Seorang lelaki bertindak menceraikan isterinya selepas 30 tahun berkahwin sebelum wanita tersebut menang hadiah loteri sebanyak RM9.5 juta di Amsterdam. Gambar Hiasan/Agensi
AMSTERDAM 4 Jan. – Seorang lelaki yang bertindak menceraikan isterinya selepas perkahwinan selama 30 tahun terpaksa ‘menggigit jari’ apabila wanita tersebut menang hadiah loteri sebanyak AS$2.3 juta (RM9.5 juta) ketika keputusan pembahagian aset bersama dibacakan baru-baru ini di sini.
Wanita tersebut memenangi loteri itu tiga bulan selepas mereka memfailkan penceraian namun lelaki mendakwa dia berhak ke atas sebahagian hadiah tersebut.
Apabila pasangan suami isteri itu memfailkan penceraian di mahkamah, aset-aset bersama yang ingin dibahagikan antara mereka berdua perlu disenaraikan dan difailkan.
Pasangan tersebut memfailkan permohonan cerai pada Oktober 2014 di Mahkamah Daerah Amsterdam dan penceraian mereka disahkan pada Jun 2015.
Lelaki itu mendakwa, wang yang digunakan membeli banyak tiket loteri sejak berkahwin 30 tahun lalu adalah hasil simpanan bersama dan kerana itu, hadiah kemenangan tersebut perlu dibahagikan antara mereka berdua.
Bagaimanapun, hakim berpendapat dakwaan tersebut tidak benar kerana wanita itu menyara dirinya sendiri sejak empat tahun lalu apabila mereka berdua berpisah dan si suami tinggal bersama teman wanita baharunya.
“Wanita ini menggunakan wang dari akaun banknya sendiri untuk membeli tiket loteri terbabit.
“Jadi, hadiah loteri itu tidak termasuk dalam aset bersama dan mahkamah tidak akan memasukkan hadiah loteri itu dalam pembahagian aset bersama,” kata mahkamah dalam kenyataan bertulis pada 23 Disember lepas dan disiarkan baru-baru ini.
Mahkamah juga telah membahagikan aset kedua-dua pasangan itu yang tidak kurang daripada AS$10,000 (RM42,000). – Reuters
No comments:
Post a Comment