Sebatang gigi tertanam pada bahagian sendi jari tangan seorang remaja Britain selepas dia secara tidak sengaja tertumbuk adiknya. AGENSI
LONDON 6 Mei – Seorang remaja lelaki Britain terkejut selepas dimaklumkan doktor yang merawatnya bahawa terdapat sebatang gigi yang tertanam pada bahagian sendi jari tangannya.
Remaja berusia 19 tahun itu yang namanya tidak didedahkan mendakwa, dia secara tidak sengaja telah menumbuk mulut adiknya dalam satu kejadian baru-baru ini dan tidak sedar bahawa adiknya itu telah kehilangan gigi.
Mail Online melaporkan, lelaki tersebut ketika itu sedang berlatih tinju sebelum adiknya secara tiba-tiba muncul.
Selepas tertumbuk adiknya, lelaki tersebut memaklumkan bahawa mangsa keluar tergesa-gesa dan dia tidak tahu adiknya cedera.
Dia kemudian mendapati, terdapat kesan luka pada tangannya dan segera mencuci luka itu sebelum tidur.
Bagaimanapun pada keesokan harinya, lelaki itu bangun daripada tidur dalam keadaan kesakitan dengan tangannya membengkak hingga membuatkan dia mengalami kesukaran untuk menggunakan jari.
Lelaki itu yang dibawa ke hospital terkejut selepas hasil x-ray mendapati terdapat sebatang gigi kacip tertanam di bahagian sendi antara jari kelingking dan jari manisnya sebelum dia menjalani pembedahan untuk membuang gigi tersebut.
Menurut doktor, kebanyakan tisu pada otot gigi yang ditemukan antara kedua-dua jari itu telah mati dengan tendon pada jari kelingking didapati masih kukuh.
Kes itu diterbitkan dalam jurnal Laporan Kes BMJ.
Sementara itu, pakar pembedahan plastik di Hospital Queen Victoria, West Sussex, Dr Roshan Vijayan dalam jurnal itu berkata, kes tersebut amat pelik kerana pesakit sendiri tidak menyedari bagaimana kejadian tersebut berlaku.
No comments:
Post a Comment