SHENYANG - CHINA. Seorang pembeli kereta mengejutkan kakitangan sebuah premis jualan dengan membeli sebuah kereta dengan menggunakan duit syiling. 
 
Kereta  yang berharga 680,000 yuan (RM 405, 692) dibayar dengan menggunakan 660,000 yuan (RM393,753) wang syiling dan baki 20,000 yuan (RM11,939) dibayar dengan wang kertas.
 
Jenis kereta yang dibelinya tidak dinyatakan namun kesemua duit syiling berkenaan dibalut kepada 1320 bungkusan dengan berat lebih dari 4 tan. 
 
Memetik laporan Liaoshen Evening News, proses pemindahan wang dari lori ke premis jualan kereta berkenaan mengambil masa lebih 1 jam dengan bantuan 10 orang pekerja.
 
Pembeli yang dikenali sebagai Gan bekerja di sebuah stesen minyak memberitahu, syarikatnya mengumpulkan wang syiling yang diperoleh daripada bas yang berhenti untuk mengisi minyak di stesen minyak itu.
 
"Kami menerima duit syiling selama hampir tiga bulan dan memandangkan lokasi stesen berkenaan berada di luar bandar dan hanya mempunyai beberapa bank, maka kami mengambil keputusan untuk menyimpannya untuk membeli kereta untuk syarikat," katanya.