NEW YORK 17 Jan. – Sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) dikesan berhampiran Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) baru-baru ini, sekali gus mencetuskan perdebatan di Internet berhubung kesahihan klip video berkaitan kejadian itu yang tersebar di Internet.
Imej UFO itu dirakam oleh kamera pengesan makhluk asing selepas angkasawan memindahkan beberapa bahagian badan stesen itu yang mengorbit Bumi, lapor portal Mirror.co.uk.
Objek itu kemudiannya hilang di belakang ISS sehingga menimbulkan dakwaan stesen angkasa lepas tersebut menjadi tempat bagi makhluk asing bergaul dengan manusia.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sekiranya klip yang disiarkan di rangkaian televisyen CBS itu adalah rakaman lama atau diambil daripada siaran langsung Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA).
Ada pihak mendakwa, rakaman itu menunjukkan UFO berkenaan memasuki atmosfera Bumi, sementara beberapa pihak lain mengandaikan bahawa makhluk asing mungkin sedang membantu memindahkan angkasawan tersebut.
Peminat bidang angkasa lepas sering mengesan objek-objek pelik berhampiran ISS walaupun mereka kerap menjelaskan objek itu adalah serpihan angkasa lepas.
NASA turut dituduh menyembunyikan kewujudan makhluk asing dengan teori konspirasi yang mendakwa jabatan itu memotong video sekiranya terdapat kapal angkasa ganjil dikesan pada rakaman mereka.
Bagaimanapan bagi sesetengah individu, UFO terbaharu itu mungkin adalah daripada sebuah belon cuaca atau awan, dan mungkin juga tompok ais yang menuju ke Bumi kerana dilihat bergerak pada kelajuan yang sama seperti planet tersebut.
No comments:
Post a Comment