Gumpalan rambut seberat hampir dua kilogram yang menyekat sistem pencernaan Niuniu, dikeluarkan melalui pembedahan oleh doktor di China, baru-baru ini. AGENSI
BEIJING 8 April - Perubahan sikap seorang kanak-kanak perempuan di China yang tidak berselera untuk makan, mengejutkan pakar perubatan yang melakukan pemeriksaan kesihatan apabila mendapati terdapat gumpalan rambut seberat hampir dua kilogram di dalam badan budak itu.
Menurut laporan New York Daily News, kanak-kanak bernama Niuniu Liang berusia lapan tahun itu sering mengadu sakit apabila cuba menjamah makanan, menyebabkan ibu bapanya membawa dia ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.
Hasil ujian imbasan doktor mendapati, gumpalan rambut yang besar menyekat sistem pencernaan Niuniu disebabkan kanak-kanak terbabit sering mengunyah rambut sendiri.
Bapanya, Cai Liang, 36, berkata, dia dan isteri sering menasihati anaknya agar tidak mengamalkan tabiat buruk tersebut, tetapi tidak pernah terfikir perbuatan itu akan menjejaskan sistem penghadaman anak mereka.
“Gumpalan rambut itu seberat hampir dua kilogram. Jadi tidak hairanlah anak saya tidak mahu menjamah makanan,” katanya.
Niuniu dibesarkan oleh datuk dan neneknya di sebuah kampung dekat bandar Zhoukou di wilayah Henan, tengah China, manakala ibu bapanya sering ke luar kawasan untuk bekerja.
Cai hanya menyedari perubahan fizikal Niuniu yang semakin kurus pada Tahun Baharu Cina yang lalu apabila melawat anaknya itu.
“Saya difahamkan doktor bahawa tabiat Niuniu yang sering mengunyah rambut disebabkan tekanan perasaan kerana saya dan isteri tiada bersamanya.
“Kejadian ini membuatkan saya dan isteri memberi lebih masa agar anak kami tidak lagi merasa tertekan dan tidak mengunyah rambutnya,” kata lelaki terbabit.
No comments:
Post a Comment