Sungai Anacostia di pusat bandar Washington.
Rutin harian warga emas itu ke tempat kerja bermula dengan menunggang basikal selama 15 minit ke Waterfront Park Bladensburg sebelum mendayung sejauh lapan kilometer untuk berulang-alik ke Perpustakaan Kongres Washington.
Horchler memilih untuk berkayak ke tempat kerja pada tahun 1997 selepas dia sering terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk ketika menggunakan motosikal.
“Mungkin ramai yang sukar memahami cara ini, tetapi bagi saya berkayak adalah cara yang paling ideal kerana kita dapat menikmati udara segar sambil bersenam.
“Perjalanan ke tempat kerja juga menjadi sangat menenangkan. Saya adalah ‘Raja Sungai’ yang tidak lagi menjadi mangsa kesesakan lalu lintas atau kerosakan kereta api,” katanya kepada akhbar The Washington Post.
Cara unik itu turut menjadikan Horchler kelihatan tegap dan nampak lebih muda daripada usia sebenarnya.
No comments:
Post a Comment