KENDERAAN termasuk bas, van dan pacuan empat roda membawa jemaah haji ke Mekah memenuhi jalan raya di Mina menuju ke Mekah, semalam. - AGENSI
MINA 27 Sept. - Jemaah haji berpusu-pusu keluar dari Mina selepas mereka selesai melakukan ibadah melontar jamrah pada hari terakhir ibadah haji, hari ini.
Portal berita arabnews.com melaporkan, walaupun dalam keadaan panas terik dan suhu mencecah 45 darjah Celsius, jemaah masih terus melakukan ibadah melontar pada hari terakhir, sebelum kembali ke Mekah untuk menunaikan tawaf dan saie.
Kebanyakan jemaah didapati memakai payung untuk berlindung daripada cuaca panas terik matahari.
Sebahagian jemaah lagi telahpun kembali ke Mekah semalam.
“Alhamdulillah, saya telah selesai menunaikan kesemua rukun. Saya tiada sebarang bantahan kerana ibu-bapa dan sanak-saudara telah membantu saya bersiap sedia menghadapi ibadah yang mencabar ini,” kata seorang jemaah haji, Sultan Al-Shehri dari Riyadh, yang pertama kali menunaikan haji.
Seorang jemaah haji dari Ikandariah, Mesir, Rauf Abdul Hameed, pula menitiskan air mata selepas berjaya menyelesaikan ibadah hajinya.
“Menunaikan haji bukan mudah. Ia memerlukan kekuatan fizikal dan emosi,” katanya.
Kesemua jalan keluar dari Mina menuju ke Mekah penuh sesak dengan kenderaan.
Jemaah dari seluruh dunia kini menuju ke Mekah dan menetap di hotel selama beberapa hari selepas melengkapkan ibadah haji mereka, sebelum menunaikan tawaf widaa’ dan berlepas pulang ke tanah air masing-masing. – AGENSI
No comments:
Post a Comment