Anak ular tedung berkepala dua milik Huang dihantar ke Zoo Nanning untuk rawatan pakar kerana enggan makan dan minum sejak menetas kira-kira 10 hari lalu. AGENSI
BEIJING 13 Ogos – Seorang lelaki China yang membela ular untuk menampung kehidupannya, dikejutkan dengan penemuan seekor anak ular tedung yang berkepala dua, baru-baru ini.
Menurut portal Mail Online, pemilik ular itu yang hanya dikenali sebagai Huang, menyedari keunikan ular berkenaan kira-kira 10 hari lalu di sangkar ular miliknya di Yulin, selatan China.
Jelas laporan tersebut, pada asalnya Huang mahu menjual reptilia itu yang dijangka boleh mengaut keuntungan besar, tetapi menyedari ular sepanjang 20 sentimeter berkenaan tidak mahu makan atau minum.
Susulan itu, Huang bertindak menghantar anak ular terbabit ke Zoo Nanning untuk dirawat oleh pakar.
Seorang pakar zoo itu yang enggan dikenali berkata, setakat ini anak ular tersebut masih enggan makan dan hanya menukar kulit sekali sahaja, tetapi mereka teruja dengan kemampuan reptilia terbabit untuk hidup selama 10 hari.
Bagaimanapun, pakar zoo tidak pasti tempoh ular berkenaan mampu bertahan jika masih enggan makan atau minum.
Kebiasaannya ular berkepala dua boleh hidup selama beberapa bulan dan ada laporan yang mendakwa seekor ular yang mempunyai keunikan sama bertahan selama 20 tahun.
No comments:
Post a Comment