Teknologi baharu menyamai saiz papan luncur sebenar dan pernah ditunjukkan dalam filem Back to the Future II itu diperkenalkan dalam satu demonstrasi yang diadakan di sebuah taman papan luncur khas di Barcelona, Sepanyol.
Bagaimanapun, hoverboard diberi nama ‘Slide’ yang berukuran 75 sentimeter (cm) panjang dengan berat 11.5 kilogram dan mampu terbang setinggi 5 cm itu hanya boleh digunakan di trek khas dan agak sukar untuk dikendalikan.
Slide yang hanya mampu menampung berat sehingga 199 kilogram, boleh digunakan secara maksimum selama 30 minit.
Video promosi yang dimuatnaik di laman perkongsian video YouTube oleh syarikat itu memaparkan aksi pemain papan luncur profesional, Ross McGouran menaiki hoverboard berkenaan di sekitar taman khas di Barcelona.
Pada video pertama demonstrasi teknologi itu, Lexus enggan mendedahkan kepada umum bagaimana Slide berfungsi.
Bagaimanapun, cara Slide berfungsi didedahkan dalam video kedua.
Jelas Lexus, hoverboard itu terapung hasil operasi cecair nitrogen yang digunakan untuk menyejukkan superkonduktor sehingga 321 darjah di bawah paras beku supaya teknologi itu boleh menolak magnet daripada logam yang terdapat di bawah trek sekali gus menjadikannya terapung.
“Tidak ada perkara yang mustahil. Apa yang perlu adalah memikirkan bagaimana untuk melakukannya,’’ kata Ketua Jurutera Lexus, Haruhiko Tanahashi.
Sementara itu, Lexus masih enggan untuk mendedahkan butiran tentang Slide dapat dipasarkan apatah lagi harganya.