Pages

Saturday, June 27, 2015

Gumpalan rambut sepanjang 1.5 meter dalam usus remaja


Pakar bedah, Dr. Lal Bahadur Sidharth menunjukkan gumpalan rambut sepanjang 1.5 meter yang dikeluarkan dari usus Kavita Kumari (kanan). AGENSI
27 Jun 2015 1:16 AM

NEW DELHI 26 Jun – Tabiat seorang remaja di India yang suka mengunyah rambut sejak setahun lalu, membawa padah apabila dia terpaksa menjalani pembedahan un­­tuk mengeluarkan gumpalan ram­­but sepanjang 1.5 meter yang menyebabkan dia sukar menelan air.
Menurut laporan portal Mail Online, mangsa yang dikenali sebagai Kavita Kumari, 15, bukan sahaja mengunyah rambut sendiri, tetapi juga rambut rakan-rakan­nya di sekolah.
Ketagihan remaja berkenaan itu turut menyebabkan dia hilang selera makan, dan muntah apabila dipaksa untuk makan selain sering mengadu mengalami sakit abdomen serta lemah badan.
Bapa Kumari, Bechan Ram, 34, berkata, keadaan membimbangkan itu membuatkan dia membawa anaknya ke Pusat Kajian dan Hospital Pakar Siddhart di Uttar Pradesh untuk menjalani pemeriksaan.
Jelasnya, hasil ujian imbasan mendapati segumpal rambut berada di dalam badan Kumari selain kesan luka yang besar di bahagian perut dan usus kecil.
“Doktor memberitahu Kumari menghidap Sindrom Rapunzel, penyakit jarang berlaku melibatkan gumpalan rambut terkumpul di dalam perut dan kebiasaannya berlaku kepada wanita muda.
“Saya juga dimaklumkan bahawa keadaan kesihatan Kumari sangat membimbangkan dan berdepan risiko tidak terselamat ketika menjalani pembedahan membuang gumpalan rambut itu,” katanya.
Bagaimanapun, Kumari berjaya mengharungi pembedahan selama dua jam tersebut untuk mengeluarkan gumpalan rambut sepanjang 1.5 meter.
Pakar yang mengetuai pembedahan terbabit, Dr. Lal Bahadur Sidharth berkata, beliau tidak menyangka akan mengeluarkan gumpalan rambut yang begitu besar dan panjang.
“Saya tidak pernah berdepan kes sebegini dan Kumari perlu menjalani sesi kaunseling bagi menghilangkan tabiat mengunyah rambut yang boleh menjejaskan kesihatannya.
“Dia kini sedang menjalani proses pemulihan dan boleh menikmati semula makanan tidak lama lagi,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gumpalan-rambut-sepanjang-1-5-meter-dalam-usus-remaja-1.107555#sthash.elb5NvA9.dpuf

No comments: