Mumia wanita yang ditemukan di Pachacamac berhampiran bandar raya Lima, Peru dipercayai berusia 50 tahun ketika meninggal dunia. – AGENSI
PARIS 14 Dis. - Satu mumia berusia lebih daripada 1,000 tahun yang berada pada posisi seperti di dalam janin akan dipamerkan kepada umum di sebuah muzium di sini bermula bulan depan.
Mail Online melaporkan, mumia wanita yang ditemukan di sebuah kawasan perkuburan purba di Pachacamac berhampiran bandar raya Lima, Peru itu dipercayai berusia 50 tahun ketika meninggal dunia.
Bagi memastikan bentuk badan mumia berkenaan terus terpelihara, ahli arkeologi sepakat untuk mempamerkan mumia tersebut dalam keadaan asalnya di Musee de Confluences, Lyon bulan depan.
Mumia tersebut akan menjadi sebahagian daripada pameran tamadun pra-Inca yang memaparkan kaedah dan cara manusia purba mengendalikan mayat pada zaman itu mengikut usia dan budaya masing-masing.
Lebih daripada 160 tengkorak dan mumia ditemukan di Pachacamac yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Lima pada tahun 2012 dengan kira-kira 70 daripadanya dijumpai berada dalam keadaan seperti di dalam janin dan kebanyakannya masih dibalut rapi dengan kain.
Kesemua tengkorak dan mumia itu dipercayai merupakan penduduk yang tinggal di bandar purba berkenaan yang wujud kira-kira 800 ke 1,450 tahun dahulu.
No comments:
Post a Comment