Menurut portal The Guardian, langkah itu dilaksanakan selepas kira-kira 100 kecederaan dan berpuluh-puluh kematian dicatatkan pada tahun ini akibat kelalaian orang ramai ketika melakukan selfie sejak fenomena itu menjadi ikutan penduduk Rusia.
Pegawai Kementerian Dalam Negeri, Yelena Alexeyeva berkata, kempen itu merangkumi pengedaran risalah, penyiaran video, dan nasihat selain meletakkan tanda amaran di sepanjang jalan raya yang menjadi tumpuan orang ramai melakukan selfie.
Satu daripada tanda amaran itu menunjukkan gambar orang memegang monopod sambil mengambil gambar sendiri di atas landasan kereta api dengan kete­rangan berbunyi ‘Selfie di landasan kereta api merupakan idea buruk jika anda menghargai hidup’.
Video tentang keselamatan awam juga disiarkan antaranya menyentuh sikap sesetengah individu yang berani mengambil gambar sendiri ketika memanjat bumbung rumah sebelum memuat naik foto berkenaan di media sosial.
“Fenomena itu menyebabkan banyak kes kematian dan kecederaan disebabkan sifat taksub orang ramai untuk mengambil gambar di tempat berisiko terutamanya kawasan tinggi.
“Sebelum mengambil gambar selfie, anda sepatutnya sedar bahawa keghairahan untuk mendapat perhatian di media sosial boleh mengundang padah jika tidak berhati-hati,” kata Alexeyeva.