Taj Mahal diancam pencemaran udara yang mengakibatkan bangunan yang menjadi ikon India itu berubah warna daripada warna asal putih kepada coklat. – AGENSI
MUMBAI 16 Dis. – Monumen terkenal di dunia, Taj Mahal dilaporkan menghadapi ancaman pencemaran udara yang mengakibatkan bangunan yang menjadi ikon India itu berubah warna daripada warna asalnya putih kepada coklat.
Menurut penyelidik dari Institut Teknologi Georgia di Atlanta, mereka mendapati Tapak Warisan Dunia UNESCO itu dicemari habuk-habuk kecil dan jelaga daripada pembakaran sampah, tahi lembu dan kayu yang dilakukan berhampiran monumen bersejarah itu.
Semasa pembakaran dilakukan, habuk-habuk yang melekat pada permukaan marmar yang meliputi Taj Mahal menyerap cahaya ultraungu mengakibatkan warna kubah bangunan itu berubah menjadi coklat.
Penyelidik juga mendapati habuk-habuk itu mengundang banyak masalah kerana ia tidak larut air dan tidak mudah dibersihkan, lapor Mail Online.
Pada masa ini pekerja-pekerja hanya menutup bahagian luar kubah itu dengan lapisan tanah liat setiap beberapa tahun sebelum mengopek tanah berkenaan bagi mengembalikan warna putih pada bangunan tersebut.
Namun, saintis berharap kajian yang sedang mereka jalankan akan dapat membantu pihak berkuasa yang menjaga monumen berusia 460 tahun di Agra itu bagi membersihkan bangunan tersebut.
Jurutera alam sekitar dari Institut Teknologi Georgia, Profesor Mike Bergin yang mengetuai kajian itu berkata, habuk-habuk itu amat kecil dan melekat pada permukaan marmar.
No comments:
Post a Comment