SAYA rasa ramai anak muda mempunyai idea dan pandangan luar biasa, tetapi kadang kala mereka menunggu terlalu lama untuk merealisasikan idea itu. Apa yang saya lakukan adalah, dengan mulakannya lebih awal,” - Elizabeth Holmes

Pada usia 31 tahun, Elizabeth Holmes mampu mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya menjadi seorang jutawan wanita termuda di dunia atas usahanya sendiri.

Meskipun tercicir pada tahun kedua di Universiti Stanford, beliau membuktikan ia bukanlah penghalang kepada kejayaannya.

Pada tahun 2003 ketika berusia 19 tahun, beliau menggunakan wang simpanannya dan menubuhkan Theranos, sebuah syarikat teknologi kesihatan dan perkhidmatan makmal perubatan berpangkalan di Palo Alto, California.

Dengan hanya setitik darah, makmalnya boleh menjalankan pelbagai ujian berbanding makmal komersial lain yang biasanya memerlukan sehingga sebotol darah.

Dua tahun lalu, Walgreens, sebuah farmasi runcit terbesar di Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 8,100 kedai mengumumkan rancangan untuk melancarkan Theranos Wellness Centers di dalam farmasi itu.