Pages

Thursday, May 21, 2015

Pemburu AS bayar AS$350,000 untuk bunuh badak sumbu hitam



IMEI menunjukkan seekor badak sumbu hitam di Nabimia.


WINDHOEK – Seorang pemburu Amerika Syarikat (AS) yang membayar AS$350,000 (RM1.24 juta) untuk membunuh seekor badak sumbu hitam di Namibia berjaya menembak haiwan berkenaan pada Isnin lalu.
Pemburu berkenaan, Corey Knowlton berkata, tindakannya dapat membantu melindungi spesies terancam itu.
Pemburu dari Texas itu menembak badak sumbu tersebut menggunakan raifal berkuasa tinggi selepas pemburuan selama tiga hari yang disertai beberapa pegawai kerajaan untuk memastikan dia menghapuskan badak yang betul.
Knowlton, 36, mendapat hak menembak badak berkenaan dalam satu lelongan di Dallas pada awal 2014.
Dia sebelum ini dikritik hebat ramai aktivis pemuliharaan haiwan dan turut menerima ugutan bunuh.
“Seluruh dunia tahu mengenai pemburuan ini dan saya berpendapat adalah amat penting untuk orang ramai mengetahui bahawa haiwan ini dibunuh dengan cara yang betul,” kata Knowlton dalam satu temu bual bersama saluran televisyen CNN.
Sejak 2012, kerajaan Namibia menjual lima lesen untuk memburu badak sumbu hitam pada setiap tahun dengan alasan wang tersebut diperlukan bagi membiayai projek konservasi dan antipemburuan haram.
Pihak berkuasa Namibia hanya memilih badak sumbu hitam yang tua dan tidak lagi membiak serta menjadi ancaman terhadap badak sumbu muda untuk diburu.
Menurut Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN), terdapat kira-kira 850,000 ekor badak sumbu hitam hidup pada kurun yang lalu sebelum bilangan haiwan itu berkurangan kepada hanya 2,400 ekor pada 1995 akibat pemburuan haram.
Namun, bilangan badak sumbu hitam di negara Afrika itu kini meningkat kepada kira-kira 5,000 ekor. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3aix5bOOi 
Hakcipta terpelihara 

No comments: