Syampu yang diperbuat daripada kulit udang dapat mencegah masalah rambut bercabang. AGENSI
LONDON 4 Ogos – Sepasukan saintis dari Wales memperkenalkan syampu yang diperbuat daripada kulit udang yang dapat mencegah masalah rambut bercabang dan menebalkan rambut.
Penemuan itu dibuat oleh saintis dari Universiti Glyndwr di Wales yang mendapati terdapat sebatian baharu daripada hidupan berkenaan yang boleh menyelesaikan masalah berkaitan rambut.
Menurut saintis, sebatian baharu itu juga akan menjadi alternatif semulajadi untuk mendapatkan rambut yang lebih lurus dan dijangka dipasarkan dalam masa terdekat.
Dengan kos penyelidikan mencecah 1 juta pound (RM6 juta), projek itu turut menyaksikan sisa epal dari industri minuman alkohol diubah menjadi pil, lapor Daily Post yang dipetik portal Mirror.co.uk.
Pensyarah kimia koloid dan polimer Universiti Glyndwr, Pete Williams berkata, pihaknya kini menguji sebatian tersebut sebagai produk penjagaan peribadi dan rumah.
“Kulit udang sering dibuang begitu sahaja dan matlamat projek ini adalah untuk menjadikan pengeluaran produk peribadi dan produk penjagaan peribadi yang lebih mesra alam,’’ katanya.
Sementara itu, syarikat Britain, Croda yang berpangkalan di Widnes, Cheshire dijangka memulakan pengeluaran besar-besaran sebatian sisa udang itu untuk digunakan dalam syampu yang berbau busuk tersebut.
No comments:
Post a Comment