Pasangan pengantin baring dalam keranda dalam upacara untuk mengelak nasib malang di Bangkok, kelmarin. – Agensi
BANGKOK 15 Feb. – Kebanyakan pasangan kekasih menganggap hari perkahwinan mereka sebagai permulaan hidup baharu yang biasanya disambut dengan majlis penuh kegembiraan, namun berlainan bagi pasangan pengantin di Thailand yang memilih upacara berbeza.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, ada pasangan pengantin baharu memilih untuk baring di dalam keranda ketika mengucapkan ikrar perkahwinan mereka.
Acara perkahwinan yang dijalankan oleh sami-sami itu dipercayai membolehkan pasangan pengantin membuang nasib malang selain mengukuhkan cinta sejati, kemakmuran, dan perlindungan daripada sebarang ancaman ketika memulakan bahtera rumah tangga.
Malah, baru-baru ini, sebanyak 10 pasangan pengantin baharu mengadakan majlis perkahwinan unik itu di sebuah kuil di luar Bangkok.
Majlis perkahwinan unik itu menyaksikan setiap pasangan pengantin memasuki keranda besar berwarna merah jambu dan berbaring sambil meletakkan jambangan bunga di dada masing-masing.
Sami kemudian akan menutup keranda itu dengan kain besar sebagai simbolik kepada kematian mereka, dan membacakan doa-doa kematian.
Acara berakhir dengan sami membacakan doa restu kehidupan baharu buat pengantin berkenaan.
No comments:
Post a Comment