Shannon Lonergan dan Sara Nordstrom kelihatan seperti kembar seiras. Agensi
LONDON 17 Dis. – Bagaimana reaksi anda dan ahli keluarga jika dipertemukan dengan seseorang yang memiliki paras rupa seiras anda?
Itulah yang terjadi apabila dua orang gadis bernama Shannon Lonergan dan Sara Nordstrom dipertemukan baru-baru ini, sehinggakan bapa kepada Lonergan tidak dapat mengenali anak perempuannya.
Lonergan, 21, yang berasal dari Ireland dan Nordstrom, 17, dari Sweden dipertemukan di Dublin baru-baru ini selepas kedua-duanya mendaftar dalam laman popular Twin Strangers yang diperkenalkan awal tahun lepas yang mempertemukan individu dengan wajah seiras di seluruh dunia.
Akhbar Daily Mail melaporkan, kedua-dua gadis itu bukan sahaja kelihatan seperti kembar, malah senyuman, kelakuan, serta penampilan mereka juga hampir sama.
Menurut Lonergan, pada awalnya, dia resah dan tidak sedap hati apabila diberitahu akan dipertemukan dengan ‘kembarnya’.
“Namun, apabila saya melihat wajah Nordstrom, saya bukan sahaja terkejut dan hairan kerana seolah-olah melihat diri sendiri dalam cermin, tetapi rasa takut itu bertukar menjadi teruja.
“Kami duduk sehari suntuk bercakap tentang diri masing-masing dan baru kami sedar, persamaan kami terlalu banyak,” katanya.
Nordstrom yang juga penuntut sekolah tinggi berkata, dia merasakan seperti sudah lama mengenali Lonergan.
“Memang benar dakwaan ada tujuh orang yang serupa dalam dunia ini.
“Kami berdua seperti kembar, mempunyai minat dalam sukan yang sama. Kami seperti sudah lama kenal, seperti adik-beradik kembar,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment